Hiburan

Antara Ego Dan Kasih, Keluarga Jadi Jalan Pulang Dalam ‘Prghh! Cintaan Kita’

Share

Dalam dunia perkahwinan, tidak semua luka dapat dilihat dengan mata kasar. Ada yang terpendam, membesar dalam diam hingga akhirnya mencipta jurang yang sukar diperbaiki lagi.

Itulah yang cuba disampaikan menerusi drama mikro Prghh! Cintaan Kita, sebuah naskhah yang menyentuh sisi paling rapuh dalam hubungan suami isteri, Adam dan Farah yang dahulunya saling mencintai

Mengangkat latar menjelang Aidilfitri, naratif drama mikro ini membawa penonton menyelami realiti pasangan yang semakin kehilangan arah dalam perkahwinan mereka. Walaupun masih tinggal serumah, hubungan yang dulunya penuh kasih kini terasa hambar.

Kepulangan ke kampung yang sepatutnya menjadi momen menyatukan keluarga, bertukar menjadi titik perubahan yang tidak dijangka. Dalam satu situasi yang dirancang, pasangan ini ‘dipaksa’ untuk berdepan dengan realiti apabila dikurung dalam sebuah rumah lama keluarga.

Tanpa gangguan luar dan tanpa ruang untuk melarikan diri, mereka akhirnya perlu membuka semula segala yang telah lama dipendam.

Wajah Baharu & Sentuhan Generasi Berbeza

Menariknya, drama mikro Prghh! Cintaan Kita turut memperkenalkan gandingan pelakon muda yang semakin mencuri perhatian. Hakimi Noordin, juara Maskulin Who’s Your Bro, tampil dengan lakonan yang sarat emosi dan penuh kejujuran.

Digandingkan bersama Camelia Natasya, finalis Dewi Remaja 2025, kedua-duanya berjaya menghadirkan chemistry yang segar dan dekat dengan realiti pasangan muda hari ini dengan bakat besar yang dimiliki.

Dalam masa sama, kehadiran dramatis hebat, Suriati Baharom, menambah kekuatan pada naskhah ini. Fun fact! beliau merupakan ibu kandung kepada pelakon wanita utama drama mikro ini.

Figura yang cukup dikenali sejak era 90-an itu mencurahkan dimensi emosi yang lebih mendalam, khususnya sebagai seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi melihat perkahwinan anaknya kembali pulih.

BACA JUGA: Terima 130 Juta Tontonan! Pertunangan Bella Astillah & Syed Saddiq Jadi Simbol Cinta Berteraskan Nilai Keluarga

Cinta, Ego & Peluang Kedua

Apa yang menjadikan drama ini dekat dengan hati penonton ialah mesejnya yang sederhana tetapi kuat. Perkahwinan bukan sekadar tentang bertahan, tetapi tentang memahami, berkomunikasi dan berani mengakui kelemahan diri.

Dalam ruang yang terhad, pasangan ini akhirnya dipaksa untuk kembali kepada asas hubungan mereka, berbual, mengenang dan mungkin, belajar untuk memaafkan. Kerana dalam setiap hubungan, masih ada peluang kedua jika kedua-duanya masih memilih untuk berjuang.

Menariknya, drama mikro ini dibawakan oleh Prego, diterbitkan oleh NI Studio dan disiarkan secara eksklusif di platform media sosial Majalah Keluarga, menjadikannya sebuah karya digital yang bukan sahaja dekat dengan penonton, tetapi juga relevan dengan cara kita menikmati cerita hari ini.