
Selepas 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, sebuah keluarga di kawasan pedalaman Ulu Tembeling, Pahang akhirnya boleh menarik nafas lega apabila rayuan mereka mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kisah menyentuh hati ini dikongsikan oleh Muhammad Ramadhan yang mendedahkan keluarganya sudah lama menunggu untuk menikmati kemudahan asas seperti penduduk lain. Biarpun pelbagai permohonan telah dibuat kepada pihak berkaitan, penantian mereka masih belum menemui jalan penyelesaian.
Bayangkan kehidupan sebuah keluarga tanpa bekalan elektrik selama lebih sedekad. Dalam tempoh itu, mereka terpaksa melalui rutin harian dalam keadaan serba kekurangan, termasuk menggunakan bateri kereta untuk mengecas telefon bimbit.
Bagi kebanyakan daripada kita, menekan suis lampu, menggunakan kipas, menyimpan makanan di dalam peti sejuk atau mengecas telefon adalah perkara biasa. Namun bagi keluarga ini, semua kemudahan itu menjadi satu impian yang terlalu lama dinantikan.
Kisah keluarga berkenaan mula mendapat perhatian ramai selepas Ramadhan memuat naik video di TikTok memaparkan dirinya bersama isteri memegang papan tanda ketika keberangkatan Sultan Abdullah ke sebuah program di kawasan tersebut.
Pada papan tanda itu, tertulis rayuan ringkas namun cukup menyentuh hati.
“Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap,” tulisnya.
Rayuan itu akhirnya membuka ruang untuk mereka menyampaikan sendiri luahan hati kepada Sultan Pahang. Lebih mengharukan apabila Al-Sultan Abdullah berhenti dan mendengar sendiri kesukaran yang dihadapi keluarga berkenaan sejak bertahun-tahun lalu.
Bukan mudah untuk meluahkan kesusahan yang dipendam begitu lama, apatah lagi apabila ia melibatkan keperluan asas sebuah keluarga. Namun keberanian Ramadhan dan isterinya menyuarakan masalah tersebut akhirnya membawa sinar baharu.
Terbaharu, Ramadhan berkongsi berita gembira apabila permohonan pemasangan tiang elektrik untuk kediaman mereka telah diluluskan. Difahamkan, proses penghantaran tiang ke lokasi sedang dilakukan dan beberapa tiang elektrik juga sudah tiba di kawasan terbabit.
Kerja pemasangan pula dijangka dijalankan dalam masa terdekat.
Dalam perkongsian sama, Ramadhan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan isu berkenaan, termasuk Tenaga Nasional Berhad serta individu yang memberi perhatian terhadap nasib keluarganya.
“Insya-Allah, tiang pun sudah sampai dan kini hanya menunggu untuk dipacak dalam masa terdekat. Terima kasih kepada Tuanku. Ampun Tuanku. Terima kasih juga kepada Tenaga Nasional Berhad kerana menjalankan tanggungjawab.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat. Jangan kita salahkan mana-mana pihak,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet. Rata-rata meluahkan rasa syukur kerana penantian panjang keluarga itu akhirnya mendapat perhatian dan bakal menemui penyelesaian.
Semoga urusan pemasangan bekalan elektrik untuk keluarga ini dipermudahkan dan berjalan lancar. Selepas 13 tahun menanti, cahaya lampu yang bakal menyala di rumah mereka nanti pasti membawa makna yang sangat besar.
BACA LAGI : Gigih Buat Tiga Kerja Demi Sara Keluarga, Bakal Ayah Korban Masa Tidur Cari Rezeki
Sumber: TikTok Muhammad Ramadhan