Kari Ikan Tanpa Santan, Wanita Ini Kongsi Tip Cara Masak, Pekat Likat Memang Power

Share

Lazimnya masakan kari atau gulai sememangnya menggunakan santan sebagai salah satu bahan yang membangkitkan lagi aroma dan kelazatannya. Malangnya, tak semua orang dapat peluang yang sama untuk menikmati masakan yang bersantan disebabkan oleh alergik yang teruk.

Jadi, kali ini resipi kari tanpa santan yang dikongsikan oleh pengguna Facebook bernama Cempaka Iris Yaya sangat sesuai bagi yang mempunyai alergik teruk.

Resipi ini juga dikongsikan berdasarkan pengalamannya, “Sejak dari kecil lagi, saya tak tahan makan gulai kari yang bersantan. Setiap kali makan, saya akan mengalami sakit perut yang berlarutan hingga 2 ke 3 hari. Kadang-kadang sampai masuk hospital”.

Kari Ikan Tanpa Santan

Bahan-bahan:

1. 2 ekor ikan bawal (dipotong 3 bahagian/6 ketul)

2. 2 paket kecil serbuk kari ikan (Adabi)

3. 1 paket kecil serbuk cili

4. 1 tangkai daun kari

5. Air asam jawa

6. Sedikit air

7. 2 biji tomato

8. 8 batang bendi

9. 1 kiub ayam Maggi

10. 1 kiub ikan bilis

Bahan-bahan untuk hiris nipis:

1. 3 biji bawang merah

2. 3 ulas bawang putih

3. 1 inci halia

Bahan-bahan untuk rempah tumis:

1. 1 sudu besar halba campur

(Boleh tambah kulit kayu manis dan bunga lawang kalau suka. Saya kalau kari ikan tak suka letak. Kari daging baru saya letak)

Cara Penyediaan:

– Goreng ikan dan bendi terlebih dahulu. Kemudian ketepikan. Tak perlu goreng lama sangat, sekejap je.

– Bancuh serbuk kari bersama serbuk cili dengan sedikit air.

– Panaskan minyak, tumis bahan hiris nipis dan bahan rempah tumis sehingga kekuningan dan naik bau.

– Masukkan daun kari dan bancuhan serbuk rempah tadi (rempah+serbuk cili+sedikit air).Masak sehingga rempah pecah minyak.

– Tambah sedikit air dan teruskan masak sehingga pecah minyak lagi sekali.

– Masukkan air asam jawa dan ikan.

– Tutup sekejap kuali supaya ikan masak sedikit.

– Masukkan sedikit air, tomato, sayur bendi. Perasakan dengan (kiub ayam+ kiub ikan bilis) secukupnya.

– Siap dihidangkan untuk 5-6 orang tetamu.

Tips:

Untuk masak kari yang sedap, rempah harus ditumis sehingga betul-betul masak. Cara untuk pastikan rempak masak ialah dengan tumis sehingga rempah pecah minyak, kemudian tambah air beberapa kali dan masak sehingga rempah pecah minyak pada setiap kali selepas tambah air.

Ikan dan bendi digoreng terlebih dahulu agar isinya tidak hancur bila dimasukkan ke dalam kuah kari. Yang penting teksturnya lebih segar dan enak dimakan. Selamat mencuba.

Sumber: Cempaka Iris Yaya

IKLAN