
DEMI memastikan masa depan keluarga lebih terjamin dan mencapai impian bebas hutang sebelum usia 40 tahun, seorang bapa sanggup melakukan dua pekerjaan dalam usaha melangsaikan hutang berjumlah kira-kira RM120,000.
Abdul Hakim Bazil Md Hakimi yang mencari rezeki sebagai jurugambar memilih untuk menambah pendapatan dengan menjadi penunggang p-hailing.
Menurutnya, jumlah hutang berkenaan merangkumi beberapa komitmen termasuk pinjaman pelajaran dan lain-lain.
“Hutang RM120,000 itu nampak besar tapi ia sebenarnya merangkumi pinjaman, pelajaran dan yang lain.
“Itu yang nampak banyak dan terdetik hati untuk mulakan usaha langsaikan hutang kerana nampak sudah sampai masanya berbuat demikian.
“Ia kerana tahun depan, usia saya sudah menginjak 30 tahun dan impian saya adalah bebas hutang sebelum berumur 40 tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Sebagai langkah merealisasikan impiannya itu, Abdul Hakim mengasingkan sebahagian hasil pendapatan ke dalam sebuah tabung khas untuk melangsaikan hutang.
Setakat ini, dia berjaya mengumpulkan kira-kira RM5,000 dan sedar perjalanan untuk mencapai sasaran tersebut masih panjang.
Namun, dia tetap nekad untuk terus berusaha lebih kuat.
“Jujurnya memang penat bila kena buat lebih satu kerja dan ada waktunya hampir patah semangat.
“Tapi saya kena kuatkan semangat dan kena biasakan diri bekerja daripada pagi sampai petang sehingga malam,” katanya.
Meskipun perlu membahagikan masa antara dua pekerjaan, Abdul Hakim bersyukur kerana jadual kerjanya lebih fleksibel.
Lebih menguatkan semangatnya apabila isteri memahami segala usaha yang dilakukan adalah demi kesenangan keluarga pada masa hadapan.
“Syukur waktu kerja fleksibel dan isteri pun faham apa saya lakukan ini adalah untuk kesenangan kami pada masa hadapan,” katanya.
Usaha itu bukan sekadar mengenai jumlah wang yang berjaya dikumpulkan, tetapi turut memerlukan disiplin untuk terus mengasingkan pendapatan dan memastikan matlamat bebas hutang yang ditetapkan tidak dilupakan.
Abdul Hakim turut berkongsi perjalanan misi bebas hutang menerusi TikTok.
Pada awalnya, video tersebut hanya dimuat naik untuk mencipta memori peribadi. Namun dia tidak menyangka perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Ada yang salah faham dan menyangka jumlah hutang besar itu berpunca daripada pinjaman along.
Namun dalam masa sama, ramai turut terinspirasi dengan usahanya dan berhasrat melakukan misi yang sama.
“Ada yang salah sangka dan ingat saya buat pinjaman dengan along mungkin disebabkan jumlah hutang dinyatakan dalam video itu mencecah ratusan ribu ringgit.
“Tapi ramai juga yang terinspirasi dan nak ikut jejak langkah saya buat misi sama selain tawarkan buat ulasan berbayar dengan niat mahu membantu,” katanya.
Walaupun menerima tawaran untuk menghasilkan video ulasan berbayar, Abdul Hakim buat masa ini memilih untuk tidak menerimanya.
Sebaliknya, dia lebih gembira jika perkongsiannya mampu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan melangsaikan hutang.
“Kalau boleh, saya mahu perkongsian itu membuka mata orang di luar sana mengenai kepentingan melangsaikan hutang.
“Bagi saya hutang wajib dibayar dan itu antara mesej saya cuba sampaikan menerusi perkongsian di media sosial,” katanya.
Abdul Hakim membuktikan bahawa usaha memperbaiki kewangan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan disiplin, pengorbanan dan kesungguhan yang berterusan.
Semoga semangatnya menjadi inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha melangsaikan hutang, mengejar kehidupan bebas hutang dan membina kehidupan kewangan yang lebih baik.
BACA SINI : “Saya Kasihan Tengok Ayah”, Anak Pembersih Surau Tekad Jadi Jurutera Demi Keluarga
Sumber: Harian Metro