Rumah tangga pasti ada manis dan ada ketikanya pahit bak hempedu. Sukar ditelan namun cukup indah kerana perkongsian dua hati yang saling mencintai. Inilah resam berumah tangga. Suami isteri dari dulu dan sekarang mengakui perkara ini. Tapi kenapa kala berdepan dengan masa pahit, ramai pasangan hari ini tidak setabah dan secekal pasangan dulu untuk menanganinya.
Hingga ramai yang mengambil jalan berpisah. Sedangkan ibu bapa kita berdepan dengan situasi yang lebih perit dan mencabar namun tetap kekal bersama hingga ke hujung usia.
Dalam hal ini kita mungkin perlu banyak belajar dari mereka tentang cara melayari rumah tangga agar tak mudah melatah bila berdepan masalah. Jom intai cara mak-mak kita bercinta.
1. Lepas kahwin tak pergi bulan madu
Bila selesai majlis kahwin, tolak tepi hal berbulan madu tetapi kenalkan pasangan pada sanak suadara. Rapatkan hubungan silaturrahim. Antara cara merapatkan hubungan pasangan pengantin baharu dengan keluarga adalah melalui amalan bergotong royong atau rewang ketika mengadakan kenduri perkahwinan. Pengantin wajib membasuh periuk belanga yang digunakan semasa majlis perkahwinannya!
2. Suami tolong buat kerja rumah
Cuba perhatikan bapa anda sendiri. Sangat santun orangnya. Rajin membantu isteri. Selepas isteri melahirkan, semua suami yang buat.
IKLAN
Jika melihat si isteri penat menguruskan rumahtangga, suami jangan berat tulang untuk membantu. Tolong jagakan anak juga sudah cukup membuatkan si isteri tersenyum
3. Isteri tahu tanggungjawab sendiri
Banyak kes penceraian disebabkan oleh isteri malas. Cuba lihat mak kita sendiri. Rajin dan tahu tanggungjawab sendiri. Suami balik kerja, anak-anak dah terurus.
Oleh itu, walaupun sibuk di pejabat, tanggungjawab sebagai isteri jangan diabaikan. Tidak salah jika ada pembantu, tetapi soal membancuh minuman untuk suami serta makan pakainya seharusnya tetap menjadi tanggungjawab isteri.
IKLAN
4. Tiada campur tangan ibu bapa
Ibu bapa tak perlu campur urusan rumah tangga anak, ini boleh jadi kes penceraian. Biarkan anak-anak menangani masalah rumahtangga mereka sebaik mungkin. Ibu bapa hanya boleh memberi nasihat apabila diminta.
5. Keburukan dalam rumah tangga jangan cerita pada orang
Biar kita susah tanggung sendiri, keburukan pasangan jangan diceritakan pada orang. Ini antara perkara penting jika nak jodoh panjang.Jangan sampai mendedahkan keburukan rumahtangga di laman muka buku!
IKLAN
6. Sedar diri
Suami adalah ketua rumah tangga, tapi tak boleh guna kuasa veto nak kawal isteri. Bimbang isteri memberontak. Isteri dicipta dari tulang rusuk suami. Marah macam mana pun, tempat isteri tetap di sisi suami.Isteri sewajarnya mendengar kata suami dan bertoleransi dalam hal rumahtangga.
7. Jangan Lebih 3 Hari
Kalau merajuk sekalipun dan tak bertegur sapa dengan pasangan, paling lama cuma 3 hari. Lebih dari itu, hubungan berada dalam tahap bahaya. Senyuman boleh dijadikan pembuka bicara untuk berbaik-baik semula.
8. Buang Ego
Ego merupakan racun dalam rumahtangga. Setiap konflik rumah tangga adalah untuk menguji kesabaran dan kesetian suami mahupun isteri. Suami mahupun isteri harus merendahkan ego dalam sesetengah perkara untuk kebaikan bersama.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Sebagai isteri sudah pasti kita mahu suami sentiasa sayang kita kan? Namun, kadang-kadang bicara kita menyebabkan suami tersentuh kalbu, kadang-kadang merajuk dan paling takut mereka mengamuk. Apabila suami macam ni, makan hari juga kan nak memujuk, betul tak?
