Dilahirkan sebagai anak sulung di dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan, tentu sahaja terpaksa akur dengan tanggungjawab yang harus digalas sebagai anak yang paling tua dalam adik-beradik.

Pengalaman masa lampau mengharung kerumitan dan ikhtiar hidup semenjak zaman kanak-kanaknya, menjadikan Puan Aznizah Bt Azmi turut terpanggil untuk berkongsi kisah hidupnya.

“Saya dilahirkan sebagai anak sulung daripada lima adik-beradik dan berasal dari negeri Kedah.  Semenjak kecil lagi kehidupan kami memang susah. Ibaratnya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Abah seorang nelayan dan dalam masa yang sama abah  juga buat part time bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

“Bagi menambah pendapatan keluarga, setiap hari emak akan masak kuih muih untuk dijual. Namun ketika itu adik-adik masih kecil, jadi mana mungkin emak boleh keluar rumah untuk berniaga. Lantas pekerjaan tersebut saya lakukan. Bayangkan ketika masih di sekolah rendah, setiap hari saya berjalan sejauh 2 km dengan ‘mengheret’ beg yang berat. Bukan kerana diisi dengan buku sekolah tetapi  kuih muih yang akan dihantar ke kedai-kedai,” ujar Aznizah di awal bicaranya.

Pandai Cari Duit

IKLAN

“ Saya ingat lagi, bagi memastikan kuih dapat dihantar awal ke kedai dan dengan harapan tidak lewat sampai ke sekolah, saya akan bangun seawal 5.30 pagi setiap hari.  Tepat jam 6.15 pagi pula saya akan pastikan telah keluar rumah.

“Begitulah rutin harian yang saya lalui hinggalah ketika berumur 13 tahun. Abah meninggal dunia dan ini menjadikan kehidupan kami sekeluarga bertambah susah. Lalu mak ambil keputusan untuk kerja kilang bagi menyara kami adik-beradik.

“Sedar dengan bebanan yang ditanggung oleh mak, jadi saya ambil keputusan untuk bekerja selepas waktu sekolah. Macam-macam kerja saya buat, antaranya menyapu sampah dan mengemas pejabat di sekitar Alor Setar.

IKLAN

“Alhamdulillah dengan wang upah tersebut, dapatlah membeli barang keperluan sekolah saya dan adik-adik. Senang cakap, adik-adik ni akan mintak duit dengan saya dulu dan bukannya minta dengan mak. Sebab adik-adik pun tahu, mak tidak mampu,” cerita Aznizah lagi dengan nada sebak, terkenang kepayahan lalu.

Utamakan adik-beradik

Demi memberi ruang dan keselesaan untuk adik-adik belajar, Aznizah juga rela ‘beralah’ untuk tidak tinggal di asrama. Malah peluang keemasan itu diberikan kepada adik keduanya iaitu Nor Suhaini. Bukan menolak tuah, tapi dirinya punya alasan yang tersendiri.

IKLAN

“Saya bersekolah di Maktab Mahmud, Alor Star hingga Tingkatan 6 Bawah. Memang saya sendiri tidak mahu tinggal di asrama. Terfikir juga, jika tinggal di asrama saya tidak dapat bekerja untuk  membantu mak. Lagi pun bila duduk di asrama, itu bermakna ada yuran yang perlu di bayar pada setiap bulan. Saya tidak mahu, emak terus dibelenggu dengan kesempitan kewangan.

 

“Sesungguhnya, setiap apa yang dilakukan selama ini bukan ditagih untuk dihargai oleh adik-beradik. Namun melihat mereka semua bahagia itu sudah cukup membahagiakan buat saya. Bagi saya, bila adanya rasa tanggungjawab pada diri seseorang, maka sesiapa pun akan rela untuk berkorban,” jelasnya di akhir perbualan.

sumber : Majalah Keluarga Sept-Okt 2017

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI