Pelajar Miskin Tunai Janji Pada Ayah Jadi Doktor, Buktikan Anak Yang Tinggal Di PPR Pun Boleh Berjaya

Share

“Hampir setiap hari selama enam tahun saya memendam cita-cita untuk menjadi doktor perubatan suatu hari nanti. Hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Doktor Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM, Kuantan.

Pelajar Miskin Tunai Janji Pada Ayah Jadi Doktor, Buktikan Anak Yang Tinggal Di PPR Pun Boleh Berjaya

Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui dirinya cukup bersyukur kerana janji yang dibuat kepada ayahnya, Abdul Aziz Osman pada tahun 2019 akhirnya dapat ditunaikan. Lebih membanggakan, kejayaan itu tidak pernah membebankan keluarganya kerana turut dibantu oleh pelbagai pihak yang prihatin dengan nasibnya.

Menurutnya, tanpa sokongan semua pihak dan bantuan kewangan yang diterima, mustahil dia mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya bersyukur Allah telah makbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan pada golongan pesakit. Kepayahan dan cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi.

“Selepas ini saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliyah,” katanya.

Majlis angkat sumpah itu menyaksikan seramai 131 graduan diraikan, selain menerima pelbagai anugerah di hadapan keluarga masing-masing.

Kisah Abdul Manaf bukanlah asing, kerana enam tahun lalu dia pernah mendapat perhatian selepas kisah kehidupannya sebagai pelajar miskin dari Projek Perumahan Rakyat Kampung Temai, Pekan disiarkan media.

Walaupun memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam SPM, impian menyambung pengajian hampir musnah kerana kesempitan hidup. Mujurlah dengan bantuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kerajaan Pahang, Yayasan Bank Rakyat serta Tabung Penyayang UIAM, dia akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke UIAM.

Hari ini, kejayaan itu diraikan dengan penuh syukur. Malah, Abdul Manaf yang juga ketua graduan lulus dengan cemerlang sekali gus menerima Anugerah Pelajar Terbaik daripada 11 penuntut Kulliyyah Perubatan.

Dr Abdul Manaf mengakui dirinya seakan masih tidak percaya kini bergelar seorang doktor. Impiannya selepas ini adalah untuk melanjutkan pengajian di peringkat kepakaran selain terus berbakti kepada keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Saya bersyukur detik manis hari ini dapat dikongsi dengan ayah dan kakak (Ramlah), mereka merupakan insan yang menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya berjaya bergelar doktor.

“Saya kini tidak sabar untuk berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan di daerah ini walaupun hanya berstatus sebagai doktor pelatih,” ujarnya penuh terharu.

Sementara itu, rakan karibnya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang turut menerima Anugerah Tahir Azhar, menyifatkan perjalanan mereka selama enam tahun di Kulliyyah Perubatan begitu bermakna.

“Kami saling berbincang dan bertukar pendapat dalam pelajaran.

“Saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan suatu hari nanti, walaupun langkah berkenaan sukar namun usaha kearah itu tetap diteruskan,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Sumber: Harian Metro dan Berita Harian 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my