Lain orang lain cara dan ragamnya. Bagi Datuk Rosyam Noor yang memiliki kesemua anak perempuan tentu punya pandangannya yang tersendiri. Dalam usia mencecah 50 tahun, dia inginkan kesederhaan dalam hidupnya. Begitu juga anak-anaknya.

Meskipun melakar nama yang bukan sedikit dalam industri hiburan tanahair ditambah dengan kejayaannya kini, namun, semua itu tidak merubah jati dirinya yang masih utuh mempertaruhkan sifat kesederhanaan dalam dirinya. Apatah lagi apabila tiba musim perayaan, Rosyam mempunyai cara tersendiri untuk meraikan hari yang penuh kesyukuran itu.

"Kebiasaannya, persiapan Hari Raya akan diuruskan oleh isteri, Datin Runika Mohd Yusof dengan dibantu oleh lima anak perempuan saya. Biasanya semua anak saya dah tahu tugas masing-masing untuk membantu mama mereka menyediakan kelengkapan raya. Tapi yang penting, persiapan serba sederhana sahaja.

Saya jenis yang tidak kisah jika tidak ada baju Melayu baru tetapi saya ingatkan anak-anak agar tidak 'over' dalam memilih pakaian raya.  Saya lebih suka anak-anak memilih pakaian yang praktikal ketika beraya kerana sebagai anak perempuan, mereka harus membantu mama mereka di dapur.

Bukan itu sahaja, saya tidak mahu mereka kelihatan berbeza dari sepupu-sepupu yang lain. Pada saya rasanya mereka lebih selesa mengenakan baju kurung cotton sahaja kerana nampak sopan dan anggun bila kena gayanya.

Saya tegas soal mendidik anak. Saya mahu mereka berfikir baik dan buruk dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Begitu juga dari segi penampilan di Hari Raya. Saya tidak mahu mereka kelihatan berbeza, paling penting penampilan sederhana sudah memadai," kata Rosyam lagi.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.692100.1497923578!/image/image.jpg

 

 

Saban tahun keluarga bahagia ini akan meraikan Aidilfitri di ibu kota di mana pagi raya akan disambut di Kampung Melayu Subang dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Kini, dengan kehadiran dua orang cucu berusia 3 tahun dan 8 bulan, pastinya ia merupakan saat yang paling diingati oleh Rosyam dan keluarganya.

Pelakon versatil yang mempunyai sikap rendah hati dan mudah mesra ini juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai sambutan Hari Raya dan menganggap Hari Raya adalah hari untuk meraikan Ramadan dan masanya untuk berkumpul dengan kaum keluarga.

"Alangkah bagusnya jika segala persiapan perayaan di ubah kepada bulan Syaaban kerana bulan tersebut juga banyak fahdilat yang tersembunyi. Ini boleh memberikan ruang kepada umat Islam mengumpul seberapa banyak pahala di bulan Ramadan apatah lagi dalam usaha mencari keberkatan di 10 malam terakhir Ramadan.

Saya juga ingin menjadikan Ramadan tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan mengisi waktu dengan merasai kenikmatan serta keindahan Ramadan," ujar Datuk Rosyam Nor yang menyifatkan kejayaan beliau khatam Al-Quran dengan bimbingan guru agama pada Januari lalu sebagai hadiah terbaik bersempena sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-50 pada 1 Mac lalu.

"Banyak Allah bagi pada saya sehingga kini dan tiada apa lagi yang ingin saya minta sebaliknya ingin memperbanyakkan ibadat dan amalan kerana itu adalah bekalan di sana nanti," ujarnya yang berpeluang mengerjakan umrah dua tahun lepas di bulan Ramadan dan menikmati keindahan 10 Ramadan terakhir di sana sambil khatam Al-Quran sebanyak dua kali.

Selain itu, Datuk Rosyam turut memperuntukkan masa untuk berkumpul dengan 4 dari 6 adik-beradiknya yang masih ada untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dan ia menjadi antara waktu yang ditunggu-tunggu olehnya.