
Melihat anak membesar di depan mata sememangnya menjadi satu nikmat yang sukar digambarkan. Namun di sebalik rasa teruja, ada juga sebak yang datang apabila seorang ibu sedar fasa bayi itu semakin perlahan-lahan berlalu.
Itulah yang dirasai pelakon Afifah Nasir apabila anak sulungnya, Syed Armand Mateen, kini hampir menginjak usia setahun.
Menerusi beberapa perkongsian di Instagram, Afifah mengakui bulan ke-11 menjadi antara fasa paling emosional sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu.
Menurutnya, dia gembira melihat perkembangan anak dari hari ke hari, namun pada masa sama mula merindui versi kecil anaknya yang semakin ditinggalkan.
“Suatu hari nanti, mereka tak perlukan kita untuk tidur bersama, tak perlukan kita pakaikan baju, tak perlukan kita nyanyikan lagu tidur, tak perlukan kita suapkan makanan, tak perlukan kita memberikan ubat.
“Dalam sekelip mata, mereka tak perlukan kita dengan cara yang sama. Jadi, hargailah setiap momen selagi masih ada,” tulisnya.
Dalam hantaran berbeza, pelakon drama Lara Aishah itu menyifatkan bulan ke-11 sebagai satu fasa yang cukup mencabar emosinya.
“Tiada siapa benar-benar bercakap tentang betapa emosinya bulan ke-11 ini.
“Kamu masih lagi bayi, tetapi ciri-ciri kebayian itu semakin hilang. Ia seperti perpisahan yang perlahan,” luahnya.
Bagi seorang ibu, perubahan kecil seperti anak semakin aktif, mula berdikari dan tidak lagi terlalu bergantung seperti dahulu mungkin nampak biasa pada orang lain.
Namun bagi yang membesarkan mereka sejak hari pertama, setiap perubahan itu membawa makna tersendiri.
Fasa tersebut juga seolah-olah menjadi titik peralihan apabila seorang ibu mula melihat bayi yang selama ini didukung perlahan-lahan membesar. Keterujaan menyaksikan perkembangan anak hadir bersama perasaan rindu terhadap momen yang tidak mungkin dapat diulang dengan cara sama.
Afifah Nasir turut mengimbas detik setahun lalu ketika dirinya masih menanti kelahiran cahaya mata sulung.
Kini, masa terasa begitu pantas apabila anak yang dahulu ditunggu-tunggu bakal menyambut ulang tahun pertamanya.
“Pada waktu yang sama tahun lalu, saya menanti untuk bertemu kamu, si kecil saya. Dan kini, kita sedang meraikan ulang tahun pertama kamu.
“Saya raikan setiap versi baru diri kamu, sambil dalam diam merindui versi yang telah kamu tinggalkan.
“Tapi ketahuilah, saya sayang setiap fasa kamu,” kongsinya.
Luahan itu menggambarkan perasaan yang mungkin cukup dekat dengan ramai ibu bapa. Dalam keterujaan menunggu anak mencapai perkembangan baharu, ada kenangan daripada fasa sebelumnya yang mula dirindui.
Lebih menyentuh hati, Afifah turut membayangkan hari-hari mendatang apabila anaknya sudah meningkat dewasa dan mungkin kembali memerlukan penjagaan ketika usia tua.
“Suatu hari nanti, rambutnya mungkin menipis kembali, senyumannya mungkin kembali tidak bergigi, dan dia mungkin kembali memerlukan penjagaan… namun saya sudah tiada di sisi.
“Saya hanya berharap, sesiapa yang ada nanti akan menyayangi dan menjaganya sedalam mana saya menyayanginya,” luahnya.
Bagi Afifah Nasir, perjalanan hampir setahun sebagai ibu turut membawa pelbagai pengalaman baharu dalam kehidupannya.
Walaupun perasaan sebak hadir melihat anak semakin membesar, kasih seorang ibu tetap mengiringi setiap perubahan yang bakal dilalui anaknya pada masa hadapan.
Untuk rekod, Afifah mendirikan rumah tangga bersama Syed Hariz pada 5 Mei 2024.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Syed Armand Mateen, yang dilahirkan pada 21 September 2025.
BACA LAGI : Lima Anak Membesar Dengan Lampin Cawat, Kesungguhan Bapa Ini Buat Ramai Kagum
Sumber : IG Afifah Nasir