
Anak-anak adalah amanah kita, tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa. Kitalah yang mencorakkan bagaimana kehidupan anak kita. Baik yang kita lakukan, baik jugalah jalannya.
Namun mendidik anak terasa cabarannya. Selalulah amalkan dua surah dan amalan ini buat anak, lebih-lebih lagi bagi mengelakkan anak degil dan mudah mendengar kata. Kita usahakan sama-sama.
Amalan untuk anak-anak.
Amalan ini saya terima dari Habib Muhammad Al-Jufri حفظه الله:
1. Iaitu ambilkan air lalu dibaca Surah Al-Fatihah sehingga pada ayat اهدنا الصراط المستقيم kemudian diulang sebanyak 7x @ 14x @ 21x @ 40x @ sebanyak mana yang mungkin.
Tiup di air atau dibuat minum. Seeloknya awal pagi, sebelum atau selepas Subuh.
Kata Habib: Penjagaan anak-anak di akhir zaman ni cukup penting, hatta amalan ini, jika kerap diamalkan InsyaAllah nafsu liar pun akan terkawal dengan izin Allah.
2. Bak Haji Yaacob حفظه الله juga berpesan supaya:
Sebelum tidur bacakan ayat terakhir surah Ali Imran di ubun anak sebelum tidur. Ayatnya iaitu:
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱصۡبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ)
[Surah Aal-E-Imran 200]
InsyaAllah anak-anak tak degil, dengar cakap.
Begitu juga, kalau ada suami isteri yang keras perangainya, kerja marah ja.
Maka, lepas baca boleh ditiup di ubun masa tidur atau sebelum tidur atau dibuat air minum.
Wallahualam
Anak-anak kita adalah amanah Allah. Jangan biarkan rosak dengan nafsu yang liar
Diizinkan untuk beramal
– Abu Abbas Sidqi –
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Tak Sangka Fazura Punya Impian Berniaga di Pasar Siti Khadijah, Nampak Tak Kekok Berniaga!

Siapa sangka rupanya pelakon popular dan usahawan cantik, Nur Fazura sebenarnya mempunyai keinginan peribadi untuk menjadi peniaga di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu Kelantan.
Impiannya itu dikongsi menerusi YouTube MyFazura telah meraih perhatian peminatnya.
“Sebenarnya memang dari kecil saya ada satu impian. Masa mula-mula dulu saya nak jadi pramugari dan saya juga teringin nak ada pengalaman menjual (berniaga).
“Teringin nak rasai sendiri pengalaman menjual di Pasar Siti Khadijah dengan peniaga-peniaga wanita yang ada di sini. Alhamdulillah bila ada pelanggan yang datang membeli, rasa tercapai impian saya nak menjual itu.”
Video berkenaan berdurasi 26 minit turut memaparkan aktiviti Fazura sepanjang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Antaranya berdikir barat, persembahan wayang kulit , makan hidangan tradisi Kelantan, mengunjungi salah satu masjid terkenal iaitu Masjid Ar-Rahman dan tempat menarik lain.
Dalam pada itu, Fazura juga mengakui pertama kali makan nasi kerabu ketika di mengunjungi negeri Kelantan ini. Dia amat teruja layanan yang diberikan oleh rakannya juga yang berasal dari negeri Kelantan.
Sumber: myFazura
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Baru Umur 14 Tahun Jadi Wali, Menangis Nikahkan Kakak. Ramai Puji & Auto Leleh Air Mata!

Sebagaimana kelaziman bila seorang anak gadis bernikah, bapa kandung akan menjadi walinya. Namun sekiranya bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya.
Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah lelaki yang beragama Islam, berakal, adil, merdeka, dan baligh.
Baru-baru ini viral kisah seorang remaja berumur 14 tahun sanggup menggalas tanggungjawab menjadi wali kepada kakak sulungnya yang selamat dinikahkan pada hari Ahad yang lalu.
Peristiwa tersebut dirakam dan dimuat naik oleh ibunya @azzaasha di aplikasi TikTok yang memaparkan remaja lelaki terbabit nampak gementar ketika membaca lafaz ijab kepada pasangan kakaknya.
@azzaasha04092022 Alhamdullilah selesai pernikahan anakanda sulung , dinikahkan oleh adiknya .♬ original sound – azzaasha
Namun selepas lafaz nikah dibacakan oleh abang iparnya, remaja itu tidak dapat menahan sebak.
“Alhamdulillah selesai pernikahan anakanda sulung, dinikahkan oleh adiknya,” katanya dalam video tersebut.
Sementara itu, majlis yang diadakan di sebuah masjid dan rata-rata tetamu yang hadir turut melahirkan rasa sebak serta kagum dengan keyakinan dan kebolehan remaja lelaki berkenaan menyempurnakan sesi akad hanya sekali lafaz.
Dalam pada itu, rakaman tersebut turut mendapat perkongsian pengguna yang lain dan pelbagai reaksi diberikan menerusi ruangan komen.
“Siapa nangis, kita ‘gang’.”
“Menitis air mata, sama umur dengan anak kedua saya,” kata warganet yang memberikan komen pada video tersebut.
“Terharu sangat.. auto leleh air mata, awak sungguh berani dik..,” kata yang lain pula.
“Suatu masa nanti anak saya jugak akan mewalikan akaknya🥺🥺.mengmbil tanggungjawap arwah ayah nya..🥺,” luah salah seorang warganet dengan sayu.
“Nangis juga tengok vtt akak ni 🥺 perasaan berat untuk melepaskan sorang kakak kepada orang lain,” komen yang lainnya.
ARTIKEL MENARIK : “Di Rumah Auto Jadi Bapak-bapak..”-Isteri Abam Bomba Viral Kongsi Rutin Suami,Tarik Perhatian!
Baca Ini Juga :Hidup Mewah, Rupanya Datuk Lee Chong Wei Buat Macam-macam. Bukan Main Badminton Je Dulu!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Lelaki Ni Kongsi Pengalaman ‘Getir’ Sebagai Bapa Kepada Anak Yang Mengambil Result UPSR. Jadikan Panduan!

Ya! Esok 23 November adalah hari yang cukup mendebarkan buat anak-anak yang telah mengambil keputusan UPSR pada tahun ini. Ibu bapa juga terkesan hebat terganggu emosinya. Bimbang hingga tidak tidur lena dibuatnya malah ada juga hingga detik ini kian berasa gugup dan gementar untuk menanti apakah keputusan UPSR yang bakal diraih oleh anak mereka.
Oleh itu ikuti perkongsian pengalaman Encik Ammar Kamilin yang juga merupakan seorang penulis buku yang hebat. Beliau melalui detik tersebut pada tahun yang lalu dan perkongsiannya kali ini cukup menyentuh jiwa dan diharapkan membuka minda kita semua.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
“Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.”
Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
“Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
sumber : Ammar Kamilin