
Pemergian Allahyarhamah Hajjah Normah Abdullah, 72, meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan kenalan, malah turut menyentuh hati ramai apabila hasrat murninya sebagai penderma organ berjaya ditunaikan oleh anak-anak tercinta.
Allahyarhamah yang disifatkan sebagai jurukur wanita pertama negara terus menabur jasa kepada masyarakat biarpun selepas menghembuskan nafas terakhir. Organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan serta mengubah kehidupan sekurang-kurangnya lima orang pesakit yang amat memerlukan.
Menurut hantaran Hospital Sungai Buloh di Facebook, Allahyarhamah yang juga bekas Pensyarah Kanan Bidang Sains Ukur dan Geomatik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada Sabtu lalu.
Pihak hospital memaklumkan, komitmen mulia Allahyarhamah yang telah berikrar sebagai penderma organ akhirnya ditunaikan dengan penuh amanah oleh anak-anaknya selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak.
“Satu penghormatan buat seorang wanita yang sungguh luar biasa, Allahyarhamah Puan Hajjah Normah. Komitmen mulia beliau yang telah berikrar sebagai penderma organ akhirnya ditunaikan dengan penuh amanah oleh anak-anak tercinta, selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak.
“Pada 21 Jun 2026, hasrat murni ini terlaksana. Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” menurut hantaran tersebut.
Lebih bermakna, kes pemerolehan organ itu turut melakar sejarah baharu menerusi kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Hospital Sungai Buloh turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang bersama-sama menjayakan usaha murni tersebut.
“Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu bersama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang turun padang demi menjayakan usaha murni ini.
“Kepada seluruh ahli keluarga penderma, jutaan terima kasih atas kurniaan yang tidak ternilai ini.
“Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bersemadi dengan tenang di sana,” katanya.
Kerjasama antara pelbagai institusi kesihatan dan pendidikan ini menunjukkan kepentingan jaringan profesional dalam memastikan proses pendermaan organ dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan beretika.
Allahyarhamah bukan sahaja dikenali sebagai tokoh akademik yang disegani, malah turut mencipta sejarah sebagai jurukur wanita pertama negara. Sumbangan beliau dalam bidang ukur dan geomatik telah memberi impak besar kepada pembangunan ilmu serta profesion tersebut di Malaysia.
Sepanjang hayatnya, Allahyarhamah dikenali sebagai individu yang berdedikasi dalam bidang pendidikan dan sentiasa komited dalam menyumbang kepada masyarakat melalui kepakaran yang dimiliki.
Kisah pemergian Allahyarhamah turut mendapat perhatian ramai. Menerusi ruangan komen Facebook Hospital Sungai Buloh, seorang pengguna dikenali sebagai Mohd Fadzli berkongsi suasana solat jenazah Allahyarhamah yang disifatkan begitu ramai seperti solat hari raya.
“Alhamdulillah hari Ahad lepas Asar kami uruskan jenazah arwah. Jemaah yang hadir seperti kami solat hari raya ramainya.
“Arwah bukan sahaja penderma organ, tetapi banyak amal jariah yang dilakukan semasa hidupnya. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Amin,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Kesuma Sari pula menyifatkan tindakan Allahyarhamah sebagai satu inspirasi, apatah lagi pada usia 72 tahun beliau masih mampu memberi manfaat besar kepada insan lain menerusi pendermaan organ.
“Pada usia 72 tahun masih sihat tubuh badannya dan masih boleh derma organ. Betul-betul suatu inspirasi. Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan dapat masuk syurga tanpa dihisab. Amin,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkan sebagai jurukur wanita pertama negara.
Allahyarhamah disembahyangkan di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam selepas solat Asar pada Ahad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
BACA LAGI : Derma Kornea Mata, Keluarga Darna Sepakat Izin Pihak Hospital Buat Prosedur Pembedahan
Sumber : Harian Metro