Berita

“Abang Cuba Leraikan Pergaduhan, Tak Sangka Jadi Mangsa”, Adik Rayu Bantuan Bawa Pulang Jenazah Dari Korea Selatan

Share

Niat murni seorang lelaki untuk membantu rakannya meleraikan pergaduhan bertukar menjadi tragedi apabila Ahmad Shah dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam dalam satu kejadian pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan.

Mangsa yang berusia 26 tahun dikatakan sedang tidur sebelum menerima panggilan daripada seorang rakan yang meminta pertolongannya kerana berlaku pergaduhan di lokasi berkenaan.

Ahmad Shah Keluar Untuk Membantu Rakan

Menurut adik mangsa, Ain Sephia, 25, abang sulungnya itu segera keluar menuju ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan tersebut. Isterinya, Nurcahaya Ruslan turut mengikutinya.

“Abang pergi kerana mahu membantu meleraikan pergaduhan itu. Tak sangka rupanya ada sekumpulan lelaki di sana, sedangkan rakan abang hanya seorang diri.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita yang menimpa abang. Saya rasa macam tidak percaya dengan apa yang berlaku, tetapi kami reda,” katanya.

Gambar Hiasan

Dimaklumkan Ahmad Shah Sudah Tiada

Ain Sephia berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa abangnya sekitar jam 2.40 pagi selepas menghubungi kakak iparnya.

Pada mulanya, Nurcahaya cuba menghubunginya kira-kira jam 1.40 pagi, namun panggilan tersebut tidak disedari. Tidak lama kemudian, ibu mereka pula menghubunginya dan memaklumkan bahawa Ahmad Shah telah ditikam.

“Saya terus telefon kakak ipar sebelum dia beritahu abang sudah tiada. Ketika itu mereka sudah berada di hospital,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses bedah siasat telah selesai dijalankan, manakala Nurcahaya sudah memberikan keterangan kepada pihak polis Korea Selatan.

Menurut maklumat yang diterima keluarga, semua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Tujuh Tahun Mencari Rezeki Di Korea Selatan

Ahmad Shah telah menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang. Sepanjang berada di negara itu, beliau tinggal bersama isterinya.

Walaupun berjauhan dengan keluarga di Malaysia, Allahyarham dikatakan tidak pernah lupa menghubungi ibunya setiap hari untuk bertanya khabar.

Kali terakhir beliau pulang ke Malaysia adalah pada tahun 2023. Ahmad Shah dijadualkan kembali ke tanah air pada Disember ini sebelum menunaikan ibadah umrah bersama ahli keluarganya pada Januari tahun hadapan.

Bagaimanapun, segala perancangan tersebut tidak kesampaian apabila beliau pergi buat selama-lamanya.

“Abang seorang anak yang sangat baik dan suka membantu orang lain. Ketika dia sakit sebelum ini, ramai yang datang menziarahinya. Saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kepadanya,” luah Ain Sephia.

Kos Membawa Pulang Jenazah Cecah RM60,000

Pada awalnya keluarga bercadang untuk mengebumikan Ahmad Shah di Korea Selatan. Namun selepas mengambil kira kos pengebumian dan sewa tanah yang tinggi, mereka mengambil keputusan membawa pulang jenazah ke Malaysia untuk dikebumikan di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dianggarkan kos membawa pulang jenazah mencecah antara RM50,000 hingga RM60,000, tidak termasuk beberapa kos pengurusan lain.

Sementara itu, kos rawatan hospital sebanyak RM18,000 telah dijelaskan oleh isteri Allahyarham hasil bantuan sumbangan daripada rakan-rakan mereka di Korea Selatan.

“Kami berharap jenazah abang dapat dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di sini,” katanya.

Keluarga Mohon Bantuan Orang Ramai

Bagi membantu meringankan beban keluarga, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun berikut:

RHB Bank

  • Nama: Ain Sephia Fabian
  • No. Akaun: 16431700083563

Industrial Bank of Korea (IBK)

  • Nama: Nurcahaya Ruslan
  • No. Akaun: 05610528301010

Segala dana yang diterima akan digunakan bagi menampung kos hospital, penyediaan dokumen, pengurusan jenazah di Korea Selatan, van jenazah serta kos penghantaran pulang ke Malaysia.

Siasatan Polis Masih Diteruskan

Terdahulu, media Korea Selatan melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam pergaduhan berkumpulan yang membabitkan beberapa warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.

Susulan kejadian tersebut, polis menahan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Semoga segala urusan membawa pulang jenazah Allahyarham dipermudahkan serta seluruh ahli keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah.

BACA LAGI : Maryam Syukur Omma Ikut Solat Subuh, Bawa Balik Telekung Belajar ‘Slow-Slow’ Di Korea

Sumber : Berita Harian