
Keindahan seni batik terus diberi nafas baharu apabila Siti Khadijah memperkenalkan koleksi terbaharunya, Embun Fajar Siti Khadijah, hasil kolaborasi eksklusif bersama artis batik kontemporari, Farah Mohan.
Koleksi ini diinspirasikan daripada suasana tenang selepas waktu Subuh, saat yang sering dikaitkan dengan rasa syukur, harapan, kedamaian dan permulaan baharu sebelum memulakan rutin seharian bersama keluarga.
Inspirasi tersebut diterjemahkan menerusi gabungan rekaan moden, motif alam dan sentuhan batik yang menjadikan koleksi ini bukan sahaja menarik dari sudut fesyen, tetapi turut membawa nilai seni serta warisan tempatan.
Menerusi koleksi ini, kepakaran Siti Khadijah dalam menghasilkan telekung premium digabungkan dengan sentuhan seni tempatan yang cukup dekat dengan identiti masyarakat Malaysia.
Motif bunga lili dan tulip dipilih sebagai simbol kelembutan serta kekuatan wanita, manakala elemen alur dan dedaunan pula memberi dimensi dan karakter pada setiap rekaan.
Walaupun tampil lebih moden dan kontemporari, identiti warisan Melayu tetap dikekalkan. Inilah yang menjadikan Embun Fajar Siti Khadijah bukan sekadar sebuah koleksi fesyen, tetapi juga satu bentuk penghargaan terhadap seni, budaya dan hasil kerja tangan artisan tempatan.
Kolaborasi bersama Farah Mohan turut memperlihatkan bagaimana seni batik boleh terus berkembang mengikut citarasa semasa tanpa perlu meninggalkan identiti dan nilai tradisinya.
Menariknya, koleksi Embun Fajar tidak terhad kepada telekung sahaja.
Ia turut menampilkan busana wanita, busana lelaki, tudung dan sejadah, sekali gus memberi pilihan lebih lengkap buat seisi keluarga.
Rekaan dengan motif senada turut dihasilkan untuk busana wanita dan lelaki, sesuai buat pasangan atau keluarga yang gemar tampil sedondon ketika menghadiri majlis, acara istimewa atau sambutan tertentu.
Konsep ini secara tidak langsung menjadikan koleksi tersebut lebih praktikal kerana dapat disesuaikan dengan keperluan seluruh keluarga.
Pilihan produk yang pelbagai juga membolehkan sentuhan seni dalam Embun Fajar Siti Khadijah dinikmati bukan sahaja menerusi telekung, tetapi turut diterjemahkan dalam gaya dan keperluan harian seisi keluarga.
Antara tarikan utama koleksi ini ialah Telekung Deco Sutera Mekar yang dihasilkan dalam jumlah terhad, iaitu hanya 100 pasang.
Telekung ini diperbuat daripada 100 peratus fabrik sutera, manakala motif pada setiap helaian dicanting tangan oleh artisan tempatan bertauliah.
Lebih istimewa, rekaan ini turut dihiasi dengan taburan batu permata yang memberikan sentuhan eksklusif dan elegan.
Penggunaan teknik cantingan tangan turut memberikan nilai tersendiri kepada telekung berkenaan kerana ia mengetengahkan kemahiran dan hasil kerja artisan tempatan dalam sebuah produk premium. Telekung Deco Sutera Mekar ditawarkan pada harga RM1,888.
Selain telekung, koleksi ini turut memperkenalkan Alur Sarung Suri, kain batik yang diinspirasikan daripada kain batik klasik yang sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Melayu.
Ditawarkan pada harga RM88, kain ini boleh dipakai sebagai kain bahagian bawah bersama telekung atau digayakan mengikut kreativiti dan keselesaan masing-masing.
Sentuhan nostalgia ini menjadikan Alur Sarung Suri cukup dekat dengan memori keluarga, khususnya mereka yang membesar dengan kain batik sebagai sebahagian daripada rutin harian di rumah.
Pada masa sama, pendekatan rekaan yang lebih kontemporari membolehkan kain berkenaan terus relevan untuk digayakan oleh wanita masa kini.
Sempena pelancaran koleksi ini, Siti Khadijah juga bakal menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos, sebelum mengambil bahagian dalam Kereta Api Sarong 2026 pada bulan berikutnya.
Penglibatan ini selari dengan usaha berterusan jenama tersebut dalam mengangkat seni, warisan dan kreativiti Malaysia menerusi rekaan yang lebih segar, moden serta relevan untuk generasi hari ini.
Dengan gabungan elemen fesyen, seni dan fungsi, Embun Fajar Siti Khadijah bukan sahaja meraikan keindahan batik, malah memberi peluang kepada seluruh keluarga untuk sama-sama menghargai warisan tempatan dalam gaya yang lebih kontemporari.
Kolaborasi ini turut memperlihatkan bahawa warisan tidak semestinya hanya diraikan dalam bentuk tradisional. Dengan sentuhan kreatif dan pendekatan yang sesuai dengan gaya hidup semasa, seni tempatan boleh terus hidup serta diperkenalkan kepada generasi baharu.
Untuk info, Koleksi Embun Fajar Siti Khadijah tersedia untuk pra-tempahan dari 13 hingga 23 Ogos 2026 dengan tawaran diskaun sebanyak 10 peratus menerusi laman web rasmi Siti Khadijah.