Guru wanita trauma disamun tiga lelaki bersenjata parang di sebuah taska. Seorang guru wanita berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa rompakan oleh tiga lelaki bersenjatakan parang di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Tali Air 11, Pasir Panjang pada pagi Isnin.
Guru Wanita Trauma Disamun Tiga Lelaki Bersenjata Parang Di Sebuah Taska
Menurut wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu, dia telah cuba menanggalkan cincin emas miliknya apabila diminta oleh salah seorang suspek, namun gagal kerana terlalu ketat.
“Saya dah cuba buka cincin, tapi ketat sangat. Suspek bersenjata parang marah, terus tampar saya sampai jatuh.”
Tambahnya lagi, suspek tersebut kemudian sekali lagi menampar pipi kirinya apabila cubaan kedua untuk menanggalkan cincin itu juga tidak berhasil.
“Bila saya berjaya keluarkan cincin tu, saya terus lempar ke lantai, tapi mereka tak ambil pun,” ujarnya.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 9.35 pagi apabila tiga lelaki tersebut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan menceroboh masuk ke premis taska berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad, kumpulan penjenayah itu berjaya melarikan seutas rantai emas, dua utas gelang, sebentuk cincin, dan sebuah telefon bimbit.
Ads
“Ketika kejadian, terdapat dua orang guru wanita, seorang pembantu dapur serta 10 orang kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun berada di dalam taska. Tiada kecederaan serius berlaku kepada mana-mana kanak-kanak,” jelas beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda dan sebatan jika disabitkan bersalah.
Pihak polis kini sedang giat menjejaki ketiga-tiga suspek dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani menerusi talian 018-2510452 atau hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Pernah tular gambar fotogenik bersama kerbau kesayangan, Syukor, ‘Mowgli Malaysia’ kembali tarik perhatian. Suatu ketika dahulu, pernah tular gambar ikonik seorang kanak-kanak bersama kerbau ternakannya. Gambar tersebut bukan sahaja mencuri tumpuan ramai, malah mencipta fenomena yang luar biasa.
Keunikan hubungan erat antara kanak-kanak dan haiwan peliharaannya berjaya menarik perhatian dunia dan diiktiraf dalam pelbagai pertandingan fotografi peringkat antarabangsa.
Gambar itu mula terkenal selepas dipilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum, Itali, sebagai sebahagian daripada himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada jurugambar yang mengambil gambar tersebut, tetapi juga kepada kanak-kanak yang menjadi subjek utama dalam karya tersebut.
Tidak terhenti di situ, gambar tersebut turut memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards dalam kategori Wajah dan Karektor Menarik. Anugerah ini mengiktiraf kekuatan emosi dan ekspresi wajah yang ditampilkan dalam gambar, memperlihatkan keistimewaan hubungan antara manusia dan haiwan.
Selain itu, kejayaan gambar ini diteruskan apabila ia dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People). Pencapaian ini mengukuhkan lagi status gambar tersebut sebagai karya yang tidak hanya indah dari segi visual, tetapi juga membawa makna mendalam tentang kehidupan dan keakraban manusia dengan alam sekitar.
Difahamkan, kanak-kanak yang berusia 14 tahun dalam gambar tersebut ialah Mohd Syukor Khamis, yang terkenal dengan hubungan erat bersama kerbau-kerbau ternakannya. Syukor, dengan wajahnya yang tenang dan penuh kasih sayang, telah berjaya menawan hati jutaan orang melalui gambar tersebut.
Hubungan uniknya dengan kerbau telah menjadi simbolik kepada keakraban manusia dengan haiwan, memperlihatkan nilai-nilai kasih sayang, kepercayaan, dan penjagaan.
Kejayaan gambar ini bukan sahaja mengangkat nama Syukor, tetapi juga membuka mata dunia kepada keindahan dan kekuatan hubungan antara manusia dan haiwan. Ia adalah peringatan tentang pentingnya memelihara dan menghargai alam sekitar, serta bagaimana hubungan ini boleh mencipta kenangan indah yang dirakam dalam gambar.
Gambar ikonik Mohd Syukor bersama kerbaunya akan terus dikenang sebagai lambang kasih sayang, keakraban, dan kejayaan yang mampu melangkaui sempadan budaya dan geografi.
Ia merupakan inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat, bahawa kasih sayang kepada haiwan dan alam semulajadi mempunyai keindahan dan makna yang tidak ternilai harganya.
Baru-baru ini, Syukor kembali menjadi perhatian apabila GIATMARA Malaysia menerusi laman Facebook berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ itu sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.
“Macam kenal? Mungkinkah dia? Raut wajah ini seperti insan dikenali yang pernah tular satu masa dahulu.
“Kini beliau telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama 6 bulan di GIATMARA Hulu Terengganu.
“Beliau telah beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka tempoh hari.
“Dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ sebelum ini, beliau kelihatan selesa bersama peliharaannya yang kelihatan begitu akrab dan bersahaja.
“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis- ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” tulis hantaran di laman Facebook.
Tambah GIATMARA, Syukor memilih bidang kemahiran motosikal kerana ingin meneruskan legasi keluarga yang memiliki bengkel motosikal sendiri.
Berikut hantaran di TikTok GiatMara:
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai warga maya yang kagum dengan perkembangan terkini Syukor.
Ramai yang tidak menyangka kanak-kanak yang pernah membintangi telemovie “Budok Kuba” itu kini telah dewasa.
Berikut antara komen-komen warga maya di laman Facebook GiatMara:
“Hebat anak bangsa. Beginilah yang selalu kita harapkan pada anak bangsa. Tak pandai akademik tak mengapa tapi bijak dalam bidang yang lain. Jauhi dadah.. Tahniah MARA. Terus terang. MARA Memang terbaik dan banyak membantu anak bangsa.”
‘Tertipu’ dengan video AI, ada warga emas rugi RM9k sebab nak naik ‘kereta kabel’ di Pengkalan Hulu. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video palsu semakin menjadi-jadi hingga menimbulkan kebimbangan ramai.
Apa yang lebih membimbangkan, visual yang dihasilkan kelihatan begitu meyakinkan dan sukar dibezakan dengan rakaman sebenar. Kesan daripada penyebaran video sedemikian bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah ada yang sanggup berbelanja besar kerana mempercayai kandungan palsu itu.
Tular di media sosial, khususnya di platform Threads, mengenai kisah sepasang warga emas yang dipercayai tertipu dengan video AI yang mendakwa wujudnya laluan kereta kabel baharu dari Pengkalan Hulu, Perak ke Baling, Kedah.
Kisah itu dikongsikan oleh seorang wanita yang bekerja dalam sektor perhotelan. Pada mulanya, beliau menyangka pasangan warga emas itu hanya bergurau, namun rupa-rupanya mereka benar-benar datang ke Pengkalan Hulu dengan harapan untuk menaiki kereta kabel tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, video palsu berkenaan turut memaparkan ‘liputan media’ dan kehadiran ‘wartawan’ bagi menambah elemen kepercayaan, sedangkan semuanya adalah hasil manipulasi AI. Difahamkan, video tersebut telah dipadamkan selepas menerima kecaman dan laporan daripada pengguna lain di TikTok.
Berikut antara komen-komen warga maya:
Ramai juga berkongsi pengalaman sama apabila ibu bapa mereka terpedaya dengan kandungan video tersebut, malah ada yang telah pun membayar sehingga RM9,000 untuk menyewa tiga buah van semata-mata mahu ke lokasi berkenaan.
Kejadian ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua, terutamanya golongan warga emas, agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang diterima di media sosial.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan daripada sumber rasmi terlebih dahulu sebelum mempercayai sesuatu berita, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perbelanjaan atau perjalanan jauh. Teknologi AI memang semakin canggih, namun jangan sampai ia memperdayakan kita.
Seorang pempengaruh media sosial dipuji ramai kerana membuat aktiviti amal dengan membersihkan sebanyak 30 surau selama 30 hari bulan Ramadan ini.
Menerusi perkongsiannya di TikTok @rusydi.official, antara surau yang akan dibersihkan oleh beliau seperti di stesen minyak atau mana-mana surau awam.
Bermula pada hari pertama puasa iaitu pada 2 Mac lalu, Rusydi dilihat telah memulakan misi terpujinya dengan begitu bersungguh-sungguh. Malah surau di sebuah stesen minyak di Nilai, Negeri Sembilan menjadi pilihannya diketika itu.
Menerusi video yang dikongsikan, Rusydi terlebih dahulu menunjukkan keadaan surau yang kurang memuaskan kemudiannya mencuci surau berkenaan dengan rela hati.
Bukan itu sahaja, dia tidak lokek berkongsi kesemua alatan pembersihan malah menggunakan wangnya sendiri untuk membeli sabun mencuci.
“Kecuali air, saya telah minta izin terlebih dahulu untuk gunakan. Alhamdulillah, supervisor sini sambut usaha saya dengan sangat baik.
“Harapan saya agar usaha kecil saya dapat beri manfaat kepada semua,” katanya berkongsi.
Bukan hanya membersihkan ruangan solat serta kawasan wuduk, bahkan Rusydi turut membersih peralatan surau lain seperti karpet dan mengemas susun sejadah dengan baik.
Amalan mulia ini seharusnya diberikan pujian. Tidak hairanlah Rusydi dipuji wargamaya yang rata-rata menyukai niat ikhlas pempengaruh itu untuk membersihkan tempat awam orang ramai.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.