Pengalaman adalah guru sejati dalam hidup. Bukan cuma dari pengalaman sendiri malah pengalaman orang lain juga sangat berguna. Bahkan sebenarnya bila kita belajar dari perkongsian pengalaman orang lain, itu adalah cara mudah untuk kita mengutip pelbagai pengalaman baru.

Setiap perkongsian pengalaman hidup dengan orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza, secara tidak langsing kita akan dapat menimba pengalaman tersebut dan bolehlah dijadikan iktibar atau sebagai nilai tambah kepada kehidupan kita.

Umpamanya dengan memahami pengalaman daripada seorang doktor ini yang dikenali sebagai Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di akaun facebooknya. Berkongsi kisah bagaimana dia membelanjakan dan mengurus wang gajinya berkaitan membeli kereta idaman hingga terpaksa melalui fasa yang sukar dalam hidupnya.

Semoga kisah ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan kita dan sebaiknya mendalami maksud ‘ukur baju di badan sendiri’ dalam konteks pengurusan kewangan dalam berbelanja.

Ini perkongsiannya, semoga beranfaat.

Beli Kereta Bebankan Poket, Bukan Keperluan

“Eleh, dia kata jangan beli kereta mahal, tapi dia sendiri pakai Mustang! Pakai Alphard!”
Bila ada orang yang pesan agar beli kereta biarlah yang tak mahal, mesti ada yang akan akan pertikai orang yang berpesan tu kerana orang itu sendiri guna kereta mewah.

Saya rasa betul dah nasihat tu. Nak elak beli kereta, memang sukar. Kereta ni dah jadi semacam keperluan dah zaman sekarang ni. Tapi beli kereta yang bebankan poket, bukan keperluan.

Dulu, masa saya baru mula kerja, saya macam orang lain juga. Tak pandai urus duit. Setelah beberapa bulan dapat gaji, benda pertama saya beli adalah kereta. Kereta terpakai sahaja.

Namun bukan calang-calang punya kereta. Kereta mahal, spesifikasi penuh, enjin boleh tahan besar. Harga dia pun besar jugalah. Menjangkau 50% dari jumlah gaji saya. Separuh gaji!

Masa beli kereta, LKM(roadtax) dan insurans ada lagi baki 2 bulan. Jadi, selepas 2 bulan beli kereta, baru kena buat roadtax baharu. Saat tu saya mula menyesal dengan apa saya buat.

Bayangkan pada bulan saya kena perbaharui LKM tu, saya kena bayar ansuran kereta (50% gaji) + LKM/insurans (120% gaji). Bersamaan = 170% gaji. Garu kepala saya masa tu. Ketar lutut.

Saya kena keluarkan duit, lebih daripada gaji saya bulan itu. Bukan lebih sikit. Lebih banyak. Itu tak termasuk duit minyak kereta lagi. Lagi besar enjin, lagi makan minyak.

Nak hidup banyak lagi komitmen nak kena bayar. Rumah, makan minum, dan lain-lain. Bila dah 2 bulan bayar kereta, baru sedar sebenarnya saya tak mampu pun nak memiliki kereta ni.

Ego Punya Pasal

Termenung saya duduk lihat kereta saya. Kenapalah saya beli kereta ni? Kawan-kawan beli sederhana sahaja, saya pula beli kereta mewah. Lepas tu, bulan-bulan, kawan mewah, saya pokai.

Fikir punya fikir, akhirnya saya rasa saya hanya ada dua pilihan. Sama ada jual semula kereta, atau cari duit lebih. Ego punya pasal, saya buat pilihan yang kedua itu.
Sakit, bang! Perit! Kerja siang malam di tempat kerja. Balik kerja, cari duit tambahan lagi. Dalam masa sama, pi timba ilmu pengurusan kewangan. Rupanya banyak benda saya buat sebelum ni, salah!

Kena Belajar Ilmu Pengurusan Wang

Nak buat apa-apa kena buat belanjawan. Nak buat belanjawan ni kena buat jangkaan status kewangan 6 bulan hingga 5 tahun ke hadapan. Bergantung kepada apa kita nak beli.

Contohnya, nak beli kereta. Seeloknya bayaran ansuran bulanan, sekitar 10% dari jumlah gaji sahaja. Sebabnya, pemilikan kereta ada kos minyak dan penyelenggaraan. Itu pula akan ambil 5-10% dari gaji.

Saya beli kereta 50%(ansuran) + 10%(minyak). Mana tak maut dompet saya. Kena pula bulan nak kena bayar LKM/insurans. Terkubur terus segala simpanan yang ada.
Namun Alhamdulillah, saya sudah berjaya bayar penuh kereta berkenaan. Buat masa ni tak nak beli kereta mahal dah. Serik. Tak nak lagi tempuh fasa tu. Ni fasa nak kukuhkan semula status kewangan.

Bila lihat anak muda yang beli kereta hampir 30%-50% gaji, saya naik risau. Ngeri pun ada. Tambahan yang suka ubahsuai kereta macam-macam. Bukan sikit-sikit duit habis bikin kereta. Puluh ribu.

Kita semua kena belajar ilmu pengurusan wang pendapatan. Mesti ada lagi benda kita tak tahu. Belajar tentang simpanan, pelaburan, perkongsian risiko, pengurangan cukai dan sebagainya.

IKLAN

Kadang, orang yang nasihat jangan beli kereta mewah tu kita nampak dia memiliki kereta mahal. Mungkin mahal pada kita, tak mahal pun pada dia. Maybe dia bayar kereta tu 10% saja dari gaji dia.

Jadi, tak perlu pertikai orang yang berpesan tu. Nasihat dia tetap terpakai.

Kamarul Ariffin Nor Sadan
Tak Pandai Kewangan


Nota: Zaman muda dulu, beriya nak beli kereta mahal. Hujung-hujung, saya beli Kelisa ni je sebagai kereta harian. Kereta satu lagi tu duduk rumah je. Nafsu je semua tu.

Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan

 

ARTIKEL MENARIK:“Bantu Keluarga Jangan Sampai Jadi Muflis…”- Dr Ni Beri Pesan Agar Beringat Sebab Banyak Dah Berlaku!

LAGI ARTIKEL MENARIK :“Rumah Persaraan Sebaiknya Kecil & Setingkat Sahaja”-Dr Azizul Azli Jelaskan Cara Nak Persiapkan Rumah Persaraan!

IKLAN

Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!

Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club