“Pemergian sangat indah, Ketika Solat, Malam Jumaat 27 Ramadan. Insan Terpilih.” Ayah Sharifah Zarina Meninggal Dunia

Share

Penyanyi, Sharifah Zarina berkongsi khabar duka selepas memaklumkan bapanya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Khamis.

Khabar Duka tersebut dikongsikan sendiri oleh Zarina menerusi laman Instagramnya.

Dia yang tidak dapat menahan sebak memberitahu, bapanya itu meningal dunia ketika di masjid untuk menunaikan solat Isyak dan taraweh secara berjemaah.

“Assalamualaikum, saya baru dapat khabar berita daripada Kuching, ayahanda saya, Wan Hasan Syed Jamil Alqadiri Aijilani telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi ketika berada di masjid sewaktu ingin menunaikan solat Isyak dan tarawih.

“Dia rebah pada solat sunat Isyak. Waktu itu nadi ada lagi. Tapi belum sempat ambulans sampai ayah sudah meninggal.

“Ayah ada penyakit darah tinggi. Tapi dia pandai kawal dan ubat sentiasa makan. Dia juga tak pernah dimasukkan hospital,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kali terakhir berjumpa bapanya pada Februari lalu dan mesej mengenai Lailatul Qadar adalah perbualan terakhir mereka yang dihantar bapanya di kumpulan (Grup) WhatsApp, petang semalam.

“Pada Februari lalu saya ada balik kampung. Tak sangka itu pertemuan terakhir kami. Petang semalam dia berkongsi mengenai Lailatul Qadar di Grup WhatsApp. Kawan-kawan ayah cakap dia juga hantar di banyak grup mesej dan secara peribadi.

“Malah, ayah siap minta maaf pada kawan-kawan, dia cakap mungkin ini Ramadan terakhir buat dirinya. Saya ingat lagi, dia selalu cakap pada kami adik beradik, dalam solat minta doa supaya mati dalam keadaan mudah, di tempat baik dan malam Jumaat.

“Alhamdulillah, ayah dapat semua itu. Dia meninggal menjadi buah mulut orang. Dia banggakan kami pada saat akhir. Kalau nak tahu, dia sangat istiqomah dalam ibadah. Penat mana dia, tak pernah tinggal solat sunat tahajud,” ujar Zarina lagi.

Dikesempatan itu juga, penyanyi lagu Langit Ke Tujuh ini juga berharap agar semua pihak dapat menitipkan doa buat arwah bapanya itu.

Sumber: Harian Metro

 

 

IKLAN