Ibu hamil 8 bulan yang dilaporkan hilang bersama anak 4 tahun ditemui di KLIA. Seorang wanita hamil lapan bulan dan anak lelakinya yang berusia empat tahun, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan, pada Rabu ditemui selamat oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Ibu Hamil 8 Bulan Yang Dilaporkan Hilang Bersama Anak 4 Tahun Ditemui Di KLIA
Kakaknya, Adlin Mohd Zakaria, 36, melahirkan rasa bersyukur adiknya, Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, dan anak saudaranya, Aydan Noah Mohd Shahmi ditemukan dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, adik dan anak selamat dijumpai. Terima kasih banyak kepada pihak polis dan semua yang telah membantu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kehilangan wanita terbabit bersama anaknya selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan pada Rabu.
Nur Nadia kali terakhir meninggalkan rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap pada jam 12 tengah hari, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Chendering sehingga lewat petang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan mengesahkan dua beranak itu telah dijumpai di KLIA oleh pihak polis pada kira-kira jam 2 petang.
Ads
“Wanita itu bersama anak lelaki dalam keadaan selamat dan sekarang mereka berada di Balai Polis KLIA,” katanya ringkas.
‘Haji Hassan Lapah’ kongsi rahsia pisau lapah berusia 30 tahun. Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam kerja melapah daging korban, Abu Hassan Aji, 64, yang merupakan pesara dalam bidang telekomunikasi, cukup dikenali oleh penduduk Kampung Pengkalan Batu dengan gelaran mesra “Haji Hassan Lapah”.
Bapa kepada enam cahaya mata ini mengakui bahawa kemahirannya dalam melapah bukan sesuatu yang dipelajari secara formal, sebaliknya diwarisi daripada arwah bapanya sejak usia mudanya sekitar awal 20-an.
Menurut Abu Hassan, tidak ramai yang sanggup mendalami bidang ini kerana ia menuntut tahap keberanian yang tinggi, terutama ketika berdepan dengan situasi penyembelihan yang melibatkan darah dan najis haiwan.
“Ada yang pengsan tengok darah, malah ada juga yang rasa mual. Jadi bukan mudah nak cari orang yang betul-betul mampu buat kerja melapah ini kalau jiwa tak kental,” katanya sambil tersenyum.
Abu Hassan turut menekankan pentingnya menggunakan pisau yang benar-benar tajam untuk memastikan kerja melapah berjalan lancar dan tidak memenatkan. Antara senjata utamanya ialah sebilah pisau yang dibelinya lebih tiga dekad lalu dari Terengganu, yang masih digunakan sehingga kini.
“Pisau itu memang selesa dan sangat serasi dengan saya. Walaupun dah berusia lebih 30 tahun, walaupun dah tumpul dan pendek sedikit, saya tetap gunakannya setiap kali Aidiladha. Jenis pisau seperti itu susah nak jumpa sekarang,” jelas beliau.
Sepanjang kariernya membantu urusan korban di kampung, Abu Hassan bersyukur kerana tidak pernah mengalami insiden mencemaskan. Namun, beliau masih ingat satu kejadian yang agak mencuit hati, lembu korban yang sepatutnya disembelih ‘ghaib’ beberapa hari sebelum Hari Raya Haji.
“Kami semua sibuk mencarinya. Rupa-rupanya lembu tu lari sampai ke kawasan kilang di Ayer Keroh dan baru dijumpai selepas empat hari. Malangnya masa tu hari tasyrik pun dah habis. Mujur tuan lembu ganti dengan yang lain,” katanya sambil ketawa mengenang detik tersebut.
Kisah Haji Hassan Lapah bukan sahaja mencerminkan kemahiran tradisi yang diwarisi turun-temurun, tetapi juga satu simbol dedikasi dan semangat gotong-royong yang masih kukuh dalam masyarakat kampung.
Pemergian bayi berusia 19 bulan, Hud Aryan yang ditemukan meninggal dunia dekat sebatang sungai di Kampung Kerila, Tanah Merah disahkan tiada unsur pengabaian oleh kedua ibu bapanya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil keterangan lima individu termasuk ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang telah diambil sebelum ini.
“Setakat kesemua keterangan diambil, tiada unsur pengabaian dikesan.
“Bagaimanapun siasatan kita belum ditutup dan akan mengambil keterangan individu lain sekiranya terdapat saksi baharu dalam kes ini,” jelasnya.
Tambah beliau, lima individu yang dirakam percakapan adalah ibu bapa mangsa, nenek dan ibu saudaranya. Jika ada saksi lain yang boleh membantu, pihak polis akan mengambil keterangannya.
Mohd Yusoff memberitahu, setakat ini pihaknya membuka siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Media sebelum ini melaporkan bahawa anggota yang terlibat dalam operasi dan menyelamat (SAR) serta penduduk kampung terpaksa berjalan kaki dan meredah air sedalam 0.6 meter sebelum menemukan jasad Hud Aryan dalam keadaan terbujur kaku.
Mayat anak tunggal kepada pasangan Azean Nur Atikah, 34, dan Mohd Hafifi Saidi, 34, itu ditemukan tersangkut pada pokok di tepi sungai yang terletak tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga di sini pada jam 4.15 petang.
Pelajar ditikam dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Banting, Selangor, sehingga menggemparkan warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar Tingkatan Tiga berusia 15 tahun dilaporkan cedera selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh seorang lagi pelajar sekolah yang sama. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut maklumat awal, suspek yang juga berusia 15 tahun dikatakan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Sebelum kejadian berlaku, suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah menerusi pintu masuk utama dengan memakai baju-T hitam dan berseluar kotak merah.
Bagaimanapun, kronologi lengkap bagaimana kejadian tikaman itu berlaku masih belum diperincikan dan kini menjadi fokus siasatan pihak polis.
Selepas kejadian, suspek dilaporkan berada di kawasan tepi surau sekolah sebelum berjaya ditenangkan oleh guru-guru yang berada di lokasi.
Pihak sekolah kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan sebelum suspek ditahan untuk membantu siasatan. Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut sebagai bahan bukti.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan bahawa pelajar yang cedera dalam insiden itu kini sedang menerima rawatan di hospital.
JPN Selangor menerusi satu kenyataan turut mengesahkan bahawa suspek telah ditahan polis dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
Menurut kenyataan tersebut, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan terbaik selain memberikan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga.
“Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan pelajar yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga.
“Pasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling sudah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terbabit,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Setakat ini, motif sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih diteruskan oleh pihak polis.
Sementara itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman sama turut menunjukkan beberapa pelajar bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri ketika insiden berlaku.
Bagaimanapun, kesahihan semua dakwaan yang tersebar di media sosial masih belum disahkan oleh pihak berkuasa. Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi maklumat yang belum dipastikan kebenarannya sehingga siasatan selesai.
Kejadian ini mengejutkan warga sekolah serta ibu bapa kerana membabitkan pelajar bawah umur dan berlaku di kawasan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk proses pembelajaran.
Selain memastikan mangsa menerima rawatan terbaik, langkah memberikan sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan warga sekolah juga amat penting bagi membantu mereka menghadapi kesan emosi susulan insiden tersebut.
Pihak berkuasa dijangka akan mengeluarkan maklumat lanjut selepas siasatan selesai dijalankan. Orang ramai disaran mendapatkan perkembangan kes daripada sumber rasmi dan menghormati privasi semua individu yang terlibat memandangkan kes ini membabitkan remaja bawah umur.
Vanessa Anak Ewot, jururawat Hospital Umum Sarawak, meninggal dunia pada 2 Ogos 2026. Kisah pelukan terakhir bersama suami dan anak mengundang sebak serta menyentuh hati ramai.