
Cuti sekolah baru-baru ini memang meriah apabila Pavilion Bukit Jalil jadi tumpuan ribuan keluarga yang datang ke acara Astro Home of Kids, berlangsung dari 12 hingga 15 September 2025 di Pavilion Exhibition Centre, Level 5, Pink Zone. Paling best, masuk adalah percuma jadi tak hairanlah suasana sepanjang empat hari itu penuh dengan gelak tawa dan keceriaan anak-anak.
Apa yang membuatkan acara ini luar biasa ialah peluang anak-anak bertentang mata dengan karakter kegemaran mereka. Dari Didi & Friends, Bluey, Pinkfong, Cocomelon, Dora, Mechamato, BoBoiBoy, Super Wings dan banyak lagi, semuanya hidup di hadapan mata. Setiap sesi meet & greet dipenuhi wajah anak kecil yang teruja sambil ibu bapa sibuk mengabadikan momen berharga.
Selain sesi bergambar, Astro Home of Kids juga padat dengan, pertunjukan pentas & mini konsert iaitu anak-anak bukan sekadar menonton, malah turut menari & menyanyi bersama. Zon bermain interaktif antaranya Pinkfong float area yang penuh warna-warni. Booth rakan kongsi termasuk Pa&Ma, Petrosains, The Chicken Rice Shop, dan Astro Fibre yang menambah elemen pendidikan & promosi keluarga.
Apa yang menarik telah diadakan acara penuh warna-warni iaitu Himpunan Anak Malaysia 2025. Bermula seawal jam 11.30 pagi, para peserta dan ibu bapa tiba dengan penuh keterujaan untuk sesi pendaftaran dan fotoshoot di booth yang disediakan. Riuh rendah suasana apabila adik-adik comel tampil bergaya dengan busana bertemakan pakaian tradisional satu Malaysia.
Acara diserikan dengan persembahan tarian istimewa dari Tadika Integrasi Genius Khalifah, yang juga merupakan tadika dengan penyertaan paling ramai tahun ini. Gerak tari penuh semangat dan pakaian berwarna-warni nyata memukau para penonton.
Seterusnya acara yang ditunggu-tunggu Pertandingan Himpunan Anak Malaysia. Peserta tampil memperagakan pakaian etnik masing-masing. Anak-anak comel tampil penuh yakin dengan pakaian bertemakan Satu Malaysia dari baju tradisional Melayu, Cheongsam Cina, Saree India, Punjabi Suit, hingga ke busana etnik Kadazan dan Iban.
Setiap langkah mereka di pentas bukan sekadar peragaan, tetapi lambang keindahan kepelbagaian budaya yang menyatukan kita semua.
Sementara menanti keputusan juri, penonton dihiburkan dengan persembahan daripada Azam dengan lagu patriotik “Kerana Mu Malaysia” berjaya memanaskan lagi suasana dengan sorakan serta tepukan gemuruh para hadirin.
Detik paling dinanti tiba apabila juri mengumumkan keputusan pertandingan. Juara membawa pulang wang tunai RM200 dan hamper. Naib juara menerima RM150 dan hamper. Tempat ketiga memenangi RM100 dan hamper. Manakala tempat keempat & kelima masing-masing mendapat RM50 dan hamper. Manakala 15 peserta lain diraikan dengan hadiah saguhati berupa hamper istimewa.
Apa yang pasti, tanpa usaha dan pengorbanan ibu bapa yang sabar menyediakan persiapan buat anak-anak, kemeriahan ini tidak akan berseri sebegini. Setiap setiap sentuhan kasih sayang, adalah bukti betapa besarnya peranan ibu bapa dalam melakar kenangan indah untuk anak-anak.
Selain pertandingan utama, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti eye check-up percuma, pemeriksaan gigi, ‘face painting’ serta bergambar bersama maskot popular seperti Didi & Friends, Omar & Hana, Cocomelon, Upin & Ipin, Pinkfong, Mechamato, dan Bluey.Ibu bapa juga tidak ketinggalan singgah ke booth Pa&Ma yang dipenuhi pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
Himpunan Anak Malaysia 2025 bukan sekadar pertandingan, malah sebuah platform menyatukan keluarga, anak-anak serta pendidik dalam meraikan kepelbagaian budaya tanah air. Dengan semangat satu Malaysia, acara ini berjaya mengukir senyuman dan mencipta memori indah buat semua yang hadir.