Menyewa sebuah homestay setiap kali pulang menyambut hari raya di kampung halaman memang tidak mustahil bagi kita. Namun menyewa homestay khusus untuk meletakkan kucing-kucing kesayangan jarang-jarang sekali kita dengar. Pasangan muda yang baru memiliki anak ini seharusnya di puji.

Bagi Shahlin Shahirea Makhtar, 29 dan suaminya, Ahmad Azhar Saidin, 31 tahun, inilah rutin tahunan mereka ketika bercuti di kampung halaman.

Mahu Beraya Dengan Tenang

Bagi Shahlin yang lebih mesra disapa Lynn, dia dan suaminya sepakat untuk menyewa homestay berdekatan rumah ibu bapa mereka untuk beraya dengan lebih tenang.

“ Setiap kali balik beraya, saya bawa ke semua kucing-kucing saya, Betty, Milo, Shasha dan yang terbaru Sajat, balik ke kampung halaman. Kami bercuti biasanya sampai dua minggu, jadi pilihan tepat adalah bawa balik kesemuanya bersama-sama kami.

Saya tak berapa gemar tinggalkan mereka di asrama kucing. Saya bimbang mereka dijangkiti virus. Maklumlah banyak kucing lain, kita sendiri tak tahu bagaimana kondisi kesihatan mereka. Lagi pula kami balik kampung pada tempoh yang agak lama.

Bila dah bawa balik kami kena fikirkan juga anak-anak kucing. Dulu kami hanya letakkan sahaja dalam sanggar sepanjang masa, bimbang mereka keluar rumah. Maklumlah masa raya orang keluar masuk takkanlah nak tutup pintu saja. Kesian pula letakkan mereka dalam sanggar dan tak bebas.

Lagi satu, ketiga-tiga mereka mesti jadi tumpuan kenalan dan sanak-saudara yang datang beraya. Adakalanya nampak mereka tidak selesa dan ketakutan. Memikirkan rasa tak selesa inilah saya dan suami terfikir untuk mencari homestay dan letakkan kesemua mereka di situ.

Setiap hari saya atau suami akan ulang alik ke sana untuk beri makanan dan bersihkan najis. Paling penting mereka dapat bergerak bebas. Jadi dapatlah kami suami isteri beraya dengan tenang,” kata anak kelahiran Jerantut ini lagi.

Tak hanya seronok meraikan lebaran dan hati pun tenang dengan membawa kesemua anak-anak kucing balik, pasangan ini juga merasakan momen balik kampung dengan anak-anak kucing mereka adalah momen yang cukup istimewa dalam hidup mereka.

“Perjalanan balik ke kampung halaman kami langsung tak terganggu dengan adanya Betty, Milo dan Shasha. Betty awal-awal lagi sudah ambil tempatnya iaitu di kawasan handbreak kereta. Manakala Milo pula setiap tidur di kaki sepanjang perjalanan. Shasha pula jenis gayat, jadi dia selesa ditempatkan di dalam sangkar sepanjang perjalanan.

Kesemua mereka masuk sahaja kereta, ambil tempat masing-masing dan terus tidur hingga sampai di kampung halaman. Cuma sesekali jika berhenti, ketiga-tiga mereka akan bangun dan kemudian menyambung tidur semula. Jadi kami langsung tak ada masalah,” kata Lynn yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama.

Sumber: Majalah Keluarga Isu Jun 2018

Tinggalkan Komen