Berita

“Saya Ingat Anak Cuma Tak Sihat”, Bapa Terkejut Anak Ditikam Di Sekolah

Share

Seorang bapa tidak menyangka panggilan daripada pihak sekolah membawa khabar cemas apabila anak perempuannya yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah di Banting, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada Isnin, pelajar perempuan itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian paru-paru kiri selain kira-kira 16 luka tikaman pada beberapa bahagian badan.

Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja sebagai penghantar barangan dan tidak menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah.

Menurut Mohd Firuz, dia pada awalnya menyangka anaknya hanya tidak sihat selepas menghubungi semula pihak sekolah, namun terkejut apabila dimaklumkan anaknya menjadi mangsa.

Mohd Firuz Ibrahim (kanan) bapa kepada pelajar mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting semasa ditemui di Hospital Banting di mana manga berkenaan menerima rawatan. Foto Bernama.

Bapa Terkejut Anak Menjadi Mangsa Tikaman

“Saya ketika itu sedang menyusun barang dan tidak perasan telefon saya berbunyi. Bila saya telefon semula pihak sekolah, saya ingat anak saya cuma tak sihat dan tak sangka dia menjadi mangsa tikaman.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pasukan perubatan sedang berusaha mengeluarkan darah pada paru-paru kiri anak saya dan dia dalam keadaan stabil serta masih boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting.

Mohd Firuz mengakui berita tersebut amat mengejutkan keluarganya kerana anaknya keluar ke sekolah seperti biasa pada pagi kejadian tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

Bapa Kesal, Harap Keselamatan Sekolah Dipertingkat

Mohd Firuz turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian yang menimpa anaknya dan berharap pihak sekolah mengetatkan tahap keselamatan supaya insiden sama tidak berulang.

Beliau turut difahamkan suspek merupakan rakan sekelas anaknya ketika Tingkatan Dua dan kini sedang dicutikan bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Saya rasa anak saya mungkin bukan sasaran asal suspek. Mungkin dia nak sasar orang lain, tetapi anak saya yang paling dekat dan tidak sempat melarikan diri. Jadi, dia yang menjadi mangsa,” katanya.

Ahli keluarga kepada pelajar mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting berada di Hospital Banting di mana mangsa berkenaan menerima rawatan pada Isnin. Foto Bernama.

Suspek Ditahan Polis

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam pelajar perempuan berkenaan telah ditahan oleh pihak polis.

JPN Selangor turut memaklumkan bahawa mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Banting dan keadaannya dipantau oleh pasukan perubatan.

Siasatan Masih Dijalankan

Pihak polis dijangka meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di lokasi ketika insiden berlaku.

Pihak berkuasa juga dijangka bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan kejadian seumpama ini dapat dicegah pada masa hadapan.

Suspek kes tikam seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Banting di sini direman empat hari bermula hari ini. Foto Bernama

Keselamatan Sekolah Perlu Diberi Keutamaan

Kejadian ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai aspek keselamatan anak-anak di sekolah. Persekitaran pembelajaran yang selamat amat penting bagi memastikan pelajar dapat menimba ilmu tanpa rasa takut.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Sebarang maklumat berkaitan kes wajar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semoga pelajar yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Diharapkan juga semua pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.

BACA LAGI : UPDATE Pelajar Ditikam! JPN Selangor Sahkan Mangsa Dirawat, Suspek Ditahan Polis

Sumber : Sinar Harian