
Kasih seorang ibu sememangnya tiada sempadan. Dalam setiap hela nafas, terselit doa, pengorbanan dan harapan agar anak-anak sentiasa berada dalam lindungan Allah serta membesar menjadi insan yang baik.
Begitulah indahnya luahan pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak, yang mesra disapa sebagai Kak Zie, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, @rozisangdewi, Kak Zie menitipkan nukilan penuh syahdu mengenai perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu. Coretan itu nyata menyentuh hati ramai kerana menggambarkan betapa besar amanah yang dipikul seorang wanita selepas dikurniakan cahaya mata.
Bagi Kak Zie, setiap hari yang dilalui sebagai ibu merupakan satu catatan perjalanan yang sangat berharga. Rutin hariannya bermula sejak awal pagi dengan menyediakan keperluan anak-anak, memastikan mereka cukup makan dan bersedia sebelum melangkah keluar dari rumah.
“Setiap hari adalah catatan perjalanan seorang ibu. Bermula seawal pagi membancuh kasih dalam setiap hidangan, memastikan tiada perut yang lapar sebelum melangkah keluar rumah,” luahnya.
Kak Zie turut berkongsi bahawa kehidupannya berubah apabila Allah SWT mentakdirkan dirinya mula memegang amanah sebagai seorang ibu pada usia 26 tahun.
Kini, masa begitu pantas berlalu. Dua putera dan seorang puteri yang dahulu kecil di depan mata, kini membesar dalam rangkuman memori indah yang tidak pernah padam.
“Allah takdirkan pada usia 26 tahun, saya mula bergelar ibu dan kini dua putera dan seorang puteri tumbuh dalam detik rakaman yang tidak pernah padam,” kongsinya penuh kesyukuran.
Meniti usia matang, Kak Zie menyifatkan setiap perubahan pada wajah seorang ibu bukan sekadar tanda usia. Sebaliknya, ia menjadi lambang perjalanan cinta, pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan tanpa mengharapkan balasan.
“Waktu pasti berganjak, usia juga seiringnya bergerak, setiap perubahan di wajah bukanlah tanda usia semata, melainkan peta perjalanan cinta yang ditulis dengan pengorbanan yang tidak pernah mahu ditagih balasannya,” coretnya lagi.
Di sebalik ketegasan dan dedikasinya dalam menguruskan kerjaya seni, Kak Zie tetap merendah diri. Beliau mengakui dirinya hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana meski saya seorang ibu, saya jua manusia biasa. Ada ketidaksempurnaan, ada kelemahan.
“Semoga Allah pelihara keluarga kecil saya ini dan sentiasa di dalam lindungan-Nya selalu,” katanya.
Luahan itu cukup dekat dengan hati ramai ibu. Hakikatnya, tiada ibu yang sempurna. Namun, kasih sayang membuatkan seorang ibu terus berusaha menjadi yang terbaik buat anak-anak walaupun adakalanya diri sendiri turut diuji dengan rasa penat dan kekurangan.
Sambutan Hari Ibu Kak Zie tahun ini turut menjadi lebih bermakna apabila beliau berkongsi momen gembira selepas menikmati makan tengah hari yang dibelanja oleh anak teruna sulungnya.
Lebih istimewa, anak sulungnya itu kini sudah pun menginjak usia 26 tahun, usia yang sama ketika Kak Zie mula bergelar ibu dahulu. Momen tersebut pastinya membawa makna yang cukup mendalam buat dirinya.
Kak Zie juga sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada anak-anaknya yang sentiasa menghargai dirinya sebagai seorang ibu.
Perkongsian penuh kasih itu kemudian dihujani pelbagai reaksi positif daripada warga maya. Rata-ratanya tersentuh membaca nukilan tersebut, selain memuji keakraban keluarga kecil Kak Zie.
Tidak kurang juga yang memuji penampilan Kak Zie yang kekal anggun dan kelihatan muda, sehingga ada yang tidak menyangka beliau sudah memiliki anak-anak yang semakin dewasa.
Dalam pada itu, seorang warganet turut bertanya mengenai bakat seni anak-anak Kak Zie memandangkan mereka dilihat sangat merendah diri dan ‘low profile’.
Menjawab pertanyaan tersebut, Kak Zie memaklumkan bahawa setakat ini hanya anak sulungnya yang menunjukkan minat dalam bidang seni.
“Yang tunjuk bakat seni yang sulung sahaja, sekarang dah ada ijazah dalam pengurusan perniagaan muzik.
“Dua orang lagi tu bakat terpendam kot, nyanyi sendiri-sendiri,” jawabnya mesra.
Coretan Kak Zie ini menjadi peringatan bahawa kasih seorang ibu bukan sekadar terungkap melalui kata-kata, tetapi diterjemahkan dalam setiap pengorbanan kecil yang dilakukan setiap hari. Di sebalik kekuatan seorang ibu, ada hati yang sentiasa berdoa, menyayangi dan mahu melihat anak-anak bahagia sepanjang hayat.
BACA LAGI : “Anak Copy Paste Perangai Mak Ayah.” Ibu Muda Ini Kongsi Cara Atasi Anak Degil
Sumber : IG Rozisangdewi