Inspirasi

Ibu & Anak Jadi ‘Study Partner’, Sama-Sama Kejar Gelaran PhD

Share

Siapa sangka hubungan ibu dan anak boleh menjadi lebih istimewa apabila kedua-duanya bukan sekadar berkongsi cerita kehidupan, malah turut menjadi ‘study partner’ dalam mengejar impian akademik. Kisah PhD bersama ibu ini menjadi perjalanan cukup bermakna buat dua beranak yang kini sama-sama mengejar impian dalam bidang pendidikan.

Itulah yang dilalui Nurul Marshitah Khairul Anuar, 26, bersama ibunya, Rosmawati Sahat, 49, apabila kedua-duanya kini bergelar calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Menariknya, perjalanan itu bukan sesuatu yang dirancang sejak awal.

Menurut Nurul Marshitah, idea untuk menyambung pengajian bersama muncul selepas dia menamatkan pengajian sarjana dan ibunya pula menyusul kira-kira sebulan kemudian.

Nurul Marshitah (kiri) dan Rosmawati (kanan) berpeluang menyambung PhD bersama-sama.

“Pada asalnya, kami tidak ada sasaran untuk sambung PhD sama-sama. Tetapi selepas saya habis master dan sebulan kemudian mak pula tamat master, kami mula berbincang.

“Mak cakap dia mahu sambung PhD dan mahu memohon di universiti tempat saya belajar, iaitu UPTM,” katanya kepada Sinar Harian.

Perkongsian Nurul Marshitah menerusi akaun Threads @its.cyieeee mengenai pengalaman menyambung PhD bersama ibu turut mencuri perhatian ramai.

PhD Bersama Ibu, Saling Lengkapkan Kelebihan

Walaupun berbeza usia dan latar belakang, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dikongsi sepanjang proses pengajian.

Rosmawati mempunyai pengalaman bekerja selama 29 tahun, sekali gus memberikan banyak input daripada sudut pengalaman dunia pekerjaan.

Nurul Marshitah pula lebih mahir dalam aspek kreativiti, penggunaan sistem, teknologi maklumat (IT), penyediaan kanvas dan slaid.

“Mak ada pengalaman bekerja selama 29 tahun, jadi dari segi pengalaman kerja, banyak yang saya boleh belajar daripada dia.

“Saya pula lebih kepada kreativiti seperti penggunaan sistem, teknologi maklumat, membuat kanvas dan slaid. Jadi kami saling bertukar idea dan pendapat,” katanya.

Dalam Kereta Pun Bincang Tesis

Lebih menarik, perbincangan mengenai tesis dan penyelidikan tidak hanya berlaku di universiti. Perjalanan PhD bersama ibu membuatkan mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk berkongsi idea mengenai penyelidikan masing-masing.

Ada kalanya, di dalam kereta atau ketika keluar minum bersama di kafe juga menjadi ruang untuk mereka berbincang mengenai pengajian.

Malah, komputer riba untuk kegunaan belajar turut dibeli bersama.

“Adakalanya, dalam kereta pun kami akan bincang mengenai tesis. Kadang-kadang pergi kafe sama-sama untuk buat perbincangan. Beli komputer riba pun sama-sama. Jadi memang banyak masa kami luangkan bersama,” katanya.

PhD Bersama Ibu Eratkan Hubungan Kekeluargaan

Bagi Nurul Marshitah, perjalanan ini juga membuka ruang untuk dia meluangkan lebih banyak masa bersama ibunya.

Katanya, sebelum ini Rosmawati yang merupakan seorang ibu tunggal banyak menghabiskan masa bekerja dan tidak mempunyai terlalu banyak waktu untuk bersama anak.

“Dulu mak bekerja dan sebagai ibu tunggal, dia tidak banyak masa dengan saya kerana sibuk bekerja.

“Jadi apabila sekarang kami dapat peluang belajar sama-sama, perkara ini lebih mengeratkan hubungan kami sebagai ibu dan anak,” katanya.

Selain mengejar pencapaian akademik, pengalaman PhD bersama ibu itu memberikan peluang kepada Nurul Marshitah dan Rosmawati untuk menggantikan masa yang sebelum ini banyak dihabiskan dengan komitmen kerja.

“Kalau Mak Dah Masuk Bab Tiga…”

Dalam memastikan masing-masing terus bergerak, mereka turut saling memberi semangat agar tidak ketinggalan.

“Kalau mak sudah masuk bab tiga, saya pun kena masuk bab tiga. Tidak boleh mak sudah jauh ke depan, saya masih di bab satu. Jadi kami saling bagi semangat supaya sama-sama bergerak,” katanya.

Walaupun tempoh pengajian ditetapkan sehingga 2031, mereka menyasarkan untuk menamatkan PhD lebih awal, iaitu sekitar 2028 atau 2029.

Malah, mereka turut menyimpan impian untuk membuat pembentangan, menamatkan pengajian dan naik ke pentas graduasi bersama-sama.

“Kalau boleh kami nak habiskan dalam tempoh tiga tahun. Kami juga harap dapat buat pembentangan sama-sama, graduasi sama-sama dan kalau boleh kerja sama-sama,” katanya.

Kisah PhD bersama ibu yang dilalui dua beranak ini cukup membuktikan bahawa proses menuntut ilmu tidak mengenal usia. Dalam masa yang sama, perjalanan akademik juga boleh menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Semoga suatu hari nanti mereka benar-benar dapat menggenggam gelaran Dr. dan menaiki pentas graduasi bersama.

BACA LAGI : “Saya OKU Mental” – Ibu Anak 6 Ada Degree dan Pernah Ambil Master Buat Ramai Kagum

Sumber: Sinar Harian