Hiburan

Detik Yang Mengikat KITA Menjelang 2026, Konsert Hebat & Penuh Ceria Hiburkan Orang Ramai!

Share

Tirai 2025 akhirnya dilabuhkan dengan penuh gemilang menerusi ‘Konsert Countdown KITA 2026’, sebuah malam yang bukan sekadar konsert, tetapi pengalaman emosi yang menyatukan ribuan hati.

Dianjurkan oleh Astro melalui platform strategik ‘Home of Live’, konsert hujung tahun yang dinantinantikan ini sekali lagi membuktikan statusnya sebagai acara kira detik paling ikonik di Malaysia, apabila berjaya menghimpunkan 143, 000 penonton secara fizikal dan jutaan lagi di platform digital.

Saat kiraan detik bergema, sorakan penonton dan cahaya pentas menjadi saksi bagaimana muzik mampu menyatukan kita tanpa mengira latar belakang.

Pentas Muzik, Cermin Kepelbagaian Malaysia

Mengangkat tema “KITA”, setiap persembahan di pentas ini terasa dekat dan bermakna. Daripada balada yang menyentuh jiwa hingga rentak bertenaga yang mengajak semua berdiri dan menyanyi bersama, konsert ini meraikan kepelbagaian budaya, bahasa dan generasi Malaysia.

Muzik menjadi jambatan, menghubungkan cerita rakyat, aspirasi dan harapan untuk tahun baharu. Malam itu, pengunjung bukan sekadar penonton tetapi sebahagian daripada naratif yang sama.

Astro Home of Live: Hiburan Langsung Dalam Satu Ekosistem

Melalui platform strategik ‘Home of Live’, Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju hiburan langsung negara. Inisiatif ini menghimpunkan konsert berskala besar, program realiti, acara khas serta aktiviti fizikal dan digital di bawah satu ekosistem menyeluruh, menjadikan pengalaman hiburan lebih dekat, inklusif dan berterusan buat peminat.

‘Konsert Countdown KITA 2026’ merupakan antara contoh terbaik bagaimana Astro Home of Live berfungsi sebagai pentas utama untuk bakat tempatan dan ruang pertemuan antara artis dan peminat, bukan sahaja di lokasi, malah merentas skrin dan platform.

Barisan Artis, Jiwa dan Generasi Bersatu Di Tirai Konsert KITA 2026

Acara dibuka dengan Tirai Konsert KITA 2026 yang digerakkan oleh gandingan hos Haziq Hussni dan Fiza Frizzy, menampilkan barisan bakat pilihan daripada program Astro Home of Live.

Pentas diserikan dengan persembahan nama-nama besar seperti Stacy serta Zahid dari Akademi Fantasia, di samping kegemaran ramai masa kini termasuk duo Liza Hanim dan Marsya dari Talk To My Manager. Turut menghiburkan penonton ialah penghibur legenda Mell Sakura dan Iskandar Ismail dari Gegar Vaganza 12.

Kemeriahan diteruskan dengan penampilan tiga finalis teratas Raise The Star Malaysia iaitu Didie Shazry, Zuana dan Rayme, selain bintang Big Stage termasuk duo dari Korea Selatan Hoondoo serta sensasi nasional ALPHA.

Tidak ketinggalan sentuhan unik daripada Darkkey, Ruhan, Geraldine Gan, Nicole Lai, Zuvy, Jun Jun, Auddra, Rayme dan ramai lagi yang menjadikan malam tersebut penuh warna. Setiap persembahan membawa identiti tersendiri, namun berpadu dalam satu semangat kebersamaan.

Pentas turut dimeriahkan oleh kumpulan tarian Hyperflex DC dari Aattam, finalis Sing It Out Loud Jun Jun dan Zuvy Kong, serta persembahan bertenaga daripada kumpulan idola Malaysia KLP48, yang terus menyemarakkan suasana menjelang detik kiraan detik Tahun Baharu.

Hiburan Dengan Sentuhan Kemanusiaan

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini turut menyentuh sisi empati rakyat Malaysia. Astro mengambil kesempatan ini untuk menyeru penonton bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir melalui Bantuan Bencana Banjir Astro Kasih, di mana imbas kod QR disediakan pada skrin di Astro Ria (saluran 104) dan acara Konsert Countdown KITA 2026.

Inisiatif ini menjadikan ‘Konsert Countdown KITA 2026’ simbol perpaduan sebenar apabila muzik, kasih sayang dan tanggungjawab sosial berjalan seiring. Seperti yang dikongsikan oleh Putri Yasmin Megat Zaharuddin, konsert ini menutup tahun dengan inspirasi, inklusif, kegembiraan dan harapan baharu untuk semua.

Hello Putrajaya: Pemanas Suasana Penuh Mesra

Sebelum malam kemuncak, Astro terlebih dahulu menghangatkan suasana menerusi acara pra-acara eksklusif ‘Hello Putrajaya’ pada 6 Disember 2025 di IOI City Mall Putrajaya. Showcase ini menjadi ruang istimewa buat peminat berinteraksi lebih dekat dengan barisan selebriti daripada pelbagai program popular Astro.

Persembahan santai, aktiviti interaktif dan kemunculan awal artis konsert menjadikan acara ini seperti pertemuan keluarga besar yang penuh gelak tawa dan kenangan manis.

Kolaborasi ‘Hello Putrajaya’ bersama VIU turut mencuri perhatian apabila sesi meet & greet drama hit ‘Satu, Dua… Dia?’ diadakan khas untuk pelanggan Astro melalui Astro Rewards.

Kehadiran para pelakon utama menambahkan keterujaan peminat yang hadir, menjadikan 6 Disember 2025 sebagai tarikh yang sukar dilupakan. Ia benar-benar berfungsi sebagai pemanas suasana yang sempurna sebelum seluruh negara disatukan dalam malam ‘Konsert Countdown KITA 2026’.

Keceriaan Si Kecil Curian Tumpuan

Menariknya, pra-acara ini turut mencuri hati keluarga yang hadir apabila penampilan istimewa maskot kesayangan kanak-kanak, Didi & Friends serta Oga & Friends, muncul bersama Abang Pa’an. Kehadiran mereka sememangnya dinanti-nantikan, terutama oleh anak-anak kecil yang tidak sabar untuk menari dan menyanyi bersama.

Wajah-wajah polos yang bersinar dengan senyuman, tangan kecil yang melambai dan langkah comel yang mengikut rentak lagu menjadikan suasana bukan sahaja meriah,tetapi sarat dengan kegembiraan tulen. Inilah momen yang membuatkan ibu bapa tersenyum kerana kebahagiaan anak-anak terpancar tanpa perlu dipaksa.

Penutup Tahun Dengan Rasa Bangga

Apabila lampu pentas akhirnya malap dan gema sorakan perlahan-lahan reda, yang tinggal hanyalah rasa bangga dan teruja menjadi sebahagian daripada momen ini. ‘Konsert Countdown KITA 2026’ bukan sekadar penutup tahun, tetapi simbol bagaimana kita melangkah ke tahun baharu dengan hati yang lebih dekat, penuh harapan dan semangat kebersamaan. Kerana akhirnya, apa jua rentak dan suara, semuanya kembali kepada satu kata iaitu KITA!

Dan buat penonton yang terlepas menyaksikan detik-detik istimewa ini secara langsung, persembahan-persembahan hebat daripada Astro Home of Live boleh distrim semula menerusi Astro One pakej atau sooka!

Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan terbaik seisi keluarga dengan Astro One — kini dengan akses ke Saluran Kanak-Kanak dan Disney+ dari RM69.99/bulan untuk momen bersama yang lebih bermakna.