
Tragedi menyayat hati menimpa dua beradik apabila mereka dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi, Johor Bahru pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Kedua-duanya dipercayai terjatuh sebelum ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tingkat tujuh bangunan berkenaan.
Menurut sumber, kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung insiden berkenaan.
Kejadian yang mengorbankan dua kanak-kanak ini menggemparkan penduduk setempat dan mencetuskan rasa sedih dalam kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan kes tersebut.
Kejadian pilu itu turut dikongsikan seorang wanita yang dipercayai menjadi antara saksi kejadian menerusi Instagram.
Menurut wanita berkenaan, dia masih teringat bunyi dentuman kuat yang didengarinya pada pagi kejadian.
“Ya Allah, Allahuakbar sedihnya sampai sekarang saya masih teringat-ingat bunyi kuat tu ‘bammm’.
“Pagi tadi jam 7.57 ada seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan jatuh dari tingkat 12, jatuh ke tingkat 7 berdekatan kolam di apartment blok rumah saya,” kongsinya.
Wanita itu turut memaklumkan ketika perkongsian dibuat, kanak-kanak perempuan tersebut meninggal dunia ketika tiba di hospital, manakala kanak-kanak lelaki dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi.
Bagaimanapun, maklumat terkini menyatakan kanak-kanak lelaki itu turut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Maklumat rasmi berkaitan insiden ini dijangka akan diumumkan oleh pihak berkuasa selepas siasatan awal selesai dijalankan.
Kejadian ini juga menjadi peringatan buat ibu bapa dan penjaga, khususnya yang tinggal di kediaman bertingkat, agar sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di rumah.
Pastikan tingkap, pintu balkoni dan kawasan berisiko sentiasa berkunci serta tidak mudah diakses oleh kanak-kanak tanpa pengawasan orang dewasa.
Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang sukar ini.
BACA LAGI : “Teruja Ambil Kereta Baru…” 6 Sekeluarga Maut Di Sungai Petani, Polis Minta Henti Spekulasi
Sumber : Sinar Harian