“Mahalnya Harga seorang anak.“ Kes Difteria Meningkat, Doktor Ini Kongsikan langkah pencegahan. Ibu bapa kena Alert ni!

Share

Kejadian kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di daerah Johor Bahru pada 21 Februari 2019 lalu mula membangkitkan kembali isu penggunaan vaksin.

Ini kerana mangsa seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan dikatakan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir!

Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. Kes telah dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari 2019 dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019 dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure.

Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Lebih membimbangkan apabila 5 lagi kanak-kanak disyaki positif Difteria kini ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

Lebih membimbangkan jika jangkitan ini menular dan berjangkit kepada anak-anak lain yang tidak berdosa. Hanya kerana sikap kita yang berkeras menolak suntikan vaksin ini.

Seorang pakar Otorhinolaryngologi, telinga, hidung dan tekak, Dr Ezairy M.Sallih tampil berkongsi pandangan mengenai hal ini.


Mahalnya Harga Seorang Anak : 5 lagi positif Difteria!

Lima lagi kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria, kini ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA). Ini berita yang amat-amat membimbangkan.

Tuan-tuan dan puan-puan, perhatikan anak-anak kita. Lihat juga diri kita dan pasangan kita.

▪️Jangkitan ini mudah berjangkit melalui beberapa cara.

1. Cairan pernafasan pesakit

2. Batuk dan bersin di dalam jarak dekat dengan pesakit

3. Sentuhan pada pesakit yang tercemar dengan cecair pernafasan

▪️Kenal pasti simptom dan gejala ini pada ahli keluarga anda!

1. Sakit pada tekak

2. Kesukaran untuk menelan makanan dan minuman

3. Selaput putih atau kelabu boleh dilihat pada kawasan tekak dan sekitarnya

4. Disertai gejala seperti demam, lesu dan tidak sedap badan

5. Bengkak pada kelenjar leher

Kita boleh mengelakkan anak-anak kita mendapat jangkitan ini dengan pemberian suntikan vaksin.

Yang masih mahu berubah, saya doakan kalian lakukan langkah ini seberapa segera mungkin untuk kesihatan anak-anak kita dan anak-anak seluruh masyarakat di negara kita.

 

▪️Mengapa jangkitan difteria ini amat berbahaya?

1. Selaput putih yang terbentuk pada tekak dan farinks pesakit boleh mengakibatkan pesakit kesukaran bernafasan

2. Ia juga boleh menyebabkan pembengkakan pada leher

3. Toksin yang menyerap ke seluruh tubuh juga boleh merosakkan organ lain seperti jantung

Bantulah komuniti masyarakat kita. Sayangi anak-anak kita. Penyakit ini mampu untuk dicegah. Lengkapkan suntikan imunisasi untuk anak-anak kita.

Ya, terlalu mahal harga untuk anak-anak kita. Ia anugerah yang tidak pernah ternilai. Hargailah ia.

Sila #KONGSI nasihat ini jika anda rasa ia amat bermanfaat untuk orang yang kita sayangi

Dr Ezairy M.Sallih
Doktor Otorhinolaryngologi
Telinga, hidung & tekak

IKLAN