Setiap rezeki itu pemberian Allah SWT. Kita tidak mampu untuk menilai seberapa banyak yang Allah anugerahkan untuk kita melainkan berdoa moga diberikan rezeki melimpah ruah.

Bagi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Richworks International Sdn Bhd, Dr. Azizan Osman, beliau mempunyai caranya yang tersendiri untuk menjemput rezeki dalam hidupnya. Sebagai peneraju sebuah syarikat yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2012, sebagai syarikat yang terbesar di Malaysia dalam menganjurkan pelbagai seminar dan program dalam bidang pembangunan usahawan, pemasaran dan motivasi, beliau mempunyai cara dan tip tersendiri untuk kekal berjaya seperti hari ini.

“Dulu Sibuk Kejar Duit Hingga Abaikan Dia. Itu silap Saya.” Jaga Hubungan Dengan Allah Kunci Keberkatan Rezeki Yang Dimiliki Dr Azizan Osman

Berkongsi Tip

“Definisi rezeki bagi kefahaman orang biasa mungkin adalah duit, tetapi sebenarnya maksud rezeki ini terlalu besar.  Saya tertanya-tanya rezeki mana yang hendak dijemput? Saya melihat rezeki yang dimaksudkan ini sebagai rezeki kekayaan berlandaskan jalan Allah. Jika ditanya apa perkongsian saya, menjaga solat adalah satu kepentingan pada saya. Apa yang saya amalkan adalah melakukan solat sunat taubat, tahajud dan witir sebelum solat subuh.

“Nak buat semua itu, kenalah bangun awal. Orang paling awal akan dapat rezeki paling awal. Siapa paling awal, insya-Allah termakbul doanya sebab ramai orang sedang tergolek tidur kala itu. Saya bangun antara jam 4 hingga 5 pagi setiap hari demi untuk meraih kemakbulan Allah. Selain itu, disiplin, saya buat sebanyak mungkin yang nabi suka. Contohnya nabi suka mandi sunat waktu pagi, jadi saya buat.

“Bukan mudah hendak mandi pagi-pagi buta, tetapi saya buat kerana saya nak nabi suka pada saya. Selepas itu saya biasanya akan ke masjid (kalau tiada seminar) dan akan melakukan solat sunat Subuh disusuli solat Dhuha. Di antara waktu itu, saya isikan dengan istighfar, selawat dan amalan bismillah. Tidak susah melakukannya kerana dalam kereta pun kita boleh berselawat sebanyak-banyaknya.

Selain itu, saya mesti komited dengan sedekah. Kalau bukan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap hari Jumaat. Ia wajib bagi saya. Bukan hanya wang ringgit tetapi melalui perkongsian ilmu saya kepada orang di luar sana.

Untuk berada di tahap ini, terlalu banyak cabaran yang saya lalui di kala memulakan langkah. Rasa bimbang, takut pada kegagalan dan takut pada apa orang lain kata menjadi batu penghalang pada permulaannya. Ego, rasa sudah pandai, tidak mahu belajar dan salah faham terhadap bisnes kononnya perlu ada duit banyak menjadi satu tembok yang sukar dilepaskan.

“Kesusahan saya pada tiga tahun pertama ialah kerana saya tiada mentor, ilmu dan sistem. Saya ingat saya pandai dulu. Apabila kita mula belajar dan faham, insya-Allah akan lebih senang. Tak adalah terus jadi tetapi ia lebih mudah,”katanya lagi berkongsi segala tip.

Ketika ditanya apakah cabaran jatuh bangunnya sebelum berjaya, Dr Azizan mengakui bukan senang untuk berada seperti sekarang ini. Semakin banyak dia melangkah, semakin besar ujiannya daripada Allah.

“Cabaran paling besar adalah lupa Tuhan. Dulu saya sibuk kejar duit hingga abaikan Dia. Itu kesilapan saya. Tersasar daripada matlamat asal misalnya kenapa saya berniaga, untuk siapa dan untuk apa menjadi cabaran saya ketika awal langkah. Kini saya mula memahami bahawa berniaga bukanlah hanya untuk mencari wang semata-mata tetapi paling utama menggunakan kemahiran kita untuk membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Membantu orang lain menyelesaikan masalah dan menggembirakan hati orang lain, insya-Allah semuanya akan berbalik kepada kita kelak, Itulah keikhlasan sebenar kita berniaga,” ujarnya lagi.

“Dulu Sibuk Kejar Duit Hingga Abaikan Dia. Itu silap Saya.” Jaga Hubungan Dengan Allah Kunci Keberkatan Rezeki Yang Dimiliki Dr Azizan Osman

IKLAN

 Definisi Rezeki Kekayaan

Menurut Dr. Azizan lagi, rezeki kekayaan tidak hanya daripada wang ringgit semata-mata. Rezeki hadir dalam pelbagai cara dan setiap orang rezekinya berbeza-beza. Namun Dr Azizan mengklasifikasikan rezeki kekayaan berdasarkan pelbagai aspek.

“Yang pertama adalah kekayaan jiwa sebagaimana Rasulullah SAW menyebut, sebenar-benarnya orang yang kaya itu adalah yang kaya jiwa.  Kekayaan jiwa adalah kekayaan dalaman, kekayaan dari segi hati dan kekayaan kolam jiwa. Kekayaan ini berkaitan tentang hati, antaranya bersangka baik, beradab, sopan dan berdisiplin.

“Kedua adalah kekayaan kesihatan.  Menjemput rezeki dari sudut kesihatan, kita kenalah buat senaman dan menjaga tubuh badan sebaiknya di samping tidur yang mencukupi serta menjaga kadar hidrat badan. Kekayaan ataupun rezeki dalam hal keluarga, di mana kita menjaga silaturahim sesama anggota keluarga juga dianggap sebagai kekayaan rezeki.

Keempat adalah rezeki daripada hasil kerja atau tugasan yang kita buat dengan baik.  Ini juga akan menjemput rezeki kepada kekayaan. Kelima, adalah rezeki dari segi wang dan harta. Kepintaran dan kebijaksanaan yang dianugerahkan Allah juga adalah rezeki. Tidak hanya di situ, berada di sekeliling orang-orang yang bijaksana, berilmu, alim dan soleh juga adalah satu rezeki yang bagus.

“Dulu Sibuk Kejar Duit Hingga Abaikan Dia. Itu silap Saya.” Jaga Hubungan Dengan Allah Kunci Keberkatan Rezeki Yang Dimiliki Dr Azizan Osman

“Dulu Sibuk Kejar Duit Hingga Abaikan Dia. Itu silap Saya.” Jaga Hubungan Dengan Allah Kunci Keberkatan Rezeki Yang Dimiliki Dr Azizan Osman

Pengalaman juga dianggap sebagai satu rezeki dari Allah. Apabila kita melalui satu pengalaman, pengembaraan dan cabaran, di situlah kita akan mempelajari sesuatu sekali gus menambah kebijaksanaan sedia ada. Akhir sekali adalah rezeki dari segi keberkatan yang mana ia diperoleh daripada sumbangan, sedekah zakat, wakaf atau infaq,” katanya dalam huraian penuh panjang lebar.

IKLAN

 Cari Keberkatan

Menurut Dr Azizan lagi, menjaga hubungan dengan Allah adalah kunci kepada keberkatan rezeki yang kita miliki. Jika hubungan dengan Allah tidak dijaga bagaimana Allah hendak mendatangkan rezeki kepada kita.

“Satu hadis menyebut,  “Tuhan mengikut sangkaan hamba Nya”.  Apa yang kita sangka, Allah akan tunaikan. Kalau tidak hari ini, esok lusa pasti Allah makbulkan doa kita. Kuncinya adalah dengan bersolat. Solat adalah tanda syukur kepada Nya. Dalam Quran ada menyebut, “sesiapa yang bersyukur nescaya aku akan tambahkan lagi kepadanya.” Dan kunci rezeki itu Allah akan datangkan kepada kita bila kita banyakkan syukur kepada Nya.

“Ketiga adalah dengan memperbanyakkan sedekah kerana itulah janji Allah. Semakin banyak kita bersedekah, semakin banyak yang kita dapat. Inilah kunci keberkatan. Yang keempat adalah menyucikan diri dalaman dan luaran. Pembersihan ini apa yang saya panggil sebagai kolam jiwa.  Hati ialah tempat Allah pandang kita, hati adalah tempat cahaya.  Kalau hati kita diperbaiki, nescaya kita akan lebih mudah mendapat keberkatan.  Jadi jika hendak mudah rezeki, kita jaga kolam jiwa kerana ia terus dengan Allah. Allah pandang hati kita, insya-Allah doa kita akan termakbul.

Seterusnya banyakkanlah istighfar dan selawat ke atas Nabi SAW. Ini juga sebagai amalan pembersihan kolam jiwa dan pintu kepada semua rezeki. Inilah yang saya amalkan sejak dulu.

Selain itu, memperbanyakkan salam dan senyuman juga sebagai salah satu cara. Salam adalah sebagai satu cara mendoakan orang lain. Sekali kita mendoakan orang lain, 10 kali ganda Allah akan balas untuk kita. Begitu juga dengan senyuman yang tergolong sebagai sedekah.

Tidak dilupakan adalah sentiasa menjaga silaturahim sesama manusia. Tidak ada gunanya kita berniaga tetapi tidak menjalankan silaturahim sesama kita. Akhir sekali adalah berdoa dan bertawakal  kepada Allah SWT,” katanya panjang lebar.

 5 Tip Persiapkan Psikologi

IKLAN

*Memahami bahawa setiap yang berlaku adalah dengan izin Nya.

*Memahami bahawa Allah tidak pernah zalim sebaliknya kita yang menzalimi diri kita sendiri ketika berniaga.

*Menyedari setiap kegagalan pasti ada hikmahnya dari Allah.

* Kembali kepada Allah setiap kali gagal seperti melakukan solat taubat dan memohon maaf sambil meminta petunjuk daripada Nya.

* Tidak lagi mengulangi perkara sama di samping mendapatkan ilmu daripada mentor, melalui sistem yang tepat.

sumber: Majalah Keluarga Januari 2016

Gambar: http://azizanosman.com/blog/

 

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI