Hiburan

Eyka Farhana Selamat Bersalin Anak Sulung, “Selamat Datang Hero Mama Muhammad Luay Khayr”

Share

Tahniah diucapkan buat pelakon Eyka Farhana yang kini selamat bergelar ibu selepas melahirkan cahaya mata sulungnya pada Sabtu lalu.

Berita gembira itu dikongsikan Eyka menerusi media sosial dengan memuat naik foto si kecil serta detik kelahiran yang cukup bermakna buat dirinya dan suami, pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, menyifatkan momen kelahiran putera sulungnya pada 16 Mei 2026 sebagai detik paling indah dalam hidupnya.

“Masya-Allah, tabarakallah, detik paling indah dalam hidup saya berlaku pada 16 Mei 2026.

“Alhamdulillah, Baby L telah selamat dilahirkan secara normal. Semua kesakitan terus hilang saat mama melihat wajah kecilmu, sayang,” kongsinya.

Dalam perkongsian sama, Eyka turut mendedahkan nama penuh anak sulungnya yang sebelum ini dikenali sebagai Baby L.

Putera kesayangan pasangan ini diberi nama Muhammad Luay Khayr bin Muhammad Akhyar.

“Selamat datang ke dunia, hero mama, Muhammad Luay Khayr bin Muhammad Akhyar.

“Kamu sangat disayangi, berharga dan sejak awal lagi sudah menjadi bahagian terbesar dalam hati kami. Mencintaimu lebih daripada apa yang mampu digambarkan dengan kata-kata,” titip Eyka penuh kasih.

Sementara itu, Akhyar turut berkongsi rasa syukur atas kelahiran cahaya mata sulung mereka. Malah, pemain bola sepak kebangsaan itu turut menitipkan ucapan penghargaan buat isterinya yang kuat melalui proses melahirkan zuriat pertama mereka.

“Alhamdulillah Ya Allah. Selamat datang Muhammad Luay Khayr bin Muhammad Akhyar.

“Masya-Allah Tabarakallah, cinta terbesar kami. Alhamdulillah atas perjalanan yang indah ini.

“Dan untuk isteriku, terima kasih sayang kerana begitu kuat melalui segalanya. Terima kasih kerana menjadikan saya seorang ayah,” luah Akhyar.

Perkongsian pasangan ini menerima ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan para peminat. Rata-rata turut mendoakan agar Muhammad Luay Khayr membesar dengan sihat, menjadi anak yang soleh serta menitipkan ucapan selamat berpantang buat Eyka.

Terdahulu, pemenang Pelakon Utama Wanita Terbaik Asian Academy Creative Awards 2020

itu berkongsi berita kehamilannya pada Februari lalu.

Untuk rekod, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025. Kehadiran Muhammad Luay Khayr pastinya melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan ini sebagai ibu dan ayah baharu.