1. Katakan “Tidak”
Katakan “tidak” pada cacian dan makian. Apabila anda ataupun suami anda menggunakan perkataan yang tidak baik atau kasar, maka perlu saling menegur dan memberi nasihat. Perhatikan bagaimana segelintir pasangan begitu mudah memanggil pasangan mereka dengan bahasa yang kasar, memaki dan sebagainya. Perkara ini akan membawa kepada pergaduhan dan dendam. Setiap hari praktikkan penggunaan bahasa yang lebih baik serta berakhlak.
2. Benar itu Pahit, Ia Penawar Mujarab
Berkata benar itu memang pahit, tetapi itulah perkara yang betul. Pernah tak anda terfikir bagaimana nak tegur suami anda yang tidak menunaikan solat? Apabila ditegur pasti mendapat reaksi yang negatif. Jangan risau, apa tip untuk berkata benar. Tipnya ialah berkata benar dengan hikmah. Bukan kita kritik atau komen yang menyinggung perasaan. Ramai yang menegur secara kasar dan menjatuhkan air muka pasangan. Seperti masalah tidak tunaikan solat, kita boleh mula dengan diri kita sendiri dahulu, tunjukkan kepada pasangan kita yang kita sedang menunaikan solat, sediakan sekali sejadah di tepi tempat kita tunaikan solat.
3. Mengalah Bukan Kalah
Pertelingkahan berlaku apabila tiada yang mahu mengalah. Bagi mengelakkan pertelingkahan atau perang mulut, kita perlu mengalah. Percayalah, mengalah bukan bererti kalah. Sebenarnya, kalah dapat menjernihkan suasana yang kusut dan mendamaikan perasaan yang sedang berceramuk. Sekiranya suami anda meninggikan suara, anda perlu menggunakan kelembutan supaya ia tidak berpanjangan.
4. Setuju untuk Tidak Bersetuju
Rumah tangga yang harmoni adalah rumah tangga yang kerap mengadakan diskusi atau perbincangan dua hala antara pasangan. Dalam perbincangan pasti ada yang tidak bersetuju, maka setuju untuk tidak bersetuju itu perkara biasa. Komunikasi berkesan antara pasangan bukan semata-mata memberi persetujuan atau mengikut dengan membuta tuli kehendak pasangan sehingga menyalahi syariat. Oleh itu, menyatakan tidak setuju itu boleh dengan syarat bukan perkara yang sudah diputuskan agama dan tidak menyalahi syariat.
5. Jadilah Pendengar yang Baik
Mendengar dengan baik juga adalah salah satu daripada cara yang berkesan dalam komunikasi rumah tangga. Mendengar ini sebenarnya adalah satu teknik bagi menunjukkan keprihatinan. Mendengar masalah pasangan pasti menambahkan erat perhubungan. Kita sering meremehkan hal ini kan, malas nak dengar suami bercerita sebab kita yang laju bercerita?
6. Diam Tanda Reda
Diam itu baik, ia perlu kena pada tempatnya. Dalam satu keadaan, diam juga menandakan persetujuan. Diam juga tanda reda, tetapi ada kalanya perbuatan ini diambil kesempatan oleh orang lain. Kita diam kerana tidak mahu sesuatu perkara menjadi lebih teruk. Sekiranya kita melihat suami kita melakukan hal tidak baik, maka berilah nasihat yang baik bukan diam ataupun memberi leteran kepadanya.
Perkongsian daripada Ain Rozita ini cukup luar biasa. Setiap baris ayat yang ditulis, memberi kesan pada yang membacanya. Apatah lagi buat kita bergelar isteri, dan khususnya suri rumah sepenuh masa.
Ayuh kita baca, agar dapat memberi inspirasi dan manfaat.
Bergantung sepenuhnya kepada suami??
Sehari dua ni..Lalu lalang di wal..l masing2 mengata..menyalahkan..Mempersenda……memperlekeh..
Masing masing lupa Allah kata “Kun fa yakun!”
Lupa kita manusia tak lepas dari salah tak kira salah apa..Lupa yang Allah cuma tengok akhir kita macamana.. Lupa yang dunia adalah kesukaran utk orang Islam. Lupa yang dunia adalah syurga untuk kafir
Maka.. Sana sini mula cuba “membukakan minda” SURI RUMAH sepenuh masa Dengan kata2..jangan bergantung sepenuhnya pada suami!!!
Allahuakbar!! Kebergantungan kita Pengharapan kita..serahkan 100% pada Allah..Tolonglah..yakinlah Allah itu sebaik2 perancang..
Allah itu Maha Tahu lebih dari jangkaun kita manusia..Kita diciptakan tak ada apa daya dan kuasa pun!
Pesanan Khas Untuk Suri Rumah
Dah lama saya tak menulis Tapi hari ini saya nak kongsikan kisah ini Khas utk SURI RUMAH sepenuh masa..mcm saya suatu masa dulu..
Almarhum suami saya.. Ya..lelaki yang saya redhakan permergiannya selamanya..
Sejak saya berkahwin dengannya Dia menjadikan saya seorang perempuan yang daripada pandai berdikari (saya anak sulong) terus jadi ‘bodo’ tak tau apa.. Dari saya ada kereta..boleh drive ke sana sini…Kawin je kereta bagi kat adik.. Suami hantar ke mana je..
Dari reti cuci baju..sidai baju.. Terus jadi buta tengok bakul baju kotor.. Tak bagi buat sarapan.. Tak pernah kisah pasal kereta.. Tak kisah nak tidur tutup lampu.. Tak kisah nak charge phone.. Tak kisah mop lantai.. Semua suami buat.. Sampai ada kata saya ibu tak reti jaga anak..
Sebab kat luar rumah ..semua orang nampak .Suami yang uruskan anak.. (Ahh tak kisahlah…!)
Allah pasti bagi dia syurga kerana kebaikannya itu..Saya yakin sebab syurga bukan percuma!
Buat Keputusan
Akhirnya saya berhenti kerja.. Ntah kenapa rasa nak sangat jadi suri rumah sepenuh masa Nak sangat jadi ketua bidadari syurga yang dicemburui oleh Bidadari syurga..
Awalnya saya ragu2 juga..
Suami gaji tak sampai 3k pun waktu tu.. Tapi ayat dia hari-hari cakap Rezeki Allah bagi..jangan risau…
Saya tak pernah terfikir kalau Suami akan pergi selamanya.. Saya tak pernah fikir suami pergi tanpa apa2 pesan.. Saya tak pernah fikir kalau suami mati macamana saya dan anak!
Saat dia pergi, Saya masih tak fikir macamana nak hidup tanpa suami.. Saya cuma fikir..suami ok tak kat alam sana..
Macamana suami di alam kubur.. Dia takut gelap..kat sana gelap tak.. Hujan basah tak?
Jadi saya cuma tau usaha utk dia senang kat sana..Dia selamat dari azab kat sana.. Ya..saya sungguh2 utk itu..Semoga Allah terima bekalan kami utk dia..Ameenn…
Selepas 7 Hari Suami Dijemput Ilahi
Lps seminggu..Lepas semua beredar..baru saya fikir macamana nak hidup tanpa suami..
Dan saya ingat kata2nya.. Allah ada..rezeki Allah bagi..jangan risau..
Saya mula belajar bawa kereta.. Kelakar! 3x isi minyak..3x minyak tumpah2..orang tengok Mungkin orang kata bodo..pedulilah..
Pump tayar? Terus plat..sampai rata.. Minta tolong orang..Allah adakan..doa jela.. Oh ya sampai hari ini saya tak reti lagi pump tyre..Kawan saya Ida tolong atau.. saya doa semoga ada org lain tgh pump saat saya nak pump tyre..Alhamdullilah..Allah memang ada utk doa kita hambaNya!
Dari kecik abah yg beli belanja dapur.. Mak jarang keluar..apa lagi kami kan? Beli bawang? Beli ikan? Beli sayur? Ayam?
Lepas suami meninggal baru belajar.. Abah ajar beli bawang kat pasar Pt Markom tu ha..Ajar pilih kentang..
Saya tak akan pegang ikan kat pasar Kawan2 ajar pilih ikan!
Tapi lepas suami takde.. Eh eh boleh pulak pegang2 ikan ..pilih2.. Emm..Allah ada kan..doa lah Allah tolong kita..
Tentang duit
Oh ya bab duit..Masa suami meninggal..saya memang tak ada duit.. Sayakan tak kerja..Tapi Allah dah tetapkan rezeki setiap hambaNya kan..
So? Bergantung pada Allah ke bergantung pada suami?
Ok sebelum tu..apa saya buat masa ada suami?
Saya belajar buat roti..sebab suami suka makan roti . Malam2 time tengok bola kat tv..celup air kopi
Suami suka makan kuih talam.. Saya belajar..suami antakan ke kelas..
Time raya nak beli kuih berbalang2 ..mahai juga..Jadi saya belajar buat biskut raya..muai…
Saya belajar buat cheesecake..cheesetart sebab saya suka makan.. Cheese mahal..nak beli kuih2 ada cheese mana kami banyak duit..
Saya belajar buat kek..sebab fikir harijadi suami..hari jadi anak..Boleh buat sendiri.. Jimat..
Saya buat semua utk suami..utk anak.. Tak fikir pulak kalau suami tinggalkan kita… Saya tak pernah sedia utk ditinggalkan pun.. Tak mungkin utk bersedia sebab saya tak berani pun utk fikir Di tinggalkan!
Apa saya buat lepas suami meninggal?
Saya buat roti..jual Saya buat cheesecake..cheesetart.. jual.. Saya join kelas PJJ buat kuih yang yuran rm10, rm30..Saya jual..
Allah ada..yakin..Allah ada.. Suami pinjaman..sampai masa Allah ambil pulang atau Sampai masa orang ambil pula..
Jadi Kenangan
Seronok jadi suri rumah.. Tengahari call..tanya suami nak makan apa..Tak reti..google..cari resepi.. Sebelum maghrib dah siap masak..
Anak akan tanya ayah nak makan dulu atau nak mandi dulu..Kalau kata nak makan..dia yg akan sibuk2 senduk.nasi… ahh indahnya kenangan…kalaula boleh diulang!!
Ptg atau mlm standby air panas siap2… dengar bunyi kereta je.Cepat2 bancuh air..supaya air tak sejuk..
Akhirnya Bila suami pergi saya tak rasa ralat.. Saya dah cuba jadi bidadari untuknya.. Tak mengeluh kelam kabut nak keje..nak masak..Nak kemas..
Setiap lepas solat boleh baca Quran..hadiahkan pada Suami..supaya dia selalu dimudahkan urusan..Boleh solat dhuha sampai 12rakaat..
Cuma..saya rasa..saya patut ada masa lagi lama sebagai isteri Utk baiki diri utk jadi ketua bidadari..Tapi Allah lebih tau..tak apa..
Hari ke 2..saya memang menangis bila tengok bakul baju kotor.. Ya saat itu saya tau.. Saya kena belajar buat semuanya.. Takapa Allah ada.. Sedih ..menangislah.. Air mata Itu nikmat Allah bagi juga.. Tapi berpada2
Sekadar Berpesan
Kawan2 suri rumah jangan takut.. Jangan buat sesuatu atas rasa takut kehilangan suami.. Buatlah sesuatu atas rasa utk kejar redha Allah..
Setiap yang berlaku itu ujian.. Dunia memang sifatnya sukar.. Sebab syurga bukan percuma!
Saat masih bergelar isteri..raihla pahala sebab bila dia dah tiada..kau akan rindu semuanya..jangan kerana dunia dan wangnya kau hilang pahala kau hilang indahnya nikmat rumah tangga..jangan kemudiannya kau menyesal atas apa alasan
Suami di ambil Tuhan atau di ambil orang… Dua2 itu ujian..Rasa memang tak sama..tapi syurga kan bukan percuma
kau untunglah kau dapat suami baik.. ya betul Alhamdullilah.. tapi semuanya mula dengan doa.. Doa senjata orang Islam.. asalkan kau sabar, istiqamah.. kalau bukan kat sini..kau akan dapat kat sanab berusahalahutk jadi ketua bidadari surgas. Selebihnya..serahkan pada Allah
Anak adalah anugerah yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Kegembiraan berganda bila mana mengetahui bakal menimang cahaya mata kembar.
Namun, bahagia tersebut hanya seketika bila mana pasangan ini diuji ALLAH SWT apabila salah seorang anak kembar kembar mereka disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus atau dikenali berkepala besar.
Kepala semakin membesar
Selepas lima bulan, saiz kepala adik Aidan Fahim semakin membesar dengan ukuran lilit 64 cm berbanding 46 cm sewaktu dilahirkan pada 8 Januari lalu di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang.
Bapa, Mohd Salfarulizaman Kamarul Baharin, 30, berkata, lebihan air di bahagian kepala anak kelima itu dikesan ketika kandungan berusia 18 minggu tanpa melibatkan abang kembar, Adam Fahmi.
Menurutnya, Aidan ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HoSHAS selama 42 hari dengan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
“Pernafasan Aidan lemah dan doktor pujuk kami untuk membenarkan mesin oksigen ini dicabut pada hari ke-14 tapi kami tidak bersetuju.
“Kami tinggal di Benta, Lipis dan memandangkan abang kembar juga perlu diberi perhatian dan mengelak kesihatan isteri terjejas, doktor pujuk sekali lagi.
“Pada hari ke-42, kami sudah bersedia dan reda untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas mesin oksigen dicabut serta difahamkan Aidan mungkin hanya mampu bertahan paling lama dua minggu.
“Alhamdulillah, rasa seperti satu keajaiban apabila Aidan dapat bernafas dengan baik dan dirujuk ke Hospital Kuala Lipis selama tiga hari untuk kami belajar cara penjagaan termasuk beri minum susu melalui tiub,” katanya kepada Sinar Harian.
Tumpang sementara di rumah kakak
Mohd Salfarulizaman berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai operator kilang di Melaka selama empat tahun manakala isterinya, Nursuhada Jaafar, 30, menetap bersama tiga anak serta kedua ibu bapa di Benta.
Menurutnya, selepas seminggu Aidan dibenarkan pulang ke rumah, mereka mengambil keputusan menumpang sementara di rumah kakak Nursuhada di Serendah.
“Doktor maklumkan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa, maka kami ambil keputusan cari tempat tinggal lebih dekat dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Temu janji dengan doktor pakar ditetapkan pada 5 September ini dan saya terpaksa berhenti kerja di Melaka dan Alhamdulillah dapat kerja sebagai penyelia vendor Perodua di Sungai Choh.
“Dalam sebulan tinggal di rumah kakak ipar, saya sewa sebuah rumah di Desa Anggerik Serendah dengan bayaran RM600 sebulan,” katanya.
Saiz badan lebih kecil dari abang kembar
Nursuhada berkata, saiz badan Aidan lebih kecil berbanding abang kembarnya namun tidak menunjukkan sebarang gangguan kesihatan selain pertambahan saiz kepala.
Menurutnya, tiada apa dapat dilakukan untuk rawatan susulan sebelum temu janji dengan doktor pakar.
“Ibu mana tak gusar melihat keadaan anak sebegini dan lambat lagi dapat jumpa doktor pakar.
“Buat masa sekarang apa yang mampu kami lakukan hanya pergi buat pemeriksaan setiap bulan di Klinik Kesihatan Serendah.
“Saya pujuk hati dengan fikir positif, mungkin bulan September nanti adalah tempoh paling sesuai untuk Aidan dirujuk ke pakar,” katanya.
Tiada masalah kesihatan
Pada masa sama Nursuhada berkata, dia bersyukur apabila abang kembar tiada masalah kesihatan.
“Bagaimanapun kami terpaksa meninggalkan anak sulung dan kedua yang berusia lapan serta lima tahun di Benta supaya persekolahan mereka tidak terjejas,” katanya.