Berita

Ibu Empat Anak, Mahir IT & Cemerlang Al-Quran, Gelaran Diraja Pengiran Raabi’atul Ditarik Serta-Merta

Share

Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah memiliki perwatakan lembut, berwajah ayu dan mempunyai latar belakang pendidikan yang baik sehingga menjadikannya antara figura kerabat diraja Brunei Darussalam yang sering mendapat perhatian ramai.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu mendirikan rumah tangga dengan anakanda kelima Sultan Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah pada tahun 2015 ketika berusia 22 tahun.

Bukan sekadar dikenali kerana statusnya sebagai menantu Sultan Brunei, Pengiran Raabi’atul juga mempunyai pencapaian tersendiri dalam bidang agama dan teknologi maklumat.

Pengiran Raabi’atul Cemerlang Dalam Bacaan Al-Quran

Pengiran Raabi’atul merupakan anak kedua daripada 10 orang adik-beradik dan mendapat asas pendidikan agama sejak kecil daripada ibunya yang merupakan seorang guru agama.

Kemahirannya membaca al-Quran turut menyerlah apabila pernah menjuarai pertandingan bacaan kitab suci itu pada tahun 2005 dan 2008.

Pencapaian tersebut kemudiannya dibawa ke peringkat lebih tinggi apabila beliau mewakili Brunei dalam pertandingan Muslimah World 2013 di Indonesia.

Dalam pertandingan berkenaan, Pengiran Raabi’atul berjaya meraih gelaran Pembaca Al-Quran Terbaik, sekali gus memperlihatkan kebolehannya dalam bidang tersebut.

Mahir Dalam Bidang Teknologi Maklumat

Selain memiliki asas agama yang kukuh, Pengiran Raabi’atul turut dikenali mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi, komunikasi dan maklumat.

Antara sijil kemahiran yang pernah diperolehnya termasuk Internet and Computing Core Certification, Microsoft Office Specialist serta Adobe Certified Certificate.

Beliau juga difahamkan pernah bekerja dalam bidang analisis data sistem pada tahun 2012 sebelum menjadi pengajar dalam bidang teknologi maklumat pada tahun berikutnya.

Latar belakang tersebut memperlihatkan sisi lain dirinya yang bukan sahaja mempunyai pencapaian dalam bidang agama, tetapi turut mempunyai kemahiran berkaitan teknologi maklumat.

Bernikah Dengan Pengiran Muda ‘Abdul Malik

Pada 11 Januari 2015, pihak istana mengumumkan pertunangan Pengiran Raabi’atul dengan Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Pasangan berkenaan kemudiannya diraikan dalam istiadat perkahwinan diraja selama 11 hari, bermula 5 April hingga 15 April 2015.

Selepas istiadat pernikahan pada 12 April 2015, Pengiran Raabi’atul dikurniakan gelaran kehormat Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan empat orang puteri.

Gelaran Diraja Pengiran Raabi’atul Ditarik Serta-Merta

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu dari Brunei menarik perhatian ramai apabila gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi laporan RTB News, Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna Pengiran Haji Razali memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat atas titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Menurut kenyataan tersebut, penarikan gelaran dibuat susulan kelakuan yang disifatkan tidak melayakkannya sebagai pasangan kerabat diraja, selain didakwa mencemarkan nama baik serta tidak menghormati Sultan Brunei, Raja Isteri dan kerabat diraja.

“Gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah iaitu isteri Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik adalah dengan ini ditarik balik dengan serta-merta.

“Ini disebabkan kelakuan-kelakuannya yang tidak melayakkan sebagai pasangan kerabat diraja serta mencemarkan nama baik dan tidak menghormati Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara terperinci bentuk kelakuan yang dimaksudkan dalam pengumuman tersebut.

Justeru, berdasarkan kenyataan yang dilaporkan itu, tidak dapat dipastikan apakah kelakuan khusus yang menjadi asas kepada keputusan berkenaan selain alasan yang dinyatakan secara rasmi.

Perkembangan itu nyata mengejutkan ramai memandangkan Pengiran Raabi’atul sebelum ini dikenali sebagai seorang wanita berpendidikan, mahir dalam bidang teknologi maklumat serta mempunyai pencapaian membanggakan dalam bacaan al-Quran.

Daripada kejayaannya dalam bacaan al-Quran, pengalaman dalam bidang teknologi maklumat sehinggalah perkahwinannya dengan Pengiran Muda ‘Abdul Malik, kehidupannya sebelum ini sering mendapat perhatian. Perkembangan terbaharu berhubung penarikan gelaran diraja itu sekali lagi membuatkan namanya menjadi perhatian ramai.

BACA LAGI : Segak Kacak & Serba Putih. Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah & Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Selamat Bernikah!

Sumber: Media Permata