Ads

Inspirasi Luar Biasa Bilal Cilik 13 Tahun Kuasai 5 Teknik Taranum Azan

Muhammad Harraz Darwisy mencuri perhatian ramai apabila kisahnya sebagai bilal cilik berusia 13 tahun tular di media sosial. Pada usia yang masih muda, anak kelahiran ini membuktikan bahawa bakat yang diasah dengan disiplin dan sokongan keluarga mampu menyerlah luar biasa.

Nama Muhammad Harraz Darwisy Sharulremy mula menjadi sebutan apabila laungan azannya yang lunak dan penuh penghayatan tersebar luas. Ramai yang mengakui rasa sebak setiap kali mendengar suaranya berkumandang, seolah-olah membawa ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Inspirasi Luar Biasa Bilal Cilik 13 Tahun Kuasai 5 Teknik Taranum Azan
Muhammad Harraz Darwisy Sharulremy sudah memukau ramai dengan kebolehannya bertaranum atau melagukan azan.

Muhammad Harraz Darwisy: Minat Bermula Dari Rumah & Masjid

Segalanya bermula apabila Muhammad Harraz Darwisy sering mengikuti bapanya menunaikan solat di Masjid Jamek Haji Kassim, Kampung Makam. Datuknya yang merupakan bilal di masjid sama menjadi inspirasi paling dekat di hatinya.

Tertarik dengan lenggok dan alunan azan datuknya, Harraz kecil mula meniru dan berlatih sendiri walaupun ketika itu pertuturannya masih pelat. Minat yang tidak pernah pudar itu akhirnya membawa beliau menyertai kelas pengajian anjuran masjid bersama lebih 20 kanak-kanak lain dari daerah tersebut.

Inspirasi Luar Biasa Bilal Cilik 13 Tahun Kuasai 5 Teknik Taranum Azan
Harraz kecil mula meniru dan berlatih sendiri walaupun ketika itu pertuturannya masih pelat.

Daripada situlah langkah Muhammad Harraz Darwisy dalam pertandingan azan bermula. Pada peringkat awal, kemenangan tidak berpihak kepadanya. Namun pesanan ayahnya menjadi pegangan: kalah atau menang bukan ukuran utama, sebaliknya ilmu dan pengalaman yang diperoleh lebih berharga. Jika menang pula, jangan sesekali riak.

Memenangi Lebih 15 Pertandingan Azan

Berkat kesabaran dan latihan konsisten, Muhammad Harraz Darwisy kini telah memenangi lebih 15 pertandingan azan di peringkat daerah dan negeri. Lebih membanggakan, beliau turut menerima Anugerah Kanak-kanak Harapan Kariah Masjid Haji Kassim serta dinobatkan sebagai Tokoh Muazzin 2024.

Ads

Anak muda ini juga sudah mahir menguasai lima teknik taranum azan iaitu Makkah, Hijaz, Nahawand, Jiharkah dan Bayyati. Bagi Muhammad Harraz Darwisy, kemahiran tersebut bukan untuk bermegah, tetapi sebagai persediaan menjadi pelapis generasi muazzin akan datang.

Sepanjang Ramadan, jadualnya padat sebagai muazzin gantian bagi solat fardhu dan tarawih di kawasan Timur Laut. Pada bulan-bulan lain, beliau turut diundang untuk bacaan doa dan selawat dalam pelbagai program termasuk majlis perkahwinan.

Ads

Cita-Cita Besar Muhammad Harraz Darwisy

Walaupun aktif di masjid, Muhammad Harraz Darwisy tidak pernah mengabaikan pelajaran. Beliau bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang Syariah di Mesir suatu hari nanti dan berhasrat membuka madrasah di negeri kelahirannya bagi menyumbang bakti kepada masyarakat.

Selain bertaranum azan, beliau juga aktif dalam kumpulan nasyid di sekolah, memperlihatkan minat mendalam terhadap seni suara berunsur dakwah.

Sokongan Keluarga & Komuniti Jadi Tulang Belakang

Menurut bapanya, Sharulremy Shaharudin, minat Muhammad Harraz Darwisy dapat dilihat sejak kecil apabila gemar menonton video laungan azan dan mempelajari sendiri lagu serta lenggoknya. Beliau juga bijak membahagikan masa antara persekolahan dan tanggungjawab di masjid.

Ads

Malah, adik bongsunya yang berusia tujuh tahun turut menunjukkan minat sama, membuktikan suasana keluarga yang dekat dengan masjid memberi impak besar dalam pembentukan jiwa anak-anak.

Usaha jawatankuasa masjid menganjurkan pelbagai aktiviti bersama golongan muda juga wajar dipuji. Inisiatif sebegini bukan sahaja membuka ruang anak muda menyerlahkan bakat, malah secara tidak langsung mendekatkan mereka dengan rumah Allah.

Kisah Muhammad Harraz Darwisy menjadi inspirasi buat ibu bapa di luar sana. Dengan bimbingan, doa dan sokongan berterusan, anak-anak mampu membesar bukan sahaja cemerlang di dunia, malah membawa sinar untuk akhirat.

BACA LAGI :

Sumber: Harian Metro

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

Cara Baik Pulih Penyapu Plastik PVC, Trik Jimat & Berkesan...

Cara baik pulih penyapu plastik PVC ini mudah dan berkesan tanpa perlu beli baharu. Ikuti langkah ringkas untuk lembutkan jalur kembang dan jimat kos rumah.