
Anak kepada pelakon dan usahawan terkenal, Ziela Jalil, Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid, mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih Membership of the College of Anaesthesiologists of Ireland (MCAI).
Dr Julia berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram yang turut disertakan dengan luahan rasa syukur atas pencapaian berkenaan.
“MashaAllah Tabarakallah.. Allahumma Barik.. MCAI. Untuk ibu bapa saya, suami saya dan yang paling penting untuk menjadi inspirasi kepada anak-anak perempuan saya. Satu pencapaian hari ini, dan banyak lagi yang ingin dikecapi, insya-Allah,” tulisnya.
Pencapaian tersebut membuktikan dedikasi serta komitmen tinggi Dr Julia dalam bidang perubatan, khususnya anestesiologi, sekali gus mengharumkan nama keluarga di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, Dr Julia kini menetap dan bertugas di Ireland bersama suami serta anak-anaknya.
Perkongsian itu turut menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakan-rakan dan pengikut media sosial yang tumpang berbangga dengan kejayaan beliau.
Kejayaan Dr Julia bukan sahaja menjadi kebanggaan buat keluarganya, malah diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Untuk rekod, Dr Julia mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi pada 11 Julai 2018. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tun Alayna Zeeya dan Tun Ameena Zeeya.