
Fattah Amin berkongsi pengalaman yang cukup bermakna selepas menyambut kelahiran cahaya mata keduanya bersama isteri, Amira Othman, pada 24 Jun lalu. Perkongsian pelakon terkenal itu mengingatkan ramai tentang besarnya pengorbanan seorang ibu ketika melahirkan anak, sama ada secara normal mahupun pembedahan caesar.
Setiap wanita yang melalui proses melahirkan anak mempunyai kisah perjuangan tersendiri. Tidak kira bersalin secara normal atau pembedahan caesar, kedua-duanya tetap menuntut kekuatan fizikal, emosi dan mental yang luar biasa.
Menerusi satu sesi siaran langsung di aplikasi TikTok baru-baru ini, Fattah Amin berkongsi pengalaman penuh bermakna ketika isterinya melalui proses bersalin. Menurut pelakon filem Mat Kilau
itu, dia sendiri berada di bilik bersalin dan menyaksikan detik isterinya bertarung nyawa demi melahirkan anak mereka.Menurut Fattah, pengalaman berada di sisi isteri ketika proses kelahiran memberikan kesedaran yang sangat mendalam tentang pengorbanan seorang ibu.
“Saya menyaksikannya dan sebab itulah anak syurganya di bawah tapak kaki ibu dan ibu kita itu bertarung nyawa.
Ada orang rezeki proses kelahirannya smooth dan mudah, ada yang susah. Perjalanan dan pengalaman berbeza-beza.
Jadi, hargailah emak anda semua, ini peringatan untuk diri saya juga. Kalau suami-suami, kena hargai pengorbanan isteri kerana kelahiran anak bukannya satu kerja mudah,” kongsinya.
Bagi Fattah, cara kelahiran bukanlah sesuatu yang perlu dibandingkan kerana setiap ibu melalui cabaran yang berbeza.
Menurutnya, perkara paling penting ialah ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat serta selamat selepas proses kelahiran selesai.
“Tak kisahlah yang tanya tu normal, caesar ke, normal ke, yang penting Alhamdulillah semuanya sudah selamat.
Tiada perbezaan pun bagi saya. Normal ke caesar, dua-duanya adalah pengorbanan seorang isteri, pengorbanan seorang emak melahirkan anak,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat sokongan ramai netizen yang bersetuju bahawa setiap proses kelahiran mempunyai cabaran tersendiri dan tidak sepatutnya dijadikan bahan perbandingan.
Dalam sesi siaran langsung sama, Fattah Amin turut berkongsi pengalaman sebenar ketika Amira mula menunjukkan tanda-tanda awal untuk bersalin.
Katanya, situasi tersebut jauh berbeza daripada apa yang sering dipaparkan dalam drama televisyen atau muzik video.
“Tidak sama macam dalam MV yang kita buat cerita masa Mira rasa hendak bersalin. ‘Argh, sakit! Nak pergi hospital!’ Tak adalah.
Keadaan itu tidak seperti macam dalam drama atau MV. Alhamdulillah,” ujarnya.
Menurut Fattah, tanda-tanda awal bersalin bermula selepas menunaikan solat Subuh sebelum mereka bergerak ke hospital sekitar jam 8 pagi untuk mendapatkan pemeriksaan.
Fattah Amin dan Amira Othman selamat menimang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Jarir Umar pada jam 6.20 petang.
Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 di Sepang, Selangor. Sebelum ini, Fattah turut mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya hasil perkahwinan terdahulu.
Kehadiran Muhammad Jarir Umar pastinya menjadi pelengkap kebahagiaan keluarga kecil mereka. Semoga bayi yang dilahirkan membesar dengan sihat, menjadi anak soleh serta membawa kebahagiaan, kasih sayang dan rezeki yang melimpah kepada seluruh keluarga.
Kisah yang dikongsikan oleh Fattah menjadi peringatan bahawa setiap proses kelahiran merupakan satu perjuangan yang amat besar. Sama ada bersalin secara normal mahupun melalui pembedahan, setiap ibu berdepan risiko dan cabaran yang berbeza.
Perkongsian ini juga mengingatkan semua agar sentiasa menghargai jasa ibu serta pengorbanan seorang isteri yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melahirkan zuriat. Penghargaan, kasih sayang dan sokongan daripada ahli keluarga amat penting sepanjang tempoh kehamilan sehingga selepas kelahiran.
BACA LAGI : “Terima Kasih Suami Saya”, Amira Othman Doakan Fattah Amin Ganjaran Syurga
Sumber: TikTok