Lihat sahaja warnanya sudah menaikkan selera, belum di makan lagi. Gabungan rasa susu dan mangga yang masam-masam manis memang sangat menyegarkan. Teksturnya yang lembut lebih-lebih lagi kalau makan sejuk-sejuk memang sedap.
Untuk ibu-ibu yang tengah berdiet tapi nak cuba puding mangga susu yang simple ini resipinya. Bahan-bahan pun mudah hanya menggunakan 3-4 bahan utama saja. Hasilnya pula sangat menarik, ala puding mangga KFC tapi lagi sedap!
Jadi, jangan buang masa lagi. Jom kita tengok resepi puding mangga oleh Puan Yang Ku Rodzmah ini.
RESEPI PUDING MANGGA SUSU ALA KFC. KURANG MANIS LAGI SEDAP!
Hari tu ada orang share resepi dadih susu yang viral.
Serius sedap makan sejuk-sejuk. Rasanya ala puding mangga yang dijual di KFC. Mungkin lagi sedap lagi sebab kita boleh olah ikut citarasa sendiri dan pakai pula bahan yang segar. Dah tentulah lagi uummpph hasilnya.
Ini saya sertakan bahan yang saya gunakan dan cara membuatnya langkah demi langkah.
Bahan-Bahan
- 1 liter air masak / air tapis
- Agar-agar tali 20g dibahagi 3 (letak 1 bahagian saja)
- Susu kotak full cream 1 liter
- Gula
- Garam
- Buah mangga segar dipotong dadu
- Sunquick mangga
Cara membuat
- Masak agar-agar
Mula-mula masakkan agar-agar tali menggunakan 1 liter air.
Tunggu sampai agar-agar betul-betul larut dan hancur. Masukkan sedikit gula dan garam.
2. Tuangkan susu full cream
Bila dah hancur agar-agar tu barulah letak susu kotak full cream 1 liter.
Tunggu sampai meruap dah boleh padamkan api ya. Tak perlu sampai gelegak sebab nanti susu tu tak cantik.
3. Isi dalam bekas
Isi puding susu ke dalam bekas dan tunggu kejap biarkan ia memejal.
4. Letak topping
Untuk topping tu saya cuma campurkan mangga yang dipotong dadu dan bersama Sunquick perisa mangga. Tak perlu masak, terus campurkan saja.
Ikutlah banyak mana nak guna, boleh agak-agak ikut kita nak manis macam mana.
Bila dah siap, inilah hasilnya. Mudah kan? Nampak warnanya pun menarik.
Sumber: Sirap Limau
Usah Biar Duri Dalam Hubungan Mentua-Menantu. Ini Tip Jadi Menantu Favourite!
Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
- Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
- Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
- Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
- Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
10 cara jadi menantu favourite!
- Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
- Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
- Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
- Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
- Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
- Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
- Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
- Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
- Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
- Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Rimas Dengan Masalah Kutu Beras, Ibu-Ibu Cuba Ikut Cara Ini. Confirm Cukup Mudah Dan Efektif!
Menyimpan beras di dalam bekas tanpa ditutup atau terlalu lama boleh menyebabkan kutu beras ini membiak di dalamnya. Bubuk atau kutu beras ini sememangnya menjadi kepantangan kepada suri rumah. Paling menyakitkan hati apabila beras tersebut menjadi kurang enak, lembik dan mudah basi. Ia juga boleh mendatangkan ketidakselesaan selain mengurangkan kualiti beras.
Oleh itu, kena segera lakukan cara ini untuk elak daripada ‘serangan’ kutu beras ini. Caranya mudah dan cukup efektif.
6 Petua Beras Bebas Bubuk
1. Daun limau purut
Aroma herba yang kuat daripada daun limau purut bukan sahaja kutu beras tidak menyukainya malah sekali gus mampu menghilangkan bau beras yang hapak. Untuk lebih efektif, letakkan daun limau purut ini di tiga lapisan beras, iaitu bahagian bawah bekas, tengah dan atas.
2. Daun pandan
Kutu beras juga tidak suka dengan bau aroma daun pandan. Jadi ambil sehelai daun pandan dan simpulkan ia sebelum dimasukkan ke dalam bekas penyimpanan beras. Bukan sahaja kutu beras dapat dihilangkan malah beras menjadi lebih wangi.
3. Cili kering
Menggunakan cili kering juga amat efektif untuk menghindari adanya kutu beras. Caranya cukup mudah, cili kering dipotong dua dan letakkan di dalam bekas penyimpanan beras.
4. Jemur
Teknik ini sering dilakukan oleh ibu-ibu kita dahulu. Letakkan beras yang telah di’huni’ oleh kutu beras di dalam dulang atau bekas terbuka. Kemdian jemur di bawah sinaran matahari sehingga kutu beras tiada.
5. Daun belimbing buluh
Sebaiknya simpan beras bersama dengan dua tiga helai daun belimbing buluh yang telah dikeringkan. Daun belimbing buluh dikatakan cukup berkesan menghapuskan kutu beras.
6. Kulit kayu manis
Selain bermanfaat digunakan untuk menghalau semut, kulit kayu manis juga boleh digunakan untuk menghindar atau menghalau kutu beras. Aroma khasnya itu membuatkan kutu beras berasa tidak selesa.
Snek Sedap, Berkhasiat! Bakwan Rangup Hidangan Minum Petang Seisi Keluarga
Bila sebut tentang snek di petang hari, pastinya hidangan bergoreng sangat menepati citarasa masyarakat Melayu. Bakwan merupakan menu yang boleh dikatakan sihat kerana menggunakan sayur-sayuran sebagai bahan utama.
Cara nak membuatnya juga tidak remeh, hanya ikut sahaja step yang dikongsikan oleh Siti Khajar ini. Bakwan juga sangat sesuai dijadikan menu snek petang bersama keluarga.
Bakwan Rangup
Bahan-Bahan:
- 2 cawan tepung gandum
- 1 sudu tepung beras
- 4 sudu tepung bestari pedas (pilihan)
- 1/2 cawan udang geragau kering
- 1biji telur (pilihan)
- Sedikit garam
- Sedikit serbuk kunyit
- 1 1/2 cawan lobak merah sagat
- 1 1/2 cawan taugeh
- 1 1/2 cawan hirisan kobis
- 5 tangkai daun kucai
- 1 labu bawang besar hiris kasar
Cara-Cara:
– Bancuh tepung gandum, tepung beras, tepung pedas, udang, telur, garam dan serbuk kunyit dengan air ais. Agak-agak jangan pekat dan jangan cair.
– Masukkan lobak merah, taugeh, kobis, daun kucai dan bawang besar. Gaul rata. Goreng menggunakan minyak yang banyak.
Sos Pencicah
Bahan-Bahan:
- 2 biji lada merah
- 1 ulas bawang putih
- 1/2 sudu gula pasir
Cara-Cara:
– Tumbuk lumat kalau tak lumat boleh je tapis. Campurkan dengan 4 sudu cili sos dan 4 sudu air panas.
Sumber: Siti Khajar