Kekeluargaan

“Jangan Lupa Allah, Mama Always Pray…,Linda Rafar Sebak Lepaskan Anak Ke Universiti

Share

Tiada yang lebih menyentuh hati seorang ibu selain melihat anak yang selama ini dijaga, diasuh dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang mula melangkah ke fasa baharu kehidupan. Itulah yang dirasai penyanyi terkenal, Linda Rafar, apabila anak lelakinya, Syed Rezaqiib Syed Kamar Zaman Al-Yahya, secara rasmi mendaftar sebagai penuntut di Universiti Malaya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar meluahkan rasa sebak yang sukar digambarkan apabila terpaksa melepaskan anaknya memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

Menurut Linda, perasaan itu sudah mula hadir sejak beberapa hari sebelum hari pendaftaran lagi kerana selama 18 tahun mereka tidak pernah berjauhan.

Linda Rafar Akui Sukar Berpisah Dengan Anak

“Bismillahi masya-Allah. Mama sejak malam tadi, tak boleh berhenti menangis. Rasa macam baru semalam hantar tadika dan Tahun Satu. Tunggu Aqiib di sekolah hari-hari dan sampai dekat setahun setia tunggu masa waktu rehat,” tulisnya.

Linda berkata, setiap kenangan membesarkan anaknya kembali bermain di fikiran sehingga membuatkan dirinya sukar menahan air mata.

Menurutnya, fasa menghantar anak ke universiti merupakan pengalaman yang sangat berbeza kerana buat pertama kali mereka perlu berjauhan dalam tempoh yang panjang.

18 Tahun Bersama, Kini Anak Melangkah Ke Fasa Baharu

“Mama tak pernah berpisah selama 18 tahun dan today Aqiib sudah masuk universiti serta memulakan fasa kehidupan baharu tanpa mama.

“Ramai sahaja parents yang cakap, ‘Aalaaa nanti cuti balik lah.’ Tapi yang tak jaga anak sendiri ni lain ya. Rasa ini tidak boleh digambarkan. Bangun pagi tengok bilik kosong pun ma sudah sebak seorang-seorang,” luahnya.

Walaupun berat hati, Linda memahami bahawa setiap anak akhirnya perlu belajar berdikari, mengurus kehidupan sendiri dan membina masa depan di menara gading.

Pesanan Linda Rafar Buat Anak Menyentuh Hati

Di sebalik rasa rindu yang mula dirasai, Linda tidak lupa menitipkan pesanan paling bermakna buat anak kesayangannya agar sentiasa mendahulukan Allah SWT dalam setiap langkah kehidupan.

“Semoga Aqiib sentiasa ingat pengorbanan mama membesarkan Aqiib. Jangan lupa Allah SWT, itu paling penting dan mama always pray for you for the best in yourself life,” titipnya.

Anak Linda Rafar Pernah Raih 9A SPM

Sebelum melangkah ke Universiti Malaya, Syed Rezaqiib pernah mencuri perhatian ramai apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kejayaan itu menjadi kebanggaan besar buat Linda yang selama ini sentiasa berada di sisi anaknya, memberi dorongan, sokongan serta doa tanpa henti sepanjang perjalanan akademiknya.

Pencapaian tersebut turut membuktikan hasil pengorbanan seorang ibu yang sentiasa mengutamakan pendidikan dan masa depan anak.

Fasa Yang Dilalui Ramai Ibu Bapa

Semoga perjalanan Syed Rezaqiib di Universiti Malaya dipermudahkan, dikurniakan kejayaan dalam pelajaran serta terus menjadi anak yang membanggakan keluarga. Semoga pesanan Linda Rafar agar sentiasa mengingati Allah SWT menjadi pegangan dalam setiap langkah kehidupannya.

BACA LAGI : Khatam Al-Quran Setiap Bulan, Anak Linda Rafar Raih 9A Dalam SPM