“Aliran Perdana Atau Pendidikan Khas Bukan Jadi Isu Tetapi Cara Pembelajaran Itu..” Perkongsian Bapa Ini Sungguh Deep

Share

Bukan calang-calang mereka yang terpilih menjadi ibu bapa kepada anak istimewa. Pelbagai cabaran dan pengorbanan yang harus dilakukan dengan hati yang tenang lantaran anak istimewa ini tentunya mempunyai tingkah laku yang berlainan dengan anak normal. Begitulah yang dikongsi oleh seorang bapa Luis Wan yang mempunyai anak  ASD (Asperger Syndrome) yang menyentuh mengenai perkembangan pembelajaran anaknya.

Beliau berkongsi cerita bagaimana beliau dan isteri menghadapi cabaran dalam aspek pendidikan buat anaknya. Ikuti perkongsiannya. Moga menjadi inspirasi buat ibu bapa untuk mendidik anak-anak istimewa dengan sempurna. 


Aliran Perdana atau Pendidikan Khas

Entry uncle kali ini tidak merujuk kepada mana-mana individu atau mana-mana entry sebelum ini. Ianya sekadar perkongsian dan pendapat uncle sebagai seorang bapa yg mempunyai anak ASD (Asperger Syndrome).

Danish mula bersekolah pada tahun 2010 di aliran perdana atas saranan pakar kanak-kanak (Dr.Selina) yg menasihatkan uncle utk memberi dia peluang belajar di sekolah biasa dahulu utk tempoh 3 bulan. Dalam masa 3 bulan itu uncle & isteri telah merancang utk memberitahu pihak sekolah (guru kelas & guru besar) tentang keadaan sebenar Danish. Belum pun sampai tempoh 3 bulan, guru kelas & guru-guru yg mengajar Danish nampak kelainan yg ada pada Danish.

Uncle pendekkan cerita, setelah perjumpaan dgn pihak sekolah akhirnya Danish belajar di aliran perdana sehingga darjah 3. Semasa darjah 3, uncle & isteri nampak kesukaran Danish untuk belajar dgn rakan-rakan sekelasnya.

Kami sering nampak Danish dlm keadaan tertekan ketika hendak menyiapkan homework & adakalanya sampai dia berpeluh-peluh cuba utk menyiapkan semua homeworknya walaupun di dalam keadaan biliknya yang berhawa dingin.

Ini kerana sebagai seorang individu asperger, Danish patuh pada arahan gurunya utk menyiapkan semua homework walaupun uncle & isteri bagitau yg dia boleh menyambung menyiapkan homeworknya pada keesokkan hari.

Dan pada akhir tahun 2012 uncle ambil keputusan untuk menukarkannya ke pendidikan khas walaupun guru besar & guru-guru yg mengenali Danish memujuk uncle utk meneruskan persekolahannya di situ. Semasa membuat keputusan utk menukarkan Danish ke pendidikan khas, keputusan yg uncle buat adalah bersama isteri tanpa berbincang dgn Danish yg ketika itu berusia 9 tahun yg baru sahaja mula untuk menguasai komunikasi 2 hala.

Cabaran pembelajaran

Setelah ditempatkan di pendidikan khas selama setahun, guru pendidikan khas mencadangkan utk menempatkan Danish di kelas inklusif bersama-sama pelajar aliran perdana.

Cabaran pertama yg uncle hadapi ialah memberitahu Danish sendiri yg dia akan mula belajar bersama-sama rakan sekelas yg baru dalam jumlah rakan sekelas yg sama seperti di sekolah lamanya (aliran perdana).

Selama setahun di kelas pendidikan khas, Danish belajar bersama 4-5 rakan yg sekelas dengannya tanpa sebarang tekanan (waktu itu mmg kami bertiga “honeymoon”, tiada stress langsung buat kami bertiga). Cabaran kedua bagi uncle & isteri adalah utk memulakan semula “awareness” kepada rakan-rakan sekelas Danish yg baru.

Cabaran paling besar pernah Danish hadapi ketika belajar di kelas inklusif adalah apabila mendapat tekanan dari guru aliran perdana. Uncle tak salahkan kesemua guru aliran perdana atas sebab seorang guru ya…sebabnya kerana ada juga guru aliran perdana yg prihatin & memberi kerjasama yg bagus kepada uncle, isteri dan juga Danish sendiri.

Akibat tekanan yg dihadapinya itu, pernah satu ketika setelah uncle hantar dia balik ke rumah, habis dia mengamuk kerana tak dapat menahan perasaannya yg bercelaru.
“Papa & mama suruh saya hormat pada cikgu walaupun saya kena marah dengan cikgu…tapi kenapa cikgu tu cakap mama & papa terhegeh-hegeh nak saya ambil peperiksaan UPSR. Cikgu cakap saya nak buka buku pun lembab”. Uncle ambil pendekatan utk buat e-aduan kepada KPM atas insiden tersebut kerana uncle tak mahu Danish jadi mangsa keadaan sekiranya uncle bersemuka secara terus dgn guru tersebut. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Tepung jgn berselerak, rambut jgn putus.

Setelah keputusan UPSR diumumkan, isteri uncle diminta utk menyampaikan ucapan. Ucapan terima kasih buat pihak sekolah & semua yg terlibat dari uncle & isteri disampaikan dlm ucapan tersebut. Dan isteri uncle juga menemukan Danish & guru tersebut setelah selesai majlis dan Danish minta maaf atas kelakuannya semasa belajar dengannya & minta dihalalkan segala ilmu yg guru tersebut ajarkan. Uncle terapkan “forgive & forget” kepada Danish tetapi sehingga kini nama penuh guru tersebut kekal dlm lipatan memori Danish sedangkan kami dah lupa nama guru tu.

Dan sekali lagi uncle & isteri terpaksa ambil keputusan tanpa bertanyakan atau berbincang dengan Danish utk mengekalkan Danish belajar di pendidikan khas sekolah menengah walaupun rata-rata guru pendidikan khas mencadangkan utk menempatkan Danish di kelas inklusif aliran perdana.

Cukuplah hanya sekali dia tertekan sebegitu. Keputusannya yg uncle & isteri ambil adalah utk kebaikan dirinya juga. Selagi uncle nampak dirinya masih berpotensi utk dicungkil kebolehannya oleh guru-guru di pendidikan khas, kami izinkan. Selagi dia masih bersemangat utk ke sekolah tanpa sebarang tekanan, kami bagi sokongan.

Apa yg uncle harapkan cuma bila Danish sudah dewasa & boleh berfikir secara matang, biarlah dia tahu yg keputusan yg kami buat untuknya sekarang adalah yg terbaik untuk dirinya di waktu ini.

Bagi kami, samada dia belajar di aliran perdana atau pendidikan khas itu bukan isunya. Tapi insan yang menjadi tenaga pengajar, guru & cara pembelajaran itu yg akan membantu dia belajar..segalanya.

InsyaAllah.

Sumber: Luis Wan via Autisme Malaysia

IKLAN