Tonsil adalah kelenjar yang berada di belakang mulut dan bahagian atas tekak. Mereka membantu untuk menapis kuman bagi untuk mencegah jangkitan dalam badan. Ini bermakna sebelum kuman masuk dalam badan melalui jangkitan pada mulut dan tekak, tonsil akan membengkak supaya antibodi dapat membunuh kuman tersebut.
.
Pada mulanya, bengkakan tonsil mungkin tidak menimbulkan rasa sakit dan tidak perlu dirawat dengan ubat antibiotik. Ini kerana jangkitan kuman itu tidak kuat dan sistem daya tahan tubuh dapat membunuh semua kuman tanpa masalah.
.
Bagi mereka, cara terbaik ialah dengan minum air mineral yang tidak sejuk secukupnya antara 1.5-2.0 L. Air dan mineral dapat membantu meningkat sistem daya tahan dalam tubuh. Selain dari air mineral, mereka juga digalakkan minum air suam seperti teh halia atau teh lemon yang suam, kerana ia memberikan kelegaan dan menggalakkan penyembuhan.
.
Air sejuk seperti jus yang sejuk atau aiskrim biasanya digalakkan pada pesakit yang baru saja menjalani pembedahan buang tonsil kerana air yang sejuk dapat menghentikan pendarahan akibat tisu disekeliling tonsil yang cedera akibat pembedahan.
.
Pesakit juga boleh berkumur dengan air garam yang suam atau menggunakan sebarang antiseptic yang boleh digunakan untuk berkumur. Menghisap lozenges (mengandungi bahan benzokain) adalah untuk mengurangkan rasa sakit, bukannya rawatan untuk membunuh kuman. Lozenges juga tidak sesuai diberikan kepada kanak-kanak kerana dibimbangi mengalami risiko tercekik.
.
Ubat tahan sakit dan ubat demam seperti paracetamol dan panadol (acetaminophen) boleh diberikan jika pesakit merasa sakit ketika menelan dan mengalami demam yang tidak tinggi.
.
Sesetengah orang yang mengalami jangkitan kuman pada tonsil yang berulang mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tonsil (tonsillectomy).
.
Suplemen seperti vitamin C dan E boleh digunakan. Ia tidak bertindak sebagai rawatan membunuh kuman tetapi membantu mempercepatkan penyembuhan.

IBU BAPA KENA ALERT

Tanda-tanda tonsillitis yang mungkin bahaya dan perlukan pemeriksaan doctor dan diberikan rawatan ubat antibiotik ialah :

1. Air liur yang meleleh secara berlebihan pada anak kecil

2. Demam, terutama pada suhu 101 ° F atau lebih tinggi

3. Nanah di bahagian belakang tekak

4. Ruam merah yang kasar, terutama pada lipatan kulit

5. Kesukaran menelan sehingga tidak selera untuk makan

6. Mengalami masalah pernafasan yang teruk

7. Kelenjar di leher yang membengkak dan rasa sakit
.
Kesimpulannya tonsillitis hanya perlu rawatan antibiotic jika doctor merasakan ia adalah jangkitan kuman bakteria dan berada di peringkat memerlukan. Bagi pesakit saya yang mengalami rasa sakit tekak, banyakkan minum air suam. Insya ALLAH ubat antibiotic dapat dielakkan.
.
Rujukan : Tonsils and adenoids. Wetmore RF. In: Kliegman RM, Behrman RE, Jenson HB, Stanton BF, eds. Nelson Textbook of Pediatrics.19th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2011:chap 375.

Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad