
Empat belas tahun melayari bahtera rumah tangga bukan satu perjalanan yang singkat. Di sebalik senyuman dan kehidupan yang dilihat indah oleh orang luar, pasti tersimpan pelbagai cabaran, pengorbanan dan kisah susah senang yang hanya diketahui oleh pasangan itu sendiri.
Begitulah perjalanan rumah tangga penyanyi Black Hanifah bersama isteri tercinta, Naquia Yasirah, yang kini sudah mencecah usia 14 tahun.
Sempena ulang tahun perkahwinan mereka, Black berkongsi sebuah foto istimewa bersama isterinya di media sosial, disertai ucapan manis yang cukup menggambarkan penghargaan terhadap wanita yang setia berada di sisinya selama ini.
Black Hanifah atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah memberitahu bahawa foto yang dipilih itu mempunyai makna tersendiri buat dirinya.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-14 tahun, sayang.
“Daddy tahu, mummy mesti tanya dalam banyak gambar, kenapa gambar ni? Sama macam kita… dalam banyak pilihan, kenapa mummy?” tulisnya.
Bagi Black, gambar tersebut cukup sempurna di matanya, sama seperti cara dia melihat isterinya.
“Gambar ni di mata daddy perfect! Sama macam mummy… di mata daddy perfect,” luahnya.
Namun di sebalik ucapan romantik itu, Black turut berkongsi sisi perjalanan rumah tangga mereka yang mungkin tidak diketahui ramai.
Menurutnya, apa yang dilihat orang luar tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kehidupan yang pernah dilalui mereka sebagai suami isteri.
“Orang nampak kita senang, tapi kita dua ja tahu macam mana struggle nak senang.
“Orang kata kita sombong? Siapa yang kenal kita ja tahu kita macam mana.
“Orang kata kita ni apa pun, yang pasti depa hanya boleh kata saja… tapi depa tak tahu apa-apa sebab kita dua ja yang hadap macam-macam sama-sama,” katanya.
Selepas 14 tahun bersama, Black Hanifah turut berkongsi antara prinsip yang menjadi pegangan mereka sebagai pasangan.
Antaranya, tidak menganiaya orang lain, tidak mengambil hak orang serta tidak terlalu memikirkan pandangan mereka yang hanya melihat kehidupan dari luar.
“Benda yang kita dua pegang… jangan aniaya orang, jangan ambil duit orang dan jangan kisah dengan orang. Dan sebenarnya banyak lagi,” tulisnya.
Dalam pada itu, Black sempat berseloroh apabila menyedari kapsyen panjang yang ditulisnya sudah mula kedengaran seperti sebuah puisi.
“…tapi sat lagi macam puisi pula kapsyen ni.
“Okey, malas taip banyak sebab tujuan post untuk anniversary kita… done!” katanya.
Perkongsian Black Hanifah cukup dekat dengan realiti kehidupan berumah tangga.
Kadangkala orang hanya melihat bahagia, kesenangan dan kejayaan dari luar, namun tidak mengetahui berapa banyak cabaran yang perlu ditempuh untuk sampai ke tahap itu.
Apa yang penting dalam sebuah perkahwinan adalah kesediaan untuk terus memilih satu sama lain, saling memahami dan tetap berada di sisi ketika diuji.
Selepas 14 tahun bersama, jelas bahawa bagi Black dan Naquia, rumah tangga bukan sekadar tentang meraikan momen bahagia, tetapi juga tentang bagaimana dua insan terus bertahan dan mengharungi kehidupan bersama.
Semoga rumah tangga Black Hanifah dan Naquia Yasirah terus dipenuhi kasih sayang, ketenangan dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta.
BACA LAGI : Tambah Aset Untuk Isteri & Anak-anak, Black Hanifah Bina Villa Di Langkawi Raih Pujian!
Sumber : Instagram Black Hanifah