Dikurniakan anak yang ramai sememangnya adalah satu rezeki yang tidak ternilai. Pun begitu, setiap anak ini juga merupakan amanah yang perlu dijaga sebaiknya. Lantaran itu, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita perlu mendidik dengan sebaik mungkin agar anak-anak ini dapat membesar menjadi orang yang berguna dan sempurna akhlaknya.

Melalui perkongsian Baharuddin Mohamed di dalam fbnya  tentang apa yang sering dilakukan bersama dengan 9 orang anaknya, sewajarnya boleh dijadikan inspirasi oleh ibu bapa lain dalam mendidik anak-anak.  Jadi jom saring tip yang baik demi membina keluarga bahagia!


Anak saya sembilan orang. Paling besar 16 tahun dan paling kecil 2 tahun. Kami suami isteri bekerja sendiri. Enam orang dari sembilan anak saya adalah perempuan. Seronok tengok anak-anak membesar depan mata.

1. Subahanallah, Allahukbar, Alhamdulilah. Kami tinggal di kampung. Kami sendiri yang menguruskan anak-anak kami. Tujuh dari sembilan sudah bersekolah. Isteri saya hantar anak-anak 10 kali sehari berulang-alik. Itu pun dah habis masa banyak. Tetapi anak-anak membesar depan mata kami. Kami tak ada pembantu rumah. Dari memasak dan kerja rumah memang isteri saya yang buat. Air tangan ibu ni penting. Bila memasak, berdoalah pada Allah supaya anak-anak kita ni dilembutkan hati dan menjadi anak yang soleh.

2. Solat berjamaah penting di rumah. Selepas itu buat usrah seminggu sekali. Dalam tazkirah selalulah nasihatkan anak-anak. Lebih penting bila mereka sudah dewasa. Waktu usrahlah masa paling sesuai, tenang lepas solat untuk menasihatkan anak-anak.

3. Selalulah mengaji bersama dengan anak-anak. Buat majlis kecil yassinan setiap malam Khamis. Jika saya outstation isteri saya yang akan pimpin atau anak lelaki saya yang sulung.

4. Anak-anak yang tahun peperiksaan pastikan mereka mengaji satu muka sehari. Ini salah satu usaha untuk mereka mudah fokus dan ilmu mudah dapat.

5. Sebagai ibu bapa jagalah setiap perkataan yang keluar dari kita. Bersabarlah dan jangan berkecil hati dengan anak-anak jika mereka membuat salah. Inilah biasanya mulanya anak-anak derhaka. Bila anak derhaka, Alllah tak berkat hidup dia. Jadinya nanti susah. Kita ibu bapalah yang jangan cepat melatah. Biasanya saya yang garang pada anak-anak. Tetapi dalam beberapa tempoh saya akan minta maaf dan terangkan perkara sebenar.

6. Peluk dan cium anak-anak seberapa kerap yang boleh walaupun mereka sudah dewasa. Doa dalam hati supaya mereka menjadi anak yang soleh. Peluk mereka kerana pelukan itu ada aura positif untuk mereka dan mereka rasa selamat.

7. Bila solat malam, solatlah berdekatan dengan anak-anak. Bila mengaji, bacalah dengan kuat sedikit. Walaupun mereka masih kecil, lama-kelamaan mereka faham dengan menjalani kehidupan secara Islam.

8. Saya suka tengok anak-anak bila tidur. Ianya menjadi satu kepuasan sebelum saya masuk tidur. Kalau boleh ciumlah mereka masa mereka tidur dan hembuskan sesuatu yang baik di telinga mereka.

9. Bila kita selalu berjauhan dengan anak-anak dengan urusan kerja, bila teringat tu kita sedekahkanlah mereka dengan Al-fatihah dan berdoa agar mereka dilindungi dengan segala rintangan yang berat.

Kami bukanlah keluarga yang terbaik. Saya cuba kongsikan ilmu keibubapaan kepada sahabat semua. Kami juga sedang belajar. Moganya ada yang boleh diguna pakai.

Sumber : Baharuddin Mohamed

Tinggalkan Komen