“Alhamdulillah Rezeki Berganda.” Menang Naib Juara MLM 2021, Ali Puteh Kongsi Berita Gembira Timang Anak Keempat

Share

Rezeki berganda buat pelawak Ali dari Kumpulan Puteh apabila baru menimang cahaya mata keempatnya selepas merangkul gelaran naib juara program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021).

Ali atau nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 32, memaklumkan isterinya, Melati Fitri selamat melahirkan bayi lelaki secara normal di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah syukur pada Allah, isteri saya selamat melahirkan seorang baby boy pada pukul 2.40 petang.

“Semua proses kelahiran dipermudahkan dan isteri serta bayi berada dalam keadaan sihat.

“Perasaan saya menanti kelahiran kali ini sama sahaja macam kelahiran sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Ali dan isteri masih belum membuat keputusan mengenai nama yang sesuai untuk diberikan.

“Buat masa ni nama belum terfikir lagi, kami selesaikan dulu urusan di hospital sampai baby balik rumah dulu.

“Cukup masa dan bila dah jumpa nama barulah kita beritahu nama anak kami itu.

“Apa-apa pun saya nak berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan kami,” ujarnya.

Untuk rekod, Ali dan Melati Fitri Abdullah mendirikan rumah tangga pada Mei 2016.

Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan Sharifah Nur Aaira Qaireen, 4, dan Sharifah Nur Ainul Mardhiah yang meninggal dunia selepas tiga bulan dilahirkan akibat komplikasi jantung.

Pada 25 September tahun lalu, mereka dikurniakan cahaya mata ketiga, Syed Umar Iskandar yang kini berusia setahun.

Sumber: Mstar online

IKLAN