
Bagi kanak-kanak, tarikh 31 Ogos yang merupakan Hari Kebangsaan sememangnya lebih dikenali kerana sering dikaitkan dengan sambutan kemerdekaan, perarakan, kibaran Jalur Gemilang dan laungan “Merdeka!”.
Namun, apabila ditanya mengenai 16 September yang merupakan Hari Malaysia, mungkin masih ada anak-anak yang keliru tentang kepentingan tarikh tersebut.
Justeru, ibu bapa boleh mengambil peluang untuk memperkenalkan Hari Malaysia kepada anak-anak sejak kecil. Antara cara paling mudah untuk menerangkan perbezaan antara kedua-dua tarikh ini adalah dengan menggunakan analogi “hari lahir” dan “hari bina keluarga”.
Analogi Mudah Hari Lahir dan Hari Bina Keluarga
Ibu bapa boleh menggunakan perbualan santai untuk membantu anak memahami sejarah negara dengan cara yang lebih mudah.
Untuk 31 Ogos, ibu bapa boleh menerangkan “31 Ogos ialah hari Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajahan pada tahun 1957. Ketika itu, Malaysia seperti yang kita kenali hari ini masih belum dibentuk.”
Manakala untuk Hari Malaysia pada 16 September pula, ibu bapa boleh menerangkannya sebagai “hari bina keluarga”.
“Pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung untuk membentuk Malaysia. Singapura juga merupakan sebahagian daripada Malaysia ketika pembentukannya sebelum berpisah pada tahun 1965.”
Dengan penerangan mudah seperti ini, anak-anak dapat memahami bahawa 31 Ogos dan 16 September merupakan dua tarikh berbeza yang mempunyai kepentingan tersendiri dalam sejarah negara.

Tiga Aktiviti Santai Di Rumah Untuk Bantu Anak Faham
Selain bercerita secara teori, aktiviti fizikal dan visual juga boleh membantu anak-anak memahami sejarah dengan lebih mudah.
1. Lukis dan Cantum ‘Puzzle’ Peta Malaysia
Ibu bapa boleh melukis atau mencetak peta Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak secara berasingan.
Kemudian, minta anak mewarnakan setiap bahagian sebelum mencantumkannya menjadi sebuah peta Malaysia.
Sambil melakukan aktiviti tersebut, terangkan kepada anak bahawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam sebuah persekutuan baharu bernama Malaysia.
Aktiviti visual seperti ini boleh membantu anak-anak mendapat gambaran asas mengenai kedudukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
2. Kenali Jalur Gemilang
Ibu bapa juga boleh mengajak anak mengira 14 jalur merah dan putih serta 14 bucu pada bintang di Jalur Gemilang.
Sambil melakukan aktiviti tersebut, terangkan maksud di sebalik simbol berkenaan. Berdasarkan penerangan rasmi kerajaan, 14 jalur merah dan putih melambangkan 13 buah negeri dan sebuah Kerajaan Persekutuan, manakala bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat membantu anak mengenali simbol penting negara sejak kecil.
3. Sesi Makan ‘Makanan Perpaduan’
Apa kata jadikan sambutan Hari Malaysia lebih menarik dengan memperkenalkan makanan daripada pelbagai negeri kepada anak-anak.
Antara hidangan yang boleh diperkenalkan ialah Nasi Lemak dari Semenanjung, Mi Kolok dari Sarawak dan Hinava yang cukup sinonim dengan Sabah.
Sambil menikmati makanan, ibu bapa boleh bercerita tentang kepelbagaian budaya, bahasa, adat dan makanan yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.
Ia juga menjadi peluang untuk mengajar anak bahawa walaupun rakyat Malaysia mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza, kita tetap hidup bersama sebagai sebuah negara.
Ajar Anak Menghargai Erti Perpaduan
Pembentukan Malaysia merupakan sebahagian penting daripada perjalanan sejarah negara yang wajar diperkenalkan kepada generasi muda.
Dengan menceritakan sejarah ini menggunakan bahasa yang mudah difahami, ibu bapa bukan sahaja membantu anak mengenali negara sendiri, malah dapat menanam nilai perpaduan dan rasa hormat terhadap kepelbagaian masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Aktiviti sebegini juga boleh menjadi peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menyemai rasa cinta terhadap tanah air.
Melalui sambutan ini, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak bertanya tentang sejarah negara dan mengenali dengan lebih dekat keunikan setiap negeri. Pendedahan sejak kecil dapat membantu mereka memahami bahawa kepelbagaian budaya, adat dan masyarakat merupakan antara perkara yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.
Selamat menyambut Hari Malaysia!
BACA LAGI: Data Internet Percuma Sempena Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2026. Berita Baik Buat Rakyat!
Sumber:
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia (Sejarah Malaysia) & Jabatan Penerangan Malaysia
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

