Sebelum ini beliau lahir sempurna seperti orang lain. Sehinggalah usianya 14 tahun, beliau disahkan menghidap penyakit Kanser Tulang. Penyakit tersebut menyebabkan Dr Aizan Sofia Amin 35, berstatus OKU apabila sebelah kaki kanannya terpaksa dipotong.

Selama dua tahun melalui rawatan demi rawatan akibat kanser tersebut, akhirnya anak keempat dari lima beradik dan merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini akur apabila sebelah kaki terpaksa dikorbankan demi meneruskan kehidupan.

Bermulalah fasa baru dalam dirinya meneruskan harapan dan cita-citanya sebagai insan berstatus OKU. Kekurangan tersebut bagaimana pun tidak mematahkan semangat Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Manusia dan Masyarakat, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk terus berjaya.

“Alhamdulillah, keluarga saya sangat menyokong terutama ibu dan ayah yang sentiasa ada waktu saya sakit sehinggalah sekarang. Malah, semua family saya tak pernah pandang rendah bahkan mereka yang menjadi kekuatan saya sejak dulu sehingga sekarang,” akui anak kelahiran Puchong, Selangor ini.

Jujur mengakui dulu sering menangis akibat pandangan serong masyarakat terhadap fizikalnya, namun semangatnya cukup kental untuk melalui semua itu.

“Saya menangis bukan sebab saya OKU, tetapi disebabkan persepsi negatif masyarakat menyebabkan saya berasa rendah diri. Akibat kata-kata negatif yang sering dilemparkan kepada saya, membuatkan saya tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk membuktikan bahawa saya juga berupaya seperti orang lain”.

“Ketika belajar di United Kingdom dalam Ijazah kedoktoran dalam Disability Studies dari Universiti of Glasgow, Scotland, saya seronok dan dapat melupakan kekurangan diri walaupun bertongkat kerana orang sekeliling masa itu tidak melihat saya sebagai OKU tetapi melihat bakat dan potensi saya melebihi kelainan saya miliki,” katanya menceritakan ketabahannya berdepan dengan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) lantikan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Sesi 2017 – 2018 menyifatkan suka duka diharungi untuk melawan penyakit kansernya, sekali gus kini menjadi titik tolak kepada perjuangannya terhadap OKU.

Ini kerana, beliau tidak mahu generasi berkenaan berdepan dengan pengalaman yang pernah ditempuhi suatu masa lalu.

IKLAN

“Sebab itu saya menasihatkan ibu bapa dan keluarga supaya terus memberi tumpuan terhadap anak OKU.

“Insan-insan ini sebenarnya boleh menjadi insan cemerlang dan membanggakan ibu bapa sekiranya penjaga memfokuskan pendidikan dari awal. Masyarakat juga mesti menerima dan memberi sokongan kepada OKU untuk menjalani hidup sama seperti orang lain ” katanya yang turut mengakui apabila sudah bergelar OKU akan tertekan sekiranya tidak diberi peluang untuk membangunkan potensi diri terutamanya dalam pekerjaan dan pendidikan.

IKLAN

Penerima Anugerah Belia Harapan Majlis Kanser Nasional (Makna) berkata, sejak itu dia tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk mencapai impian hidup.

Menurutnya, walau sesukar mana sekali pun dugaan mendatang, penghidap kanser atau mereka yang sudah bebas dari kanser perlu menghadapinya dengan hati terbuka.

“Apa yang penting, tidak sesekali berasa rendah diri kerana di sebalik kekurangan diri, mungkin ada kelebihan tersendiri yang hanya diketahui ALLAH SWT.

“Paling penting, kanser bukan penamat riwayat hidup tetapi ia adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang lebih bermakna,” jelas Dr Aizan lagi.

Sumber: Sinar Harian