Dr Ahmad Sanusi Tegur, “Jangan normalisasikan maksiat.” Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Dr Ahmad Sanusi Tegur – “Jangan Normalisasikan Maksiat”
Media Sosial: Alat Normalisasi Maksiat?
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Jangan Biasa Dengan Dosa
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Ads
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.
Bapa kanak-kanak dipukul dengan tukul rayu doa orang ramai. Keluarga kepada seorang kanak-kanak lelaki yang parah selepas dipukul dengan tukul merayu orang ramai agar sama-sama menitipkan doa supaya anak mereka diberi kesembuhan.
Bapa Kanak-kanak Dipukul Dengan Tukul Rayu Doa Orang Ramai
Bapa mangsa, Muhammad Badrul, dalam satu hantaran di Facebook berkongsi keadaan anak sulungnya, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, yang kini menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian. Kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan kepala berbalut selepas menjalani rawatan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik sekitar jam 8.30 pagi tadi, beliau menulis, “Keadaan kritikal, pendarahan bahagian kepala tidak henti. Mudah-mudahan doa dari sahabat semua ada satu keajaiban buat anak saya.”
Semalam, media melaporkan Muhammad Ammar cedera teruk di bahagian kepala selepas dipercayai dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah kedai.
Enam beranak mangsa tragedi Sungai Korok selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Enam beranak yang ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Sungai Korok, di sini, telah selamat disemadikan dalam satu liang lahad pada jam 11.50 malam, Isnin.
Enam Beranak Mangsa Tragedi Sungai Korok Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad
Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Taqwa, dengan kehadiran ratusan orang yang turut sama memberi penghormatan terakhir.
Lima van jenazah yang membawa mayat pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat cahaya mata mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan bayi lelaki mereka, Tuah Haydar yang berusia enam bulan tiba di perkarangan masjid sekitar jam 10.15 malam.
Jenazah dibawa dari Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selepas proses bedah siasat selesai dilakukan.
Kira-kira 500 jemaah hadir menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad, sebelum mengiringi keenam-enam jenazah ke tanah perkuburan.
Mereka dikebumikan bersebelahan pusara anak bongsu pasangan itu, Jebat Haydar, yang meninggal dunia pada Februari lalu akibat komplikasi kesihatan.
Sebelum kejadian tragis ini, enam sekeluarga itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah saudara mereka di Taman Aman, Jitra, pada Sabtu dan gagal dihubungi sejak itu.
Misteri kehilangan mereka akhirnya terjawab apabila orang awam ternampak bumbung sebuah kenderaan muncul di permukaan Sungai Korok. Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah Proton Iswara tenggelam bersama enam mayat di dalamnya, dipercayai ahli keluarga yang hilang itu.
Jenazah Syamsul Haris Telah Selamat Dikebumikan Semula. Jenazah Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah selamat disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih pada jam 6.30 petang, Sabtu.
Proses itu berlangsung sebaik sahaja selesai prosedur bedah siasat kedua yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bedah siasat yang bermula pada pagi Sabtu itu mengambil masa hampir tujuh jam dan berakhir sekitar jam 4 petang. Seusai proses tersebut, jenazah Allahyarham dibawa keluar dengan kawalan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diiringi untuk urusan pengebumian.
Suasana di tanah perkuburan menyaksikan ahli keluarga serta rakan terdekat Allahyarham setia menunggu di luar kawasan sehingga pengebumian selesai dijalankan.
Terdahulu, pada Jumaat, kubur Allahyarham digali semula kira-kira jam 8.15 pagi berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang meluluskan permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun. Permohonan itu dibuat bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dilaksanakan.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet dalam keputusannya pada 19 Ogos lalu membenarkan permohonan tersebut bagi membuka jalan kepada pelaksanaan inkues untuk menyiasat punca kematian anak bongsu Ummu Haiman.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.