Pasti sahaja kita sebagai anak telah melihat jerih perih ayah selama ini untuk membesarkan kita. Lantas, wajar untuk kita membalas setiap jasa baik dan kasih sayang yang telah dicurahkan selama ini. Apatah lagi andai kesihatan mereka terjejas, kitalah tempat mereka bergantung harap.

Demikian juga perkongsian seorang lelaki ini, Harmanto Abdul Aziz. Demi menjaga dan menguruskan keperluan bapa tercinta yang lumpuh akibat angin ahmar, dia nekad berhenti kerja di sebuah syarikat automotif lapan tahun lalu.

 

 

Difahamkan sebagaimana dilaporkan di dalam Harian Metro, Harmanto membuat keputusan tersebut setelah berfikir panjang dan berbincang dengan keluarga. Menurutnya lagi, berhenti kerja adalah jalan terbaik walaupun tiada wang simpanan ketika itu dan berdepan sindiran daripada mereka yang tidak berada di tempatnya.

Kerap Ambil Cuti

“Dulu saya bekerja di bahagian pentadbiran dan pengambilan pekerja namun banyak ambil cuti kerana ayah, Abdul Aziz Salleh, 82, kerap keluar masuk hospital.

“Pada waktu itu, ada tugasan diberi tidak dapat disiapkan dan kerana enggan menyusahkan ramai pihak, saya ambil keputusan berhenti dengan menghantar notis 24 jam.

“Bagaimanapun, tiga hari juga saya fikir sebelum hantar notis dan memang tidak nampak cara lain kecuali berhenti,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Tengah, Batu 13, di sini.

 

 

Tiga Hari Koma

IKLAN

Harmanto berkata, bapanya dulu seorang yang aktif bersukan sebelum jatuh sakit pada awal 2014 selepas berkebun.

Katanya, bapanya dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan kronik ketika itu.

“Disebabkan itu, ayah menjalani pembedahan trakeostomi atau tebukan pada leher bagi memasukkan tiub pernafasan.

“Ayah kemudian diintubasi (ditidurkan) dan tiga hari koma. Selepas sedar, ayah lumpuh sebelah kiri daripada tangan ke bawah.

“Dulu, ayah ada ke hospital untuk pemeriksaan susulan namun sudah empat tahun tidak jumpa doktor untuk periksa keadaannya,” katanya.

Sanggup Berhenti Kerja Demi Jaga Ayah Lumpuh, Lelaki Ni Kongsi Pengalaman Dimurahkan Rezeki!

Dimurahkan Rezeki

Meskipun tiada pekerjaan tetap, Harmanto mengakui tidak boleh duduk diam malah mengambil upah melakukan pelbagai pekerjaan berbekalkan kemahiran yang ada.

IKLAN

Berkat usaha dan kesabaran, Harmanto tidak pernah putus rezeki malah dapat menghantar anaknya menyambung pengajian ke menara gading.

“Rutin harian saya pada sebelah pagi adalah sediakan sarapan sebelum hantar anak ke sekolah dan isteri ke pejabat.

“Tengah hari, saya ambil anak pulang dari sekolah kemudian rehat seketika sebelum keluar ambil isteri pada sebelah petang.

“Ada kalanya, saya dapat tempahan memasak malah pernah juga orang panggil baiki tingkap dan sebagainya jadi saya buat saja semua kerja asalkan dapat duit. Ikutkan, saya tidak belajar kemahiran itu namun mungkin ia anugerah Allah buat saya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi tadah tangan minta sedekah atau sumbangan sebaliknya usaha sendiri kerana yakin rezeki Allah itu luas. Cuma jika ada yang nak menyumbang sekalipun biarlah untuk ayah,” katanya.

Sanggup Berhenti Kerja Demi Jaga Ayah Lumpuh, Lelaki Ni Kongsi Pengalaman Dimurahkan Rezeki!

Terus Berharap

Jauh di sudut hati, Harmanto masih berharap bapanya kembali sembuh dan kuat berjalan seperti dulu.

IKLAN

“Semua anak senasib dengan saya tentunya mahu ayah mereka sembuh.

“Cuma, kita sebagai hamba hanya mampu berdoa dan usaha kerana selebihnya serah kepada Allah,” katanya.

Sumber : myMetro

 

ARTIKEL MENARIK :Ditipu Agensi. Berhabis RM76K Nak Pergi Haji, Namun Suami Isteri Ni Terkandas Di KLIA!

LAGI ARTIKEL MENARIK :Ibu Ni Kongsi Pengalaman Jelajah Turki 30 Hari Guna Kereta Bersama Anak Beranak!

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI