
NURLIDA Muhammed disatukan dengan suami, Muhd Sabri Razaman pada 2020. FOTO Ihsan Nurlida Muhammed
Jodoh itu rahsia Allah SWT. Kadang-kadang hadirnya tidak terjangka, dalam keadaan yang mungkin sukar difahami orang lain, namun cukup membahagiakan buat insan yang melaluinya.
Begitulah kisah jodoh beza usia 37 tahun yang dilalui oleh Muhd Sabri Razaman, 27, apabila dia tetap teguh memilih Norlida Muhammed Salleh, 64, sebagai teman hidup walaupun mereka dipisahkan jurang usia yang besar.
Bagi Muhd Sabri, isterinya itu bukan sekadar pasangan hidup, malah dianggap sebagai cinta pertama dalam hidupnya.
“Saya tak pernah bercinta dengan mana-mana wanita sebelum kenal dengan isteri, jadi dia ibarat cinta pertama saya,” katanya.
Muhd Sabri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berkata, dia tidak pernah menyesal mendirikan rumah tangga dengan Norlida biarpun isterinya jauh lebih berusia.
Malah, status Norlida sebagai ibu kepada enam anak dan nenek kepada lapan cucu bukan penghalang untuk dia menerima wanita itu seadanya.
Menurut Muhd Sabri, kasih sayang yang diberikan isterinya membuatkan dia yakin dengan pilihan hati.
“Saya nampak dia sayang saya seperti nyawanya sendiri,” luahnya.
Pasangan yang menetap di Kampung Teriang itu mendirikan rumah tangga pada tahun 2020 dan kini sudah enam tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri.
Walaupun sering menjadi perhatian masyarakat kerana perbezaan usia yang ketara, mereka membuktikan bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung kepada angka umur semata-mata. Sebaliknya, persefahaman dan keikhlasan menjadi asas utama hubungan mereka.
Mengimbas kembali detik perkenalan mereka, Muhd Sabri berkata, dia mula mengenali Norlida ketika membeli barang di sebuah pasar mini, tempat isterinya bekerja.
Daripada sekadar pelanggan, dia mula menyapa Norlida selepas beberapa kali berkunjung ke kedai berkenaan. Hubungan itu kemudian bertukar menjadi persahabatan sebelum dia mula menaruh hati.
“Selepas beberapa kali datang, ada keinginan nak berkenalan dengan isteri jadi mula menyapa dan sejak itu kami berkawan.
“Dua tahun juga kami berkawan dan akhirnya, saya luahkan hasrat nak berkahwin dengannya,” katanya.
Walaupun Norlida bersetuju, Muhd Sabri mengakui ada ahli keluarga yang pada awalnya sukar menerima keputusan tersebut.
Namun, dia tetap berpegang kepada keyakinan bahawa hubungan itu adalah jodoh yang sudah tertulis. Ketika itu, Muhd Sabri baru berusia 21 tahun, namun sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
Seperti pasangan lain yang mempunyai perbezaan usia yang besar, mereka juga tidak terlepas daripada pandangan dan tanggapan masyarakat. Namun, pasangan ini memilih untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif sebaliknya memberi tumpuan kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina bersama.
Bagi mereka, setiap individu berhak menentukan pilihan hidup masing-masing selagi hubungan yang dibina berlandaskan perkara yang baik dan mendapat restu keluarga.
Sejak hari pertama bergelar suami kepada Norlida, Muhd Sabri bersyukur apabila kehadirannya diterima baik oleh keluarga isteri terutama enam anak tirinya.
Malah, dia juga gembira kerana mempunyai hubungan yang baik dengan cucu-cucu isterinya dan tidak kekok bergelar datuk pada usia muda.
“Setakat ini, hubungan kami semua baik dan tiada sebab nak bermasam muka malah dengan isteri pun tak pernah bergaduh,” katanya.
Biarpun jauh lebih muda, Muhd Sabri menegaskan dia tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isterinya. Sebaliknya, dia bekerja siang dan malam kerana sedar tanggungjawab seorang suami adalah mencari rezeki untuk menyara isteri.
“Walaupun lebih muda, saya tak pernah kikis duit isteri kerana siang malam bekerja sebab sedar tanggungjawab suami mencari rezeki bagi menyara isteri.
“Saya berjanji akan menjaga isteri hingga akhir hayat dan tak akan tinggalkannya. Apa pun terjadi, biarlah dia di depan mata saya,” katanya.
Sementara itu, Norlida mengakui dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suaminya pada tahun 2016.
Namun, aturan Allah SWT menemukan dirinya dengan Muhd Sabri, lelaki yang jauh lebih muda tetapi cukup bersungguh untuk menjadikannya isteri.
“Ikutkan, saya tak fikir nak kahwin lagi selepas berpisah tapi suami yang bersungguh malah kami bukan bercinta pun.
“Sebaliknya, saya hanya ambil berat dan anggap suami macam anak pada awalnya tapi akhirnya jadi pasangan,” katanya.
Menurut Norlida, ketika Muhd Sabri menyatakan hasrat untuk berkahwin, dia meminta lelaki itu menguruskan semuanya sendiri. Dari situ, dia nampak kesungguhan Muhd Sabri untuk membina rumah tangga bersamanya.
Walaupun ada yang mempersoalkan keputusan tersebut, Muhd Sabri tetap nekad dengan pilihannya.
Bagi Norlida, walaupun Muhd Sabri jauh lebih muda, dia melihat sisi kematangan dalam diri suaminya.
Katanya, Muhd Sabri seorang yang penyayang, memahami dan sentiasa mengambil berat. Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka tidak pernah berbalah.
“Sebelum pergi kerja, dia akan urut saya dulu dan kalau makan bersama, suami akan sediakan air untuk saya.
“Itulah tabiatnya dan susah nak dapat lelaki sepertinya kerana saya bukan berharta tapi dia tetap mahukan saya jadi nampak keikhlasannya,” katanya.
Norlida turut bersyukur kerana hubungan suaminya dengan anak-anak, cucu serta adik-beradiknya juga sangat baik.
Dalam pada itu, Norlida mendedahkan dia pernah meminta Muhd Sabri berkahwin lagi, namun permintaan itu ditolak oleh suaminya.
Malah apabila berbicara soal zuriat, Muhd Sabri reda andai mereka tidak dikurniakan anak di dunia.
“Saya pernah minta dia kahwin lagi tapi suami tak nak dan ada bercakap soal anak, tetapi suami beritahu ada rezeki dapat anak di syurga nanti,” katanya.
Norlida yang kini mencari rezeki dengan mengambil tempahan kuih dan telur pindang berkata, dia mempercayai suaminya sepenuh hati hingga tidak pernah memeriksa telefon bimbit lelaki itu.
Walaupun Muhd Sabri berjanji tidak akan meninggalkannya, Norlida tetap reda andai satu hari nanti hati suaminya berubah.
“Perjalanannya masih jauh dan sebelum tutup mata, saya nak bahagiakannya serta sentiasa berdoa semoga Allah SWT beri kekuatan buat suami,” katanya.
Usia bukan ukuran utama dalam rumah tangga. Yang lebih penting adalah keikhlasan, tanggungjawab, kesetiaan dan kesediaan untuk saling menjaga antara satu sama lain hingga ke akhir hayat.
BACA LAGI : Beza Umur 32 Tahun Bukan Penghalang Bertemu Jodoh-“Ramai Ingat Isteri Saya Emak Atau Mak Cik..”
Sumber : Harian Metro