Berkat Ramadan, Rumahtangga Linda Hashim & Beego ‘Selamat’ – “Dia Bolak-balikkan Hati & Dapat Berbaik Semula”

Share

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”

Ringkas sahaja rangkap ayat ini tapi penuh dengan erti. Dah jadi asam garam dalam perhubungan ada baik, ada gaduhnya. Apa yang penting, perlu ada persefahaman dan sifat sabar agar perkara yang tidak diingini boleh berlaku.

Begitulah situasi yang dialami oleh pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim hadir bersama di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi Isnin bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka selepas rujuk semula.

Pasangan ini mengesahkan mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu, namun rujuk semula ketika masih dalam edah pada 9 April lalu.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim ditemui Harian Metro berkata, perceraian bukan perkara yang main-main. Katanya, tiada siapa pun pasangan berkahwin yang inginkan perceraian.

“Alhamdulillah, kuasa Allah pada bulan puasa pula dan doa memang mudah dimakbulkan. Lagi pula, setiap malam kita berdoa. Jadi, memang nampaklah ini semua jalan Allah, takdir Allah itu memang cantik.

“Dia bolak-balikkan hati kami dan dapat berbaik semula pada bulan yang baik (Ramadan). Jadi, benda ini memang keajaibanlah. Benda ini (jodoh) memang kerja Allah,” katanya.

Linda berkata, dia dan Beego juga mengambil pendekatan duduk berbincang berdua untuk memahami hati masing-masing dan diikuti anak-anak juga.

Katanya, dalam perbincangan dibuat itu hanya sesama mereka dan tidak membabitkan orang lain langsung termasuk keluarga.

“Saya mengetepikan semua orang di sekeliling dan menyelesaikan masalah secara kami berdua saja. Ia penting kerana, dalam hal membabitkan rumah tangga ini sebenarnya hanya kita suami dan isteri saja yang tahu.

“Jadi, kalau nak buat keputusan itu biar antara kita berdua saja demi diri masing-masing, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak memang menjadi kekuatan kami. Insya-Allah, kami harap ikatan yang disambung ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Saya buang ego diri dan betul-betul bersihkan hati dengan bermuhasabah diri untuk perkahwinan ini. Saya dan Beego, berjanji akan memperbaiki kelemahan diri kami demi ikatan perhubungan ini dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah menyifatkan tidak semua pasangan berkahwin berhadapan masalah hingga ke mahkamah gagal menyelamatkan semula rumah tangga yang pernah dibina mereka walaupun sudah bercerai ketika itu dan amat bersyukur dirinya dan isteri juga pelakon, Linda Hashim, 39, masih diberi peluang ‘berjodoh’ lagi oleh Allah.

“Alhamdulillah, kami antara pasangan yang pergi ke mahkamah dan dapat berbaik lagi. Saya akui memang ada lafaz (cerai), tapi kami dapat disatukan semula dan ini semua Allah Taala punya kuasa dan doa-doa daripada keluarga.

“Saya juga mengharapkan sekiranya pasangan-pasangan yang sekarang ini banyaklah terkait dengan masalah rumah tangga, cuba selesaikan dan berbaik-baik serta berdoa.

“Mungkin, kalau ada orang ketiga pun, kalian boleh hidup gembira bersama. Cuba doa yang baik-baiklah. Tapi, saya tak mengharapkan perkara itu (orang ketiga) untuk diri saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga dakwaan mengatakan Beego sering menerima kiriman mesej daripada seseorang, katanya masalah rumah tangga dengan isteri, Linda memang tiada langsung berkait kehadiran wanita lain.

“Punca hubungan saya dan isteri bermasalah sebelum ini adalah tiada persefahaman dan komunikasi. Antara kami banyak memendam rasa perkara-perkara kurang disenangi selama hampir 10 tahun berkahwin dan tidak pernah meluahkannya.

“Lama-kelamaan, rasa yang dipendam itu terbuku dihati dan ia amat menyakitkan. Namun, cubalah cari jalan penyelesaian positif dan profesional kerana sudah mengenali hati budi masing-masing. Usaha dan cuba selamatkan dulu,” katanya.

Beego berkata, insya Allah kalau ada jalan penyelesaian itu mesti dapat keputusan positifnya. Tapi, kalau tak ada sekurang-kurangnya kalian sudah usaha dan cuba sebagaimana yang kami lakukan apabila masalah dihadapi berakhir ke mahkamah juga sebelum ini.

Terdahulu, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Sumber : Harian Metro

IKLAN