Kecekalan dan ketabahan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dalam usaha mendapat zuriat wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh buat wanita di negara ini.

Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.

“Semua tahu bagaimana susahnya saya nak dapat anak. Empat anak saya hasil rawatan IVF. Saya sembilan tahun lebih kahwin pun macam hendak putus asa, 17 kali buat rawatan.

“Setiap kali saya mengandung, saya kena baring enam bulan tak turun daripada katil,” kata Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mendirikan rumah tangga dengan  Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hasil perkahwinan tersebut, baginda dikurniakan empat orang putera dan lima orang puteri iaitu Tengku Amir Nasser; Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah; Tengku Puteri Ilyana; Tengku Puteri Iman Afzan; Tengku Puteri Ilisha Ameera; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah

Bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16,  Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menaja 60 pasangan suami isteri untuk menerima rawatan kesuburan dari Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) bulan depan.

“Waktu melancarkan buku masakan, saya ditanya ke mana wang hasil jualan meja tersebut akan disalurkan. Daripada situlah tercetusnya idea penubuhan TAFF. Apa yang Allah kurniakan kepada saya, maka saya nak beri balik.

“Saya mahu bantu mereka yang berpendapatan rendah yang tak mampu membayar kos fertility yang mahal. Alhamdulillah, sehingga kini, saya ada 115 cucu dan sempena Keputeraan Tuanku ke60- saya akan menghantar 60 pasangan membuat rawatan IVF,’ ujar Tuanku yang sudah membantu pasangan tanpa kira mengira bangsa dan agama.

“Saya tahu rasanya seorang perempuan yang berkahwin dan tidak dapat memberi anak. Itu memberi kesan tambah-tambah lagi saya berkahwin dengan Tengku Mahkota. Jadi, setiap kali mengalami kegagalan saya tahu betapa sedih dan patahnya hati. Malah, setiap kali buat rawatan, tak semestinya berjaya. 17 kali buat rawatan baru dapat anak sulung.

“Ayahanda saya yang merasa lebih bila dia melihat keadaan saya, pernah dia  cakap waktu saya lahirkan anak kembar. Ayahanda cakap pada saya Azizah cukuplah, Bah tak sanggup tengok Azizah menderita lagi. Cukuplah 4 orang anak yang dikurniakan. Malah, Ayahanda cakap antara semua anak, saya lah paling kuat dan dia selalu berdoa untuk saya.

“Tetapi saya lihat nenda, Sultanah Aminah yang selepas 12 tahun berkahwin baru mendapat anak. Tok saya keguguran anak 6 kali dan melahirkan anak setahun meninggal. Selepas 12 tahun baru dikurniakan anak.

“Jadi saya selalu fikir, kalau Tok saya mampu harunginya, takkan saya tak boleh. Ayahanda saya selalu kata, Azizah macam Tok. Hanya yang melalui faham perasaan itu.” jelas Tunku Hajah Azizah yang menasihati pasangan yang belum memiliki anak supaya tidak putus asa, selalu berdoa padaNya.

Tidak menyangka selepas mendapat seorang anak, Tuanku dianugerahkan empat lagi anak.

“Waktu dapat Hassanal, saya terfikir takkan sorang sahaja. Jadi saya jumpa dengan doktor. Waktu itu umur saya 36 tahun dan diberitahu tak ada harapan. Terus saya pulang ke Singapura dan buat rawatan. Akhirnya saya dapat anak kembar tetapi seorang meninggal. Selepas itu saya menyambung rawatan memandangkan ada lagi 5 embrio.

“Jadi saya bersangka baik kalau tak ada rezeki lagi memandangkan sudah ada dua anak. Alhamdulillah saya dapat kembar. Selepas itu doktor tanya sama ada saya mahu ikat kerana sudah tiga kali melakukan pembedahan. Tak sangka saya mengandung secara normal dan itulah kurniaan yang tidak disangka-sangka,” ungkap Tunku Azizah lagi.

Susahnya saya nak dapat anak.

"Semua tahu bagaimana susahnya saya nak dapat anak. Empat anak saya hasil rawatan IVF.Saya sembilan tahun lebih kahwin pun macam hendak putus asa, 17 kali buat rawatan. Setiap kali saya mengandung, saya kena baring enam bulan tak turun daripada katil," kata Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Posted by Utusan Online on Sunday, July 28, 2019

sumber: Utusan Online & IG Istana Negara