“Berbadan Dua Pada Usia Bukan Lagi Remaja, Tidak Semudah 11 Tahun Lalu.” Kongsi Berita Hamil 6 Bulan, Azrinaz Bakal Timang Zuriat Ketiga.

Share

Ramadan yang lalu, ada netizen yang menegur badannya seolah-olah mempunyai ‘isi’, tetapi empunyai diri hanya meminta mendoakan yang baik-baik sahaja untuknya. Namun semalam, teka teki terjawab sudah.

Dua keping gambar  yang dimuat naik diinstagramnya punya makna tersirat disebaliknya. Azrinaz Mazhar Hakim, semalam mengumumkan dirinya kini hamil dan  kandungannya kini melepasi trimester kedua.

 ‎السَّلَامُ عَلَيْكُمْ
Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Wallilahilham

Dikesempatan ini, ingin saya kongsikan berita yang selama ini belum kami kongsikan secara umum. Setinggi-tinggi syukur, saya telahpun melepasi trimester ke-2. 

Mengambil keberkatan Syawal keempat,  ujar bekas personaliti televisyen itu, dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk hamil sekali lagi, seterusnya bakal menimang cahaya mata ketiga.

“Seperti pasangan lain yang mengharapkan khabar gembira ini, saya dan suami juga tidak terkecuali. Jadi, bersama keberkatan Syawal yang sedang dirai, saya berkongsi berita gembira ini bersama semua.

“Saya dan suami amat bersyukur dengan rezeki yang menyebelahi kami. Berkat doa ibu bapa, sahabat handai dan anda semua yang amat saya sayangi, Allah memberikan saya peluang untuk mempunyai zuriat buat kali ketiga.

Jelasnya lagi yang memilih untuk mengumumkan kehamilan sekarang, kerana enggan menggembar-gemburkannya terlalu awal.

Malah, dia juga tidak menggunakan bantuan teknologi moden untuk kehamilan tersebut. Namun, bakal memasuki usia 40 tahun September ini, akui Azrinaz kehamilan kali ini tidak semudah sepertimana yang sebelum ini.


“Alhamdulillah, bayi ini terhasil tanpa bantuan teknologi moden. Namun saya akui, untuk berbadan dua pada usia yang bukan lagi remaja, saya akui tidaklah semudah 11 tahun yang lalu.

Diharapkan semoga kandungan yang berusia 6 bulan ini akan terus dititipkan dalam setiap doa kalian agar bayi ini dilahirkan sempurna, cukup sifat, sihat dan secara normal tanpa sebarang komplikasi,”demikian tulisnya dikapsyen.

Azrinaz mendirikan rumah tangga dengan Fairos Khan pada 1 Mei 2018, yang juga merupakan rakan lamanya yang sudah dikenali sejak lebih 20 tahun lalu.

Sebelum ini, Azrinaz pernah berkahwin dengan Sultan Brunei pada 2005 sebelum berpisah pada 2010. Hasil perkahwinan pertamanya, beliau dikurniakan dua cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Wardatul Bolkiah, 11.

Sumber: IG zrinazmazharhakim

IKLAN