Berita

“Berbakti Jauh Dari Tanah Kelahiran” Dr Ainul, Anak Kelantan Yang ‘Gugur’ Ketika Jalankan Amanah

Share

Bukan semua insan memilih untuk berkhidmat di tempat yang dekat dan selesa. Ada yang sanggup berjauhan daripada keluarga, merentas perjalanan sukar dan berdepan risiko demi memastikan mereka yang jauh di pedalaman turut mendapat rawatan sewajarnya.

Itulah antara pengorbanan yang dilakukan oleh Dr Ainul Baraah Kamarudin, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang meninggal dunia ketika menjalankan amanah menerusi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service, FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.

Pemergiannya bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut dirasai oleh negeri kelahirannya yang kehilangan seorang anak yang sanggup menabur bakti jauh dari tanah sendiri.

Allahyarham Dr Ainul.

Dr Ainul Baraah “Mengabdikan Ilmu Demi Kemanusiaan”

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang cukup menyayat hati.

Menurut beliau, Dr Ainul telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di kawasan pedalaman demi membawa rawatan dan harapan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Allahyarham telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan. Pemergiannya meninggalkan kehilangan buat Kelantan, yang kehilangan seorang anak yang telah menabur bakti jauh dari tanah kelahirannya.

“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kata-kata tersebut menggambarkan besarnya pengorbanan seorang petugas kesihatan yang memilih untuk mencurahkan ilmu dan tenaga kepada masyarakat yang memerlukan, biarpun terpaksa berkhidmat jauh dari negeri kelahirannya.

Nahas helikopter KKM

Lima Individu Terkorban Dalam Nahas Helikopter

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat.

Kesemua mereka sedang menjalankan tugas rasmi ketika kejadian.

Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, kemudian mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter berkenaan meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang.

Nahas berkenaan membawa khabar duka kepada keluarga mangsa serta masyarakat yang mengikuti perkembangan operasi tersebut. Bagi keluarga Dr Ainul Baraah, kehilangan itu berlaku ketika Allahyarham sedang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang petugas kesihatan.

Dr Ainul Baraah Pergi Ketika Menjalankan Amanah

Semoga segala jasa dan khidmat Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin diterima sebagai amal soleh, dan semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan ini.

Al-Fatihah.

BACA LAGI : “Daddy Balik Kan Esok?” Luahan Anak Juruterbang Tragedi Helikopter Long Lellang

Sumber : Kosmo Online