
ALIF Yunus mengesahkan Abdah nikahi gadis berusia 20 tahun pada 27 Ogos lalu
Datuk Abdah Alif, 72, akhirnya terjawab teka-teki mengenai statusnya apabila adiknya, Datuk Yunus Alif, mengesahkan legenda bola sepak negara itu telah selamat mendirikan rumah tangga.
Berita tersebut sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas gambar Abdah bersama seorang wanita yang dipercayai pasangannya tersebar di media sosial. Wanita berkenaan difahamkan berusia 20 tahun, sekali gus mencetuskan perhatian kerana jurang usia sekitar 52 tahun.
Menurut Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, abangnya melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu.
Katanya, perkahwinan tersebut mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
“Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.
“Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua,” katanya.
Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan yang bermain dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas gambar pasangan berkenaan tular.
Yunus turut menitipkan doa agar rumah tangga abangnya terus bahagia dan berkekalan.
“Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah,” katanya.
Berita pernikahan Datuk Abdah Alif itu turut mengundang perhatian memandangkan beliau merupakan antara bekas pemain yang cukup dikenali dalam sejarah bola sepak negara. Selepas sekian lama tidak menjadi tumpuan seperti ketika zaman kegemilangannya di atas padang, perkembangan terbaharu mengenai kehidupan peribadinya membuatkan namanya kembali diperkatakan.
Datuk Abdah Alif bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tanah air.
Beliau merupakan antara tonggak penting skuad kebangsaan pada era kegemilangan Harimau Malaya sekitar penghujung 1970-an dan awal 1980-an.
Namanya turut terpahat dalam sejarah apabila menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
Ketika itu, Abdah beraksi bersama beberapa legenda negara termasuk Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Datuk Jamal Nasir Ismail.
Malaysia mengesahkan tiket ke Olimpik selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan penentuan.
Kejayaan tersebut menjadi antara detik penting dalam sejarah bola sepak Malaysia, apatah lagi skuad negara berjaya mendapatkan tempat ke temasya sukan terbesar dunia menerusi pencapaian di atas padang.
Datuk Abdah Alif dan rakan sepasukannya ketika itu menjadi sebahagian daripada generasi yang sehingga kini masih dikenang oleh peminat bola sepak tempatan.
Namun, impian barisan pemain negara untuk beraksi di pentas Olimpik tidak kesampaian selepas Malaysia memutuskan untuk memboikot temasya berkenaan sebagai bantahan terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.
Walaupun tidak berpeluang turun beraksi di Moscow, pencapaian skuad tersebut tetap mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah sukan negara. Generasi berkenaan terus dikenang sebagai antara barisan pemain yang pernah membawa bola sepak Malaysia melalui satu era yang cukup membanggakan.
Selepas sekian lama meninggalkan pentas bola sepak kompetitif, nama Datuk Abdah Alif kini kembali menjadi perhatian menerusi berita perkahwinannya.
Perkembangan itu secara tidak langsung membuatkan peminat kembali mengingati perjalanan beliau bersama skuad kebangsaan, khususnya ketika Malaysia memiliki barisan pemain yang cukup disegani di rantau ini.
Bagi peminat yang mengikuti bola sepak negara sejak era 1970-an dan 1980-an, nama beliau tentunya mempunyai nilai sentimental tersendiri. Pencapaian bersama skuad yang layak ke Olimpik Moscow 1980 kekal menjadi sebahagian daripada catatan penting perjalanan bola sepak Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu ini, pengesahan daripada Yunus akhirnya menamatkan persoalan mengenai status perkahwinan Datuk Abdah Alif selepas gambar yang tersebar mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan orang ramai.
Walaupun perbezaan usia pasangan berkenaan menjadi bualan, restu daripada kedua-dua keluarga tentunya menjadi perkara paling penting dalam memulakan kehidupan berumah tangga.
Semoga perkahwinan yang dibina terus dilimpahi kebahagiaan, dipermudahkan segala urusan dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
BACA LAGI : “Dah Lama Hidup Sorang, Nak Peneman Habiskan Sisa Hidup Bersama.” Atok 74 Tahun Kahwini Nenek 67 Tahun
Sumber : Harian Metro