Dikurniakan dengan anak autisme merupakan suatu ujian yang mempunyai hikmah tersendiri. Pada masa yang sama ia juga merupakan anugerah yang teristimewa buat ibu bapa yang terpilih memiliki anak-anak ini. Mampu mendidik dan membesarkan anak-anak autisme ini sehingga berjaya nyata jalannya bukan mudah, laluannya lebih berliku, masanya juga lebih panjang, namun ia tidak mustahil dengan usaha tanpa jemu.

Menurut Norazimah Nordin,  suka duka perjalanan sepanjang 24 tahun membesarkan anak autisme  merupakan momen yang cukup istimewa dan terlalu banyak yang ingin diceritakan.

Saifullah Kamarul Azlan merupakan anak kedua daripada enam adik beradik. Saifullah atau nama panggilannya ‘Adik’ dilahirkan secara normal pada tanggal 1 Ogos 1994. Pada usia Saifullah dua tahun, Norazimah mula menyedari anaknya tidak seperti kanak-kanak yang lain.

Dia lebih suka menyendiri, tidak mempunyai ‘eye contact’,sukar menerima arahan, tidak mahu bergaul dan berkawan, serta yang paling membimbangkan dia tidak mahu bercakap. Jika inginkan sesuatu dia hanya menunjuk ataupun menangis.

Atas kegusaran ini, Norazimah dan suami,  Kamarul Azlan Mohd Nasir membawa Saifullah berjumpa pakar psikiatri dan pakar kanak-kanak di HUKM untuk mengenal pasti masalah yang dialami. Ketika itu doktor mengesahkan Saifullah mempunyai masalah ‘learning disability’ iaitu kelewatan dalam perkembangan dan pembelajaran. Proses perkembangannya, tidak seiring dengan kanak-kanak yang sama umur dengannya.

“Sewaktu itu, sekitar tahun 1994, pendedahan mengenai Autisme amat sedikit. Tiada istilah autisme seperti yang kita fahami sekarang. Pemahaman masyarakat ketika itu, kanak-kanak seperti ini adalah jenis “lurus bendul”. Malah, ada juga yang melemparkan kata nista mengatakan bahawa anak saya “cacat”. Setelah diagnosis  Saifullah mempunyai ‘Mild Autistic’ serta layak mendapat kad OKU (Orang Kurang Upaya). Perasaan saya ketika itu, sangat sedih dan sebak untuk menerima hakikat ini,” jelas Norazimah.

IKLAN

Menurut Norazimah, Saifullah mula boleh bercakap hanya pada usia enam tahun. Saifullah sukar untuk memahamkan arahan. Dia perlu diajar satu persatu melalui ekspresi wajah, pergerakan tangan serta diterangkan dengan jelas mengenai sesuatu perkara apa yang boleh dan tidak.

Ketika zaman persekolahan Saifullah dimasukkan ke kelas perdana seperti pelajar normal yang lain, memandangkan kelas pendidikan khas yang ada terletak agak jauh dari rumah. Pada permulaan, Saifullah  sering mendapat markah kosong dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia,  Bahasa Inggeris serta subjek yang melibatkan pemahaman penyelesaian masalah.

Sungguhpun demikian, Saifullah bertuah kerana memiliki guru-guru yang tidak putus asa serta amat prihatin dengan keadaannya. Hasil usaha gigih guru-guru sekolah, sokongan ibu bapa yang tidak pernah jemu membimbing serta semangat yang ada dalam diri Saifullah untuk berjaya, perjalanan pembelajaran remaja istimewa ini dipermudahkan. Daripada markah kosong, kemudian semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“ Saifullah mengikuti aliran Sains Pertanian sewaktu di Tingkatan Lima. Agak sukar sebenarnya untuk dia sampai hingga ke peringkat ini memandangkan subjek yang diambil juga semakin sukar. Namun, alhamdulillah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak membanggakan dan menggembirakan kami. Dia berjaya memperoleh 2 A bagi subjek Sains dan Matematik, yang juga merupakan mata pelajaran yang paling digemarinya,”ujar Norazimah sambil tersenyum.

IKLAN

Setiap anak autisme memiliki kelebihan tersendiri yang jika dibimbing dan diasah dengan cara yang betul bakat dan pencapaiannya akan lebih menyerlah. Seperti kelebihan dalam penyelesaian matematik, komputer, melukis, mewarna, memasak dan sebagainya.

“Antara kelebihan yang dimiliki Saifullah, dia seorang yang sukar untuk mengatakan tidak. Dia sangat suka menolong orang dan disenangi oleh guru-guru, pensyarah mahupun kawan-kawannya. Saifullah juga rajin berusaha untuk berjaya serta memiliki kelebihan pandai memasak.

“Pada mulanya, ketika mengisi borang untuk melanjutkan pelajaran bagi memohon kemasukan ke pengajian tinggi, kami bercadang memilih jurusan Kulinari untuk Saifullah, memandangkan dia gemar memasak. Manakala, jurusan Kejuruteraan Mekatronik pula, merupakan pilihan terakhir.

“Alhamdulillah sekali lagi rezeki berpihak padanya, Saifullah terpilih mengikuti jurusan ini di Politeknik Port Dickson. Kami akan terkejut, dia terpilih memandangkan jurusan ini bukannya mudah. Namun kami percaya dia boleh melakukannya. Setelah tiga tahun setengah bertungkus-lumus serta berusaha gigih, akhirnya Saifullah berjaya menamatkan pengajian diploma ini pada Mac 2016.

IKLAN

“Sekarang, dia menyambung pengajian ke peringkat Ijazah bagi kursus Kejuruteraan Mekanikal dan berada dalam tahun pertama  untuk semester kedua di UTHM, Pagoh. Kalau diikutkan dia memang nak sambung selepas tamat diploma tahun lepas tetapi permohonan tidak berjaya.

“Minta kerja pun tak dapat, sampaikan 20 temu duga dia hadiri satu pun tidak dapat. Saya pun kecewa, inikan pula dia yang berusaha keras untuk mendapatkan kerja. Mungkin pegawai yang menemu duga tersebut tidak tahu kondisi Saiful yang susah nak jawab soalan secara spontan.

“Sebagai ibu saya turut berasa sedih dan menangis setiap kali dia tidak berjaya. Mungkin belum ada rezeki untuk dia bekerja. Kalau boleh saya nak lihat dia ada pengalaman kerja dan ada ketua yang boleh membimbingnya. Tetapi sekarang, biarlah dia habiskan terlebih dahulu kursus ijazahnya,”ujar Norazimah lagi.

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI