Terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi amaran mengenai angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di perairan negara dari 29 hingga 31 Disember.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, METMalaysia memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter dijangka melanda perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.
Ads
Selain itu, kenaikan paras air laut turut diramalkan berlaku di kawasan perairan berkenaan bermula Ahad hingga Isnin dengan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.
Menurut METMalaysia, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter turut dijangka membadai kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan hingga Selasa.
Ads
Di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 km/j dan ombak lebih 4.5 meter dijangka berlaku hingga Selasa.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” menurut kenyataan itu.
Ads
Amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak hingga 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut METMalaysia.
Sumber: METMalaysia. & Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Seorang pemandu wanita, Lee Zi Rou, 21, yang dihempap kontena dalam kejadian tragis di lampu isyarat Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah pada Rabu lalu, sempat menelefon ibunya empat minit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Dalam satu temu bual bersama China Press, ibu mangsa yang dikenali sebagai Lim, 42, berkongsi detik memilukan apabila anaknya menelefon dalam keadaan meraung kesakitan. Suara Lee yang teresak-esak tiba-tiba bertukar senyap, meninggalkan ibunya dalam keadaan pilu dan tidak berdaya.
Dalam detik penuh pilu, seorang pemandu wanita yang dihempap kontena sempat menghubungi ibunya, mengerang kesakitan dalam panggilan terakhir itu. Lim, ibu kepada mangsa, bertanya dengan cemas tentang keberadaan anaknya, namun tiada jawapan yang diterima.
Suara anaknya yang perlahan dan penuh derita tiba-tiba menjadi senyap. Lim hanya mampu berbisik dengan hati yang luluh, “Saya dapat rasakan dia telah meninggal dunia.” Saat itu, seluruh dunianya seakan runtuh, meninggalkan luka yang tak mungkin terubat.
Ibu pemandu wanita dihempap kontena terkejut anak telefon, biasa mesej sahaja
Lim yang berkongsi berkenaan situasi dialami ketika itu menyatakan yang dia kerap berpesan kepada anak-anak untuk menghantar sahaja mesej jika ingin memberitahu perkara tidak penting.
“Jadi, apabila mereka menelefon, sudah pasti perkara tersebut adalah kecemasan ataupun mustahak.
“Jika mereka telefon, bermakna ada kecemasan. Jadi apabila Zi Rou telefon, saya berasa takut,” katanya sebak.
Dengan hati yang dipenuhi keresahan, Lim meminta anak perempuannya yang lain membawa ke laluan yang sering digunakan oleh Lee Zi Rou untuk ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan, Lim berkali-kali cuba menghubungi anaknya, namun panggilan itu tidak pernah dijawab.
Saat panggilan akhirnya diangkat, suara seorang lelaki di hujung talian memberitahu berita yang menghancurkan hati seorang ibu – anaknya terlibat dalam kemalangan.
Setibanya di lokasi kejadian, Lim merayu untuk menyelamatkan anaknya, tetapi keadaannya amat mustahil. Kontena yang menghimpit terlalu berat, dan waktu terus berlalu tanpa belas.
“Anak saya telefon pada pukul 9.24 pagi… dan pada pukul 9.30 pagi, dia telah tiada,” katanya dengan linangan air mata yang tak mampu dibendung.
Difahamkan pada pagi Rabu, sekitar jam 9.15, Lee Zi Rou, 21, dalam perjalanan bersendirian ke tempat kerja, menemui ajal selepas sebuah kontena terjatuh dari lori treler dan menghempap kenderaannya.
Ketika itu, mangsa sedang berhenti di lampu isyarat di persimpangan Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah. Lori treler yang datang dari arah bertentangan dipercayai membuat belokan tajam ke kiri sebelum kontena yang dibawa jatuh dan menghempap kereta mangsa.
Kenderaan yang dipandu Zi Rou remuk teruk akibat hentaman tersebut, dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian itu turut melibatkan beberapa kenderaan lain, dengan seorang pemandu, Tan Chou Theng, 25, mengalami kecederaan. Tan berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum bantuan tiba dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan.
Sumber: The Star (Arnold Loh)
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Tragedi menyayat hati berlaku di Kampung Tasek Bakong pada Ahad apabila seorang warga emas, Bahrum Ismail, 64, ditemui maut selepas terjatuh ke dalam perigi semasa mengambil wuduk.
Insiden yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu menyaksikan mangsa terkorban di dalam perigi sedalam empat meter.
Memetik laporan Sinar Harian. menurut jiran mangsa, Mohd Shamsudin Pa’Sar, 50, keluarga memaklumkan bahawa arwah sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh ketika kejadian malang itu berlaku.
“Perkara itu menjadi rutin mangsa setiap kali mahu keluar menoreh. Masa kejadian saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrum kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.
“Sejurus tiba, anak mangsa memberitahu bapa mereka telah terjatuh ke dalam perigi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurutnya, dia sempat membantu dengan menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 untuk mendapatkan bantuan.
Mohd Shamsudin berkata, salah seorang anak Bahrum memberitahu dia terdengar suara bapanya ada meminta bantuan dan sempat menghulurkan tali.
Bagaimanapun katanya, mangsa sudah lemah dan akhirnya tenggelam.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.
“Apabila tiba di lokasi kami mendapati mangsa tenggelam di dasar perigi. Seorang anggota telah turun ke dalam perigi tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar mayat menggunakan kaedah ikatan tali,” katanya.
Menurut beliau, jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Lelaki bawa anak jadi peneman daki bukit, “Hana langsung tak meragam, menangis…”Kisah dua beranak Hazwan Harawi mendaki bukit bersama bayinya mendapat perhatian warga maya.
Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit
Hazwan memuat naik video pendakiannya bersama anak angkatnya, Hana di TikTok. Hana mendapat pendedahan mendaki bukit kerana bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 29, sering membawanya sebagai peneman untuk mendaki di bukit dan taman riadah sekitar Lembah Klang.
Hana sudah merasai pengalaman mendaki walaupun baru berumur sembilan bulan. Bercerita lanjut, Hazwan berkata, mendaki adalah minat dan salah satu hobinya sejak di kampus lagi.
Menurut Hazwan, isterinya, Fatin Sihan, 29, juga ada minat yang sama dan mereka pernah pergi mendaki bersama, salah satunya di Bukit Broga, Selangor.
“Dulu kami pergi mendaki berdua saja tapi sejak hadirnya Hana, dia pun dibawa bersama.
“Cuma, kami ambil Hana sebagai anak angkat pada umurnya tiga bulan. Waktu umurnya empat bulan baru dedahkannya dengan aktiviti riadah.
“Hana Langsung Tak Meragam, Menangis…”
“Awalnya bawa Hana pergi Taman Saujana Hijau di Putrajaya saja kemudian waktu umurnya lima bulan saya dan isteri bawa dia berkhemah di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan pernah juga ke Taman Tugu, Kuala Lumpur ketika umurnya tujuh bulan selain berjalan di Pulau Pinang,” katanya.
Hazwan berkata, setakat ini, isterinya tiada halangan walaupun dia pernah pergi berdua saja dengan Hana.
Ia kerana dia dan isteri percaya aktiviti itu baik malah dapat mendedahkan anak kepada alam semula jadi dan bukan hanya membesar dengan gajet atau menonton televisyen semata-mata.
“Selalunya memang kami pergi bertiga tapi dua bulan lalu, isteri ditahan di Hospital Kajang dan saya kena uruskan anak waktu ketiadaannya.
“Jadi bila nampak saya boleh lakukan, isteri tak ada masalah untuk saya bawa Hana berdua tambahan dia kini pun baru hamil.
“Cuma, saya tetap buat persediaan rapi sebelum bawa Hana mendaki di sesuatu tempat dengan menonton video terlebih dulu untuk tengok bagaimana laluan trek dan periksa sama ada kawasan berkenaan mesra bayi serta ada kemudahan tandas berhampiran atau tidak,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat dalam bahagian pemasaran dan digital.
Hazwan juga membuat persediaan lain termasuk menyediakan alat pembawa kanak-kanak selain lampin, susu juga snek sebagai bekalan.
Katanya, persiapan lain adalah dengan melihat ramalan cuaca dan ke pusat gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu bagi memantapkan stamina.
“Setakat ini, Hana beri kerjasama baik malah tak meragam pun… paling terkejut waktu mendaki Bukit Sri Bintang kerana dia tak menangis langsung.
“Cuma waktu di Taman Tugu, Hana menangis dalam 100 meter sebelum sampai di atas tapi itu pun sebab dia nak minum susu.
“Cabarannya lebih kepada saya kerana umur Hana pun sudah sembilan bulan jadi agak berat juga nak pikulnya di belakang dan memang sakit bahu serta lenguh kaki setiap kali balik mendaki,” katanya.
Menyentuh mengenai perkongsiannya di TikTok, Hazwan berkata, dia baru memuat naik video aktiviti bersama Hana sejak Mei lalu dan tidak menyangka mendapat perhatian hingga ada yang mengenali serta mahu bergambar dengan anaknya ketika berjumpa di luar.
Menurutnya, niatnya adalah untuk menyimpan memori dengan Hana dan memberi inspirasi kepada bapa di luar sana untuk habiskan masa di luar sana.
“Secara tak langsung, saya nak buktikan juga orang lelaki pun boleh diharap untuk jaga anak cuma bila baca komen, baru saya sedar ramai rupanya ibu bapa di luar sana tak bawa anak beriadah.
“Ada yang tak pernah keluar rumah pun sejak ada anak kecil kerana paranoid. Segelintir netizen pula persoalkan kenapa bawa Hana mendaki kerana anggap ia bahaya untuk keselamatan selain risau jika anak terkena gangguan mistik.
“Saya faham kebimbangan mereka malah sebagai orang Islam memang kena percaya dengan benda ghaib cuma risiko atau bahaya ada di mana-mana jadi kita cuba ambil langkah keselamatan.
“Selebihnya doa minta perlindungan Allah SWT,” katanya yang menggalakkan ibu bapa lain membawa anak beriadah sebagai terapi emosi bagi menghilangkan tekanan menjaga si kecil.
Bantuan Awal Persekolahan Mula Diagih 13 Januari. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 bermula pada 13 Januari ini